Isnin, 31 Oktober 2016

SEMANIS LOLIPOP STRAWBERI BAB 01

Assalamualaikum guys. Ni adalah cerita Semanis Lolipop Strawberi bab 01. Novel karangan aku. Daripada terperap dalam folder, baik aku post dalam blog, kan. Boleh jugak korang baca dan ambil manfaat (ada ke?). Takde sinopsis. Kalau nak tahu jalan cerita macam mana, bacalah sampai habis hehe... Semanis Lolipop Strawberi tidak ada kena-mengena dengan yang hidup dan mati. Aku akan post bab yang seterusnya dri masa ke semasa. Selamat membaca!

Semanis Lolipop Strawberi
Bab 01

Matahari di keheningan pagi sudah mula terbit. Jalan-jalan di bandaraya sudah mula sesak menampakkan setiap individu berpusu-pusu menuju ke destinasi mereka tersendiri. Tidak kiralah sama ada yang menaiki kereta, motorsikal, berjalan kaki mahupun berbasikal. Situasi ini biasa dilihat di bandar-bandar besar seperti ini.
“Alam, bangun. Bangun cepat! Sampai bila nak tidur?” Khairi mengejutkan Alam yang masih lena di atas katil. Hanya berseluarkan seluar pendek dan tidak berbaju. Ruang bilik gelap tanpa sebarang cahaya.
Khairi pula kelihatan kacak berpakaian formal baju kemeja biru berjalur menegak. Dipadankan dengan tali leher kelabu kosong dan seluar hitam. Sesuai dengan tubuh badan yang tinggi lampai seperti seorang model. Mukanya pula bersih dan putih tanpa sebarang jerawat. Kelihatannya dia sudah pun bersiap mahu ke tempat kerja.
"Hoi!! Bangun! Ada juga yang kena simbah dengan air sejuk nanti." Khairi mengeluarkan suara watak Hulk tetapi lebih lembut. Sambil itu dia mengemaskan bilik tidur Alam yang nampak seperti baru sahaja selesai dua ahli sumo bertarung. Namun, macamlah dia pernah melihat pertarungan sumo. Tidak pernah sama sekali walaupun di kaca televisyen.
“Wahai Cik Adik Achik Alam. Bangunlah. Matahari dah menegak, bunga dah mekar. Harimau pun dah keluar memburu.” Khairi bercekak pinggang di bucu katil. Tilam Alam beralaskan cadar berwarna ungu diagah, mengganggu lena Alam.
"Apaaa? Aku mengantuk sangat. Tak larat nak bangun." Alam merungut sambil menggosok mata.
“Bila ‘koala’ nak bangun?” Khairi menyindir.
“Hmmm... Pergilah. Nanti-nanti sahaja aku bangun.” Alam hanya menyengir.
“Nanti-nanti? Nanti bila? Dah lewat sangat ini. Tak mahu pergi kerjakah? Sudah lewat begini masih tidur lagi,” Khairi mendengus. Dia kemudian menarik selimut Alam yang sepertinya tidak mengendahkan kata-katanya.
Keeerrkssss. Baru pukul berapa? Awal lagi, bukan?” Tatkala wajah Alam tekena sinaran cahaya matahari, dia mendesis. Persis zombi tekena cahaya matahari.
"Awal tengkorak hang. Jam engkau rosakkah?" Terkeluar pelat Khairi. Sebal juga menonton lakonan amatur Alam.
"Sibuklah! Kacau daun.” Alam marah diganggu.
“Apa sibuk-sibuk? Lihat. Lihat jam sudah pukul berapa?” Khairi mengetuk-ngetuk jam tangannya sendiri.
“Yaaa. Ayam Pak Rahman pun belum nak berkokok,” Alam menjawab dengan malas tanpa membuka mata. Suara sedikit tenggelam kerana mulut tertutup bantal disebabkan gayanya yang sedang meniarap.
“Ada sahaja alasan nak diberi. Budak-budak zaman sekarang sukar dimengerti. Bagaimana mahu maju?” Khairi memulakan syarahan pagi percuma.
“Jangan nak memandailah.” Marah Alam mengeratkan lagi tutupan lubang telinganya dengan bantal.
“Lihat. Dikritik sedikit, kata orang pula memandai.”
Erghhh!” Alam menggigit cadar. Geram. Khairi semakin membuatkan Alam sebal. Bantalnya tidak mampu membendung getaran suara Khairi dari masuk ke telinga.
Katil yang bersaiz kembar membolehkan dia tidur walau gaya seperti apa pun. Kuak lentang, kupu-kupu mahupun mendada. Semuanya boleh. Namun, dia bukannya ahli renang. Gaya hanya semasa tidur, itupun tanpa disedari. Sedar-sedar sahaja kebiasaannya kaki di bahagian bantal, manakala kepala sudah berada di kaki katil. Dengan menggunakan tangan kiri, Alam menarik selimut dan menutup muka. Silau dek cahaya matahari pagi berwarna oren masuk dari tingkap luncur bilik yang dibuka Khairi sebentar tadi.
Cahaya matahari pagi sememangnya berkhasiat untuk manusia. Kedudukan rumah yang berada di tingkat tujuh sebuah pangsapuri membolehkan dia memperoleh cahaya matahari pagi lebih banyak. Lebih-lebih lagi bilik itu betul-betul menghadap ke tempat matahari mula terbit. Tapi, pada saat ini Alam peduli apa semua itu. Yang penting dia mahu sambung tidur.
“Mahu berkokok apa. Semua ayam itu sudah disembelih Pak Rahman. Mahu dijual kepada pelanggan. Yang perlu disembelih itu sepatutnya engkau. Waktu Subuh hampir habis masih tak nak bangun. Bangun.” Suaranya sedikit meninggi. Pak Rahman yang dimaksudkan Khairi adalah penjual ayam di pasar basah tidak jauh dari pangsapuri. Orang tua itu sungguh baik dan Khairi memang rapat benar dengan Pak Rahman.
“Lima, lima minit lagi.” Alam mahu mengelat. Tangan kiri dijengah keluarkan dan mengisyaratkan angka lima.
“Tak ada maknanya lima minit!” Khairi membantah. Menepis tangan Alam. “Sudah, bangun sekarang,” kata Khairi lagi sambil berlalu menuju ke pintu keluar bilik. Jika dilayan Si Alam sehingga bangun, memang sakit otak dibuatnya.
Khairi terfikir idea bernas mahu menyakat. Dia masuk ke bilik untuk mengambil jam loceng old school miliknya. Jam berbentuk bulat dan mempunyai dua telinga serta penukul kecil. Disetkan jarum jam paling kecil berwarna kuning dua minit lebih awal dari masa sebenar. Kemudian diletakkan jam loceng berwarna merah betul-betul di sebelah telinga Alam.
“Rasakan. Penangan jam loceng Makcik Timah Garang Menyinga punya version. Siaplah engkau Alam. Baru tahu langit tinggi ke rendah bila kena sound dengan jam loceng aku. Yang engkau bilang old school tempoh hari, kan? Kihkihkih!” bisik Khairi. Kemudian dia ketawa jahat tetapi perlahan agar tidak didengari Alam. Jam jenis itu memang epik. Sekali ‘berdentum’ memang boleh memekakkan telinga dan membuatkan penggunanya sakit hati dan marah-marah di pagi hari. Seraya menaikkan darah tinggi tidak semena-mena. Seperti becoknya makcik jiran sebelah rumah mereka.
Arghh,” jerit satu suara dari arah dapur, diiringi bunyi objek jatuh.
Buk!
Haih. Keluh Khairi.
"Itu satu lagi makhluk yang perlu diuruskan." Nasib baik sahaja pemilik suara itu, Si Hadi, bangun sebelum dia mengetuk pintu bilik, sebelum dia ke bilik Alam. Jika tidak, pasti ada yang basah-kuyup disimbah air.
"Selamat pagi putera raja. Lena beradu? Bangun, matahari sudah tegak, makan berhidang. Ada lagi yang kurang?" Khairi menyakat serius. Bercekak pingang seperti makcik-makcik berleter.
"Engkau memang agas. Aku jatuh bukan nak tolong atau apa." Hadi mencebik.
"Engkau fikir aku pembantu perubatan? Doktor? Oh. Maafkan dayang. Air panas yang dayang sediakan untuk putera raja bermandian sudah suam." Khairi berlagak seperti dayang-dayang istana. Cuma tidak bercucuk sanggul dan berkipas yang tahap kelajuannya ditahap baik tak payah kipas langsung.
"Diamlah!" Hadi merajuk.
"Nangka sudah terlebih masak. Jatuh dah busuk. Sayang. Sayang seribu kali sayang." Khairi menyindir lagi. Dia menggeleng-geleng kepala memandang Hadi.
"Nangka sudah jadi cempedak!" Hadi menyahut sakat Khairi. Sengaja melayan.
"Cempedak pun sedap. Lagi sedap digoreng ranggup." Khairi berkira-kira, untuk sarapan pagi pun memang lazat. Dia mengekek ketawa. Tetapi sopan mulutnya ditutup.
“Mengapa engkau tik kejutkan aku awal sedikit. Macam sudah lewat sahaja,” marah Hadi kepada Khairi. Raut wajahnya mencuka menahan kesakitan. Dia terduduk di atas lantai sambil mengurut-urut pinggang. Sepertinya dia jatuh tergelincir. Baru sahaja keluar dari bilik air.
"Eh? Kita pula yang kena? Ini boleh mendatangkan marah."
"Yalah Cik Abang Long Ri ooiii!"
“Aku fikir engkau sedang bersiap dalam bilik. Aku malas nak ganggu. Nanti dikatakan mengganggu privasi pula. Malas abang long nak berbusybody, kejutkan adik-adik yang tak sudi dikejutkan,” balas Khairi selamba. Dia berlalu melintasi Hadi yang baru berdiri. Lantas mengambil beg sandang tepinya di atas meja makan. Sempat menyakat Hadi lagi. Khairi sempat menarik tuala Hadi di pinggang dan hampir terlocot. Hadi terkocoh-kocoh menarik semula tualanya.
"Apa-apaan ini? Cis!" Hadi sebal.
"Kihkihkih! Semak!" Khairi jarang menyakat sebegini. Sekali-sekala kenakan mereka memang berbaloi.
"Penyibuk! Geram aku. Pagi-pagi lagi sudah menyakat." Sekarang Hadi sudah berkenban sehingga ke paras dada. Pintalannya dirapikan. Mujur bulu kaki sudah dicukur tempoh hari. Kalau tidak memang merosakkan pemandangan pagi-pagi segar begini.
“Engkau itu, bukan suka aku dengan Alam masuk bilik engkau sesuka hati.” Kasut hitamnya dicapai di rak sebelum dilap dari sebarang kekotoran sehingga berkilat.
"Nice said. Alasan." Hadi merengek.
Yup. Betul, bukan? Entah apa yang disorokkan dalam bilik itu.” Khairi curiga.
“Sibuklah. Mahu tahu? Dalam bilik ada harta karun.” Hadi berseloroh.
“Merepeklah. Harta karut adalah barangkali.”
Ceh!” Hadi mencebik.
"Peraturan makan tuan. Ambil sebiji!" Khairi membelek isi kandungan beg sendiri, memeriksa sesuatu.
“Bila masa aku tuduh engkau mengganggu privasi?” Hadi meregang-regangkan badannya. Setelah memastikan tiada satu pun tulang-temulangnya yang patah atau terseliuh, dia segera menuju ke almari pakaian di dalam bilik. Mahu bersiap ke tempat kerja. Kalau ada yang patah lain pula ceritanya. Maksudnya, hari ini boleh ambil MC!
"Lain kali Cik Abang Ngah Di, letak sedozen jam loceng di sebelah telinga. Biar bergema satu bilik dengan loceng. Tak cukup lagi pasang loceng sekolah. Puas hati.” Khairi beri cadangan bernas.
"Melebih-lebih pula." Dari dalam bilik, Hadi kurang setuju.
"Okeylah itu. Jangan kata aku tak tolong beri cadangan."
Pssst! Pssst!
"Hmmm!" Hadi malas-malas menjawab. Sedang fokus menyembur wangian yang sebenarnya kurang digemari Khairi.
Malam semalam Alam dan Hadi menonton perlawanan bola sepak sehingga lewat pagi. Perlawanan antara pasukan Liverpool dan Manchester apa pun dia tidak pasti. Dia tidak berminat akan sukan ini. Sebab itu pagi ini mereka terlewat bangun. Terlupa mengunci loceng jam barangkali.
Sekiranya salah seorang jiran mereka mempunyai lesen memburu yang sah, sudah pasti kepala mereka berdua akan diacukan senapang. Masakan tidak, mereka berdua pula yang menjadi pengulas bola sepak, pengkritik bola juga adalah mereka. Kalah Hasbullah Awang. Kecoh jadinya. Apatah lagi semasa pasukan kegemaran mereka mendapat mata. Punyalah menjerit beriya-iya macam menonton live di stadium.
Khairi menjeling ke arah jam tangannya. Dia tersengih jahat. Cukup dua minit sebaik dia keluar dari bilik Alam.
Arghhh!!! Khairi, tidak berguna!” jerit Alam dari dalam bilik sebaik jam loceng berbunyi menggegarkan bilik. Kemudian terdengar seseorang jatuh katil.
“Aduh!”
“Dia dan bunyi. Dia dah bunyi.” Khairi menyanyi-nyanyi mengajuk watak Ajis dalam filem P. Ramlee.
“Apa hal pula itu?” Hadi terpinga-pinga mendengar jeritan Alam. Kepala dijengahkan di pintu bilik.
“Koala dah bangun pagi. Tetapi malangnya jatuh pokok sebab mengigau tanpa belum sempat gosok gigi. Mengigau di siang hari.” Khairi ketawa mengekek. Puas hati.
“Jiran kita yang mana pula bela koala ini? Makcik Timah itukah? Sejak bila? Tahulah taman bunga dia di hadapan pintu itu baru sekangkang kera. Tak sedar diri duduk di pangsapuri. Takkanlah nak bela koala pula. Ceh. Bertuah dapat jiran begitu. Citarasa lain daripada yang lain.” Hadi tidak rasional walaupun sudah mandi pagi.
“Apa yang bertuahnya?” Khairi tergaru kepala mendengar telahan Hadi. Bila masa pula Makcik Timah yang duduk sebelah rumah bela koala? Jelas kiasannya disalah tafsir. Arnab yang dibela adalah.
“Yalah. Bertuah sebab citarasa luar biasa. Orang dah biasa bela kucing sebagai binatang peliharaan. Boleh dikatakan setiap rumah ada kucing sekurang-kurangnya seekor. Tetapi Makcik Timah garang menyinga kita itu bela koala pula. Nanti nak sangat tengok koala, tak perlulah susah-susah bersesak di zoo. Minta izin sahaja dari Makcik Timah. Tetapi, jangan esok lusa dia bela ular sudahlah. Mahunya terlepas tak ke naya kita semua. Silap haribulan tingkat tujuh diisytiharkan darurat. Terpaksa berpindah ke tempat perlindungan selagi belum dijumpai.”
“Abaikan. Abaikan. Suka hati dialah mahu bela apa. Apa kita sibuk?” Khairi buat tidak tahu.
Hei Khairi, minggu ini aku mahu pulang ke kampung. Mahu ikut?” tanya Hadi. Dia yang sudah berbaju kemeja hijau cair dan berseluar hitam, mengemaskan kedudukan tali leher di hadapan cermin. Nampak segak.
"Eh? Pulang? Pulang ke mana?" Khairi musykil.
“Ke mana lagi. Segamat. Kampung aku cuma satu itu sahaja. Confirm. Sudah confirm. Aku sudah minta cuti. Kali ini mahu pulang lama sedikit. Baru syok.” Hadi menyanyi-nyanyi tanda gembira.
“Segamat? Bukankah engkau baru pulang ke kampung dua minggu lalu? Mengapa nak pulang lagi?” tanya Khairi lagi. Fikirannya terbayang kawasan perkampungan Hadi yang terletak di Johor. Dia juga pernah ke sana suatu ketika dahulu.
Ish! Engkau ini, Khairi. Rumah aku, suka hati akulah. Soalan agak tak bernas pagi-pagi segar begini. Cubalah beri soalan yang boleh merangsang otak aku sedikit. Ini tidak. Soalan tiada kualiti yang dia bagi.”
“Engkau pagi, petang, tengahari, lewat malam sama sahaja. Otak bertepu tahunya cuma nak menyakat orang sahaja. Yalahhh. Memanglah rumah engkau. Tetapi mengapa?”
“Perlu alasankah? Kalau begitu, alasan aku adalah sebab itu rumah aku. Puas hati? Haish!” Hadi mengeleng-gelengkan kepalanya. Tidak mengerti akan Khairi ini. Khairi malas melanjutkan perbualan yang menyakitkan hati.
“Ibu aku suruh tolong dia di kebun. Buah manggis sudah banyak yang masak. Adik aku tak larat untuk kerjakan kebun itu seorang diri,” terang Hadi. Dia menyembur lagi minyak wangi ke seluruh badan. Haruman berbau lavender.
"Oh. Ya. Ya. Ya. Engkau memang ada kebun manggis. Hm... Tetapi, seperti ada sesuatu yang mengganggu fokus akulah." Khairi berimaginasi ke syiling saat sejak Hadi menyebut hal kampungnya lagi.
"Hei. Apa? Engkau dengar atau tak?" Hadi sudah kehairanan.
Khairi tiba-tiba sahaja tersengih sendirian. Semasa di kampung Hadi dahulu, dia sempat berkenalan mesra dengan Fara, rakan sekampung Hadi.
Sebenarnya banyak kejadian lucu Hadi yang diceritakan Fara ketika mereka kecil dahulu. Salah satunya yang membuatkan dia senak menahan lucu adalah, Hadi pernah melompat terjun ke dalam parit di kampungnya, tanpa sempat beraksi mana-mana gaya seperti atlet penerjun profesional negara selepas pulang dari mengaji. Semuanya gara-gara keadaan jalan kampung yang memang gelap dan lampu suluh Hadi sudah kehabisan tenaga bateri. Disergah kawan, Hadi lari lintang-pukang sehingga tersilap pandang jambatan rumahnya sendiri.
Sudah tersilap langkah, memang berakhir dengan basah-kuyup berenang-renang di parit pada malam hari. Mengganggu sahaja ikan-ikan mahu tidur. Keesokkan harinya, Hadi demam dan selsema seminggu. Perasaan kasihan ada. Naluri kuat mengatakan yang dia memang patut jadi perenang separuh masa malam itu pun ada. Siapa tidak kenal Hadi. Bab menyakat orang dia memang top.
“Di ingatan ku terlukis wajah...”
“Abang ku yang gagah...”
“Baik budi serta ramah tamah...”
“Handsome macam gajah...”
“Rasa di hati masam-masam manis...”
“Rindu asmara...”
Hadi tiba-tiba sahaja mendendangkan lagu Dalam Air Terbayang Wajah oleh P. Ramlee tanpa muzik dari gitarnya seperti kebiasaan. Hati Khairi yang berbunga terus menyambung lirik lagu itu.
“Kanda ku jang...”
“Sudah. Sudah. Amboi... Jangan nak berangan. Fara tiada di kampung,” Hadi memintas nyanyian Khairi sebelum ketawa perlahan, sepertinya memahami apa yang bermain difikiran Khairi. Dia yang masih tidak berpunya itu perasan sahaja mahu memikat Fara, gadis kampung manis lagi jelita.
"Dia pergi ke mana?" Tanya Khairi tanpa kias. Khairi mencebikkan bibir yang seksi. Juga segan tidak semena-mena dia tersambung lagu tadi. Jelas hatinya sedang berbunga.
"Engkau memang penyibuk. Usah ambil tahu hal orang."
"Tanya tidak bolehkah? Aku cuma prihatin." Khairi berdolak-dalih.
“Prihatinlah sangat. Makcik tua kerepot yang tinggal di hujung kampung aku, engkau tak nak tanya dia ke mana?” Hadi mendengus.
Khairi mencebik sebal. Hadi ini ada sahaja bahan yang nak disakat. “Yalahhh. Untuk buktikan aku ini terlalu prihatin, aku tanya. Jadi... kenapa dengan makcik itu? Makcik itu ke mana? Ada apa-apa jadi pada diakah? Atau sudah meninggal tahun lepas kerana sakit tua?”
"Taklah. Sihat-sihat sahaja. Dia pergi buat umrah. Sibuk sahaja nak jaga tepi kain Fara. Tak boleh."
"Ceh! Mati-mati aku ingatkan makcik itu sudah tiada. Mulut engkau Hadi memang kaki sakat orang, bukan? Sampaikan aku pun tertipu. Hmm... Kirim salam pada Fara sahajalah." Khairi kecewa.
"Tayar motorsikal posman bocor. Kiriman tak sampai. Sila cuba lain kali, ya Encik Tengku Khairi." Kedengaran Hadi seperti berseloroh.
"Ada-ada sahaja engkau ini, Hadi." Khairi tidak puas hati.
"Yaaa. Aku sendiri tak tahu sekarang ini dia ada di mana, dia buat apa. Enough said. Aduhai. Mana pula aku letak minyak wangi aku?" Hadi menggeledah laci meja.
"Melepas!" Khairi menghembus nafas tidak bersemangat.
"Apa yang melepas?" Hadi malas ambil tahu. "Nak ikut atau tak? Penyertaan terhad. Terlambat tak dapat. Kalau tak mahu, aku ajak Ewan dan Alam sahaja. Alam pun belum pernah lagi pergi ke sana. Engkau dengan Ewan memang dah biasa ke sana masa kita masih belajar di universiti dahulu."
“Hm. Masa di universiti dahulu. Sudah lama. Empat tahun lepas kita baru habis belajar. Lepas habis belajar aku tak pernah lagi pergi ke sana. Aku okey sahaja.”
“Serius atau main-main?” Hadi meminta kesasihan.
“Rasanya aku tiada apa-apa urusan penting pada hujung minggu ini.” Khairi berkira-kira. Mahu memastikan dia dapat mengikut Hadi ke Johor pada hujung minggu ini.
"Cun!" Hadi girang.
"Tetapi, nanti tanya Alam dengan Ewan sekali. Kalau mereka tak segan-silu nak join, aku deal. Pergi ramai-ramai baru happening."
"Yesssz, bos!" Hadi tabik spring pada Cik Abang Long Ri.
Hey, guys. Selamat pagi.”
Tiba-tiba Alam muncul di pintu biliknya. Kelihatan kemas berpakaian formal. Menggayakan dirinya persis model cabuk tiada tauliah. Tiada lagi tahi mata bertumpuk, air liur basi kering dan rambut serabai macai. Yang ada hanya bauan wangian yang kurang digemari Hadi.
Hadi dan Khairi terkejut lantas menoleh dua kali. Muka mereka masing-masing kehairanan.
Heh, lain macam sahaja. Apa ini? Bau kedai,” Hadi bersuara dahulu. Dia curiga. Hidungnya kembang kuncup mencari sumber bau yang tidak dikenali.
“Cepatnya engkau mandi? Mandi kerbaukah?” tanya Khairi pula.
"Apa pula samakan aku dengan haiwan? Tak berseni langsung kata-kata engkau itu, Khairi." Alam menjeling sebal.
"Peribahasalah! Nak kata engkau bebal, tidak juga." Pagi-pagi begini Khairi kurang mengerti mereka.
“Patutlah. Baju baru ya bang?” Hadi ketawa perlahan sambil berjalan menuju ke meja makan.
“Mengapa? Mahu cuba juga? Jealous!” Alam malas melayani sakat Hadi.
“Patutlah bergaya semacam.” Khairi pun mula perasan. Dia memandang Alam dari hujung kaki hingga kepala. Pass! memang lain dari hari yang biasa.
Alam mencebik sambil menjeling tajam rakan-rakannya tanda memprotes komen mereka. Dia sebenarnya mengharapkan pujian atas memperagakan dirinya selama beberapa minit dihadapan cermin untuk kelihatan kacak. Namun, hampa. Selepas menutup pintu bilik, dia turut serta Hadi di meja makan.
“Nasi Goreng Ala-ala Mediteranean! Nice!” Gumam Alam tatkala terlihat hidangan di atas meja.
“Banyaklah hang punya Mediteranean. Nasi Goreng kampung sahaja. Itu sahaja yang sempat aku buat.” Khairi menjelaskan.
“Hm. Pasti terlambat bangun juga,” kata Hadi selamba.
“Ini semua kalian punya fasallah! Tengok bola tak perlulah nak memekak sekali. Sebal hati aku dengan kalian ini.” Khairi marah-marah mereka. Malam tadi tidak dapat tidur lena kerana suasana rumah bingit dengan suara dua makhluk ini. Habis berterbangan semua mimpi-mimpi indah.
Alam mengambil tempat duduk yang bersetentangan dengan Hadi. Air teh panas dituang ke dalam cawan manakala nasi goreng hasil masakan Khairi disenduk ke pinggan.
“Hari ini aku ada pembentangan projek dengan pihak atasan dan pelanggan. Penting. Sebab itu aku memakai kemeja baru ini. Salahkah aku memakai sebegini smart? Salahkah?"
“Taklah salahhh,” Khairi rasional.
"Heh! Patutlah," gumam Hadi.
“Hei! Apa yang ‘patutlah’?” Alam mencebik menahan geram. “Komenlah sedikit. Bagus atau terlebih bagus? Segak atau tampan? Bergaya atau aku memang hari-hari hensem?” Alam tersengih-sengih terangkat kening.
“Mual tekak aku,” kata Hadi lagi sambil membuat gaya muntah-muntah mengalahkan wanita mual berbadan dua.
"Esok pula, pasti sahaja Encik Kamal berperut buncit itu menaikkan pangkat aku,” senyum Alam tanda yakin. Baju kemeja yang dipakai itu baru dibeli di pusat membeli-belah kelmarin. Dia menyuapkan mee, hasil air tangan Khairi, ke mulutnya. Sedap. Pandai betul Khairi masak. Khairi memang pakar dalam hal-hal begini. Cukup package untuk bergelar cef selebriti pertama di Malaysia berstatus.
You wish,” balas Hadi ringkas tanpa memandang Alam. Dia menghirup teh panas perlahan. Patutlah tempoh hari Alam beria-ia benar mengajak mereka berdua ke kedai pakaian bagi membeli kemeja, Rupanya mahu dipakai semasa membuat pembentangan kerja. Klise sungguh.
Hei. Ini Alam Adli Bin Awang Salam. Pekerja cemerlang syarikat merangkap pekerja kesayangan bos. Bukan bos kecil, bos besar.”
“Apa? Kurang jelas. Sila ulang sekali lagi.” Hadi buat-buat tidak dengar. Sengaja menyakitkan hati Alam.
“Gaji baru selepas naik pangkat nanti, aku belanja kalian makan di Restoran Rasa Sedap yang baru buka itu. Mahu?” Alam isi bakul kayu dengan batu, kemudian angkat sendiri. Hidungnya kembang-kempis tanda bangga. Juga malas melayani Hadi.
Khairi yang masih duduk di atas lantai berdekatan dengan rak kasut, masih kehairanan. Pantas betul Alam bersiap. Padahal baru sahaja dia mengejutkan Alam di dalam bilik sebentar tadi. Itupun masih belum bangun lagi.
Ah. Buat apa dia berfikir tentang itu, tiada faedah langsung. Tentang kata-kata Alam itu dia tidak menafikan. Alam sememangnya pekerja yang cemerlang. Dia serba boleh melakukan sesuatu perkara. Semasa di universiti dahulu, Alam juga dinobatkan sebagai pelajar cemerlang oleh pihak universiti di atas pencapaian cemerlangnya di dalam akademik dan juga kokurikulum.
“Kalau fasal belanja makan itu aku mahu ikut. Hehe,” ketawa Hadi sambil tersengih-sengih. Dia tergoda. Kalau bab belanja makan percuma pasti yang pertama ikut serta.
Ceh! Plastik!” Sindir Alam menjeling Hadi yang masih tersengih-sengih.
Alam mengunyah mee dengan penuh selera. Namun, apa salahnya jika dia mahu membelanja makan rakan-rakannya itu. Asyik mereka sahaja yang membelanja aku. Fikir Alam sambil ketawa di dalam hati.
“Sekiranya begitu, bulan berikutnya engkau tidak akan terlepas dari membayar hutang aku, yang hampir sahaja mencecah angka digit empat,” giliran Khairi pula tersengih-sengih. 
Alam tersedak serta-merta. Makanan yang sedang dikunyah di dalam mulut habis semua tersembur keluar.
“Yalah, yalah. Aku janji bayar,” balas Alam sambil mengelap mulut dengan tisu.
“Sudah, sudah. Alam cepat makan. Sudah pukul berapa ini? Lewat pula ke tempat kerja nanti.”
“Awal lagi,” kata Alam selepas menjeling jam dinding di atas televisyen.
“Nanti Encik Kamal perut buncit bos kesayangan engkau itu tidak jadi menaikkan pangkat sekiranya engkau lewat. Melepas kami mahu makan percuma,” Hadi membebel-bebel. Segera bangun dan membawa cawannya ke sinki. Pagi ini dia tidak terasa mahu bersarapan. Bukannya kerana masakan Khairi itu tidak menarik selera, namun perutnya yang terasa tidak beberapa elok. Terasa memulas.
“Awal sebab engkau naik motorsikal. Tidak sangkut di traffic jam.” Khairi mencelah.
Alam tiada selera mahu memakan baki meenya selepas hasil mee dia tersedak tadi termasuk ke dalam pinggannya sendiri. Sebelum bangun, dia memeriksa seluarnya sekira terdapat sisa makanan yang tertumpah.
“Sekiranya aku lewat pun, Encik Kamal tetap tidak akan memarahi aku,” Alam membalas kata-kata Hadi. Memang betul apa yang dikata, sudah beberapa kali dia terlewat. Namun, disebabkan dia ada kepentingan di mata bosnya itu, tiada siapa yang berani memarahi dia. Termasuklah rakan-rakan sekerja.
Namun demikian, dia bukannya seseorang yang suka mengambil kesempatan. Cuma, kadang-kala sahaja dia terlewat. Alam ketawa nakal di dalam hati.
“Sudah. Sudah. Mari. Mari turun. Sudah lewat ini. Tinggalkan sahaja pinggan mangkuk di sinki. Pulang nanti baru kemas,” arah Hadi sambil menuding-nudingkan jarinya pantas.
“Oh Hadi, so nice of you. I’am glad to be friend with you.” Alam bersandiwara. Kemudian dia ketawa terkekek-kekek, terjengket-jengket berlari anak menuju ke rak kasut.
“Apa yang kelakar? Tahulah aku yang rajin mengemas.” Hadi berlagak.
Ceh! Look who is talking here. Rajin mengemas? Aku yang rajin mengemas. Kalian? Kalian pemalas!” Khairi membebel-bebel. Hadi dan Alam ketawa mengekek-ngekek memecah suasana pagi di pangsapuri. Seraya cepat-cepat menuju ke muka pintu keluar rumah.
Itu adalah rutin mereka setiap hari. Setiap pagi, Alam, Hadi dan Khairi akan bersarapan bersama-sama di meja makan. Kemudian, turun ke tempat kereta dan bergerak sama ke tempat kerja. Pada waktu rehat pula, mereka akan makan tengah hari bersama-sama di tempat yang sama, walaupun tidak bekerja di bawah satu bumbung syarikat. Dan pada waktu malam pula, pasti sahaja mereka akan melepak bersama-sama. mereka bertiga adalah rakan baik sejak dari universiti lagi, malah kenal rapat antara satu sama lain. Termasuk Si Ewan Bermata Empat, rakan mereka tetapi tidak turut serta tinggal di pangsapuri ini. Ini kerana asal-usul keluarganya memang lahir di Kuala Lumpur ini. Sekali-sekala sahaja dia akan datang ke sini.
Mereka turun dari tingkat tujuh itu menggunakan lif yang paling kanan. Kelihatan berpuluh-puluh kereta tersusun cantik di tempat letak kereta. Terdapat juga beberapa buah kereta yang baru sahaja mahu keluar dari tempat letak kereta ini.
“Selamat pagi, Uncle Sam. Aiyoo, hari ini uncle nampak handsome maa. Kalah sama itu Khairi. Pakai baju lawa-lawa tarak sama handsome macam Uncle Sam walaupun pakai baju jaga sahaja,” Alam menegur Uncle Sam, pengawal keselamatan pangsapuri yang berbangsa India itu. Pengawal itu kelihatan baru selesai membuat rondaan di sekeliling pangsapuri.
Khairi menjeling Alam. Nama aku juga yang disebut pagi-pagi ini. Berfikir dia di dalam hati. Dia dan Hadi menuju ke kereta masing-masing. Alam pula ke arah berlawanan kerana dia hanya memiliki motor sahaja. Baru sahaja dibeli awal tahun ini.
Aiyoo, kamu ada-ada sahaja. Lagi pula, Uncle Sam memang hari-hari nampak handsome,” Uncle Sam membalas. Dia sedikit bangga mendengar pujian Alam. Terlalu kontrast. Bayangkan Uncle Sam bertubuh hitam, memakai baju pengawal keselamatan berwarna putih pula. 
“Selamat pagi, Hadi, Khairi,” Uncle Sam menyapa. Hadi dan Khairi hanya mengangkat tangan sahaja tanda membalas sapaan itu. Masing-masing sudah mahu masuk ke dalam kereta.
“Hei, itu budak ah, ada kasi beritahu. Suruh pesan sama kamu, hari ini dia tidak ke sekolah. Hari ini dia cuti sekolah,” Uncle Sam berkata lagi. Dia yang agak berbadan gempal itu menyebabkan baju seragamnya kelihatan sendat. Di pinggang tersisip baton hitam manakala tanda nama di dada terukir Sammuel Nathan.
“Budak mana, Uncle Sam?” Alam yang baru sahaja mahu mengeluarkan kunci motor FZ berwana putih miliknya itu dari poket seluar, menoleh semula.
“Budak mana lagi kalau bukan Syafiq. Anak Mak Cik Zainab penjual nasi lemak itu. ” Uncle Sam menjawab. “Apa sudah jadi sama kamu Alam? Budak itu baru sahaja bercuti selama dua minggu, kamu sudah lupa sama dia. Aiyoo,” Uncle Sam menggelengkan kepala.
Dia berjalan menghala ke pondok pengawal yang hampir dengan pintu keluar tempat letak kereta. Pada jam 7.30 pagi, kerjanya tamat dan bertukar tugasan dengan pengawal lain pula.
Alam menepuk dahi. Baru teringat. Menjadi tugasan dia menghantar budak berumur 10 tahun, Syafiq itu ke sekolah pada setiap hari.
Namun, dia bernasib baik. Mujur sahaja budak itu bercuti pada hari ini. Kalau tidak, Syafiq juga akan sama terlewat dan seraya itu diceramah oleh Cikgu Yusry, guru disiplin Sekolah Rendah Kebangsaan Bandar Baru itu.
Sama seperti yang terjadi pada bulan lalu. Di mana dia terlewat bangun dan  tergesa-gesa menuju ke sekolah. Semasa dalam perjalanan, dia hampir sahaja terlanggar ayam Pak Rahman yang terlepas dari reban. Setibanya di hadapan pintu sekolah pula, guru disiplin itu sudah tercegat bersama-sama dua murid yang turut sama terlewat.
Tidak fasal-fasal, Alam juga turut diceramah panjang lebar oleh guru bermisai tebal pada pagi itu. 
Namun, dia kehairanan. Baru sahaja bercuti penggal kedua sekolah selama dua minggu, hari ini sudah bercuti semula? Pelik.
Selepas membuka rantai kunci pada tayar, dia memasukkan kunci motorsikal ke tempatnya. Selesai memutarkan kunci, dia memulas-mulas pemegang motorsikal itu.
Vroom. Vroooom. Bunyi enjin motorsikal bergema di kawasan tertutup itu. Asap pula mula keluar dari corong ekzos yang berkilat. Kelihatannya, Alam menjaga motorsikal kesayangannya dengan baik.
“Uncle, malam tadi ada sesiapa yang cuba mahu mencuri motorsikal sayakah?” Alam menjerit ke arah pondok pengawal.
Dengan suara sedikit menjerit, Uncle Sam menjawab sinis. “Siapa yang mahu mencuri motorsikal kamu itu? Rantai kunci sahaja kamu sudah pasang tiga. Siap dengan penggera lagi. Tidak akan ada yang berani mahu mencuri,” Uncle Sam tahu Alam bergurau.
Alam ketawa sebaik sahaja mendengar komen pak cik itu. Menampakkan barisan giginya yang putih bersih.
Dia segera memakai jaket berwarna hitam dan menyarungkan helmet berjenama KHI di kepalanya. Selepas menyapa pengawal yang menggantikan Uncle Sam, lantas memecut ke arah jalan besar mendepankan kereta Hadi dan Khairi.


* * * * *

Waktu pagi yang indah kurniaan tuhan ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap manusia. Pagi-pagi lagi sudah pun bangun untuk mencari rezeki mahupun menuntut ilmu baru.
Termasuklah Alam yang terbiasa dengan kehidupannya. Dia menunggang motorsikal dengan cermat mencelah-celah setiap kereta yang ada di atas jalanraya. Sama seperti dia. Pemiliknya turut menuju ke satu destinasi dimana setiap hari mereka menuju ke tempat yang sama.
Sekali-sekala, Alam berhenti apabila lampu trafik menunjukkan lampu berwarna merah. Sambil itu, memerhati setiap individu disekelilingnya. Ada yang berjalan bersama teman, terdapat juga seorang mak cik tua yang berniaga kuih secara kecil-kecilan di tepi jalan, pemandu teksi yang sedang menunggu pelanggan dan juga pelajar-pelajar sekolah yang sedang menunggu bas.
Mereka ini masing-masing sibuk akan hal mereka tanpa mempedulikan individu lain.
Apabila lampu trafik menunjukkan warna hijau terang, Alam meneruskan perjalanan menuju ke tempat kerja. Beberapa minit kemudian, dia tiba di satu kawasan tempat letak kereta. Kelihatannya, hanya terdapat lima buah motorsikal tersusun cantik di satu sudut yang hampir dengan jalan masuk. Selebihnya kawasan itu dipenuhi dengan kereta pelbagai jenama.
Selepas memastikan rantai kunci motorsikal terkunci kemas, dia membuka jaket dengan penuh berhati-hati. Takut sekiranya baju kemejanya terdapat kesan lipatan yang teruk. Melihat jam tangan yang menunjukkan tepat jam 7.55 pagi, dia lantas menuju ke lif bersama-sama dua lagi individu lain yang ada di tempat letak kereta itu. Tanpa menegur, dia hanya tercegat menunggu pintu lif terbuka.
Tiba-tiba terdapat seseorang menepuk bahunya dari belakang diikuti dengan satu suara menyapa. Alam menoleh.
“Selamat pagi, Ris,” pemuda berkaca mata yang agak rendah dari dia itu tersengih-sengih.
“Ah, Ewan. Aku fikir engkau sudah berada di pejabat seperti biasa?” Alam hairan kerana rakan baiknya serentak rakan sepejabatnya itu lewat tiba. Tidak seperti biasa yang sentiasa awal ke pejabat.
“Biasalah, jalanraya sesak seperti biasa. Ini kawasan bandar, bukannya jalan kampung yang engkau boleh membuat sesuka hati dengan motorsikal engkau itu,” Ewan sempat menyakat Alam. Dia menjeling ke arah penunjuk kedudukan lif yang menunjukkan arah bawah berwarna merah.
Alam mencebik tanpa memandang Ewan. “Beritahu sahaja yang engkau terlewat kerana menonton perlawanan malam tadi, bukan? Jalanraya pula engkau persalahkan.”
Ewan ketawa perlahan. Menampakkan lesung pipitnya yang kecil.
“Mestilah. Pasukan kegemaran aku sedang beraksi. Lebih-lebih lagi menentang pasukan kegemaran engkau. Tidak boleh terlepas menonton,” balas Ewan selamba. Alam pula hanya menjeling sinis Ewan dengan kedudukan tangan disilang di dada. Tangan kanan Ewan pula berpaut pada bahu kiri Alam.
Lif berbunyi sekali dan mereka sama-sama masuk ke dalam lif yang agak sempit selepas pintunya terbuka. Diikuti dua orang individu lain. Pagi itu mereka tiba agak lewat sedikit dari kebiasaan. Namun, sempat tiba sebelum pukul 8.00 pagi.
Alam sudah bekerja sebagai akauntan di syarikat DayaMaju sejak setahun yang lalu. Begitu juga dengan Ewan, rakan baiknya sejak dari universiti lagi.
Namun, prestasi kerja Alam yang agak baik mendapat perhatian pemilik syarikat penghasilan perabot kayu ini, iaitu Encik Kamal. Jadi, tidak hairanlah jika Alam melakukan beberapa tugas di dalam syarikat kerana telah menjadi orang kepercayaan Encik Kamal. Gaji Alam pula usah dikata. Sudah tentu dia mendapat bayaran yang setimpal.
“Okey, Alam. Jumpa waktu makan tengah hari nanti. Tunggu aku di tempat letak kereta,” Ewan mula berjalan ke arah bertentangan dengan Alam. Cermin mata berbelang hitam dan putih ditolak ke atas sedikit supaya lebih selesa.
Alam cuma menunjukkan  isyarat okey dengan menggunakan jari-jemari tangan kiri yang diangkat separa leher. Seterusnya mengatur langkah dengan cermat ke arah meja yang terletak hampir dengan bilik bos. Beberapa orang pekerja lain juga telah tiba. Masing-masing melakukan hal sendiri. Yang perempuan ada yang sempat bersolek, ada yang sedang berbual-bual di talian dan yang lelaki pula ada yang sedang mengemaskan meja sendiri agar lebih selesa untuk melakukan tugas pada hari itu.
Huhh. Alam mengeluh. Dia bersandar di kerusi hitamnya yang empuk manakala kedua-dua belah tangan diletakkan di pemegang kerusi di sisi. Fikirannya mula ligat memikirkan sesuatu. Melihat akan raut wajah yang sedikit monyok menunjukkan dia sedang memikirkan sesuatu masalah yang ditimpa. 
Sejak kebelakangan ini, dia perasan terdapat beberapa rakan sekerja yang mula mengelak bertemu dan berbual dengannya. Mereka kelihatan seperti menjauhkan diri dan mula tidak bertegur sapa, tidak kiralah pekerja lelaki mahupun pekerja perempuan. Semua berkelakuan yang sama. Sekali-sekala ada juga dia mengajak makan bersama di luar. Namun, mereka selalu sahaja mengelak dan memberi pelbagai alasan yang tidak seberapa munasabah.
Ada yang memberi alasan terlalu banyak kerja dan takut tidak dapat menyiapkan tugas dalam masa ditetapkan. Ada juga yang memberi alasan sakit perut dan tidak dapat keluar bersama. Namun jika diperhatikan, yang memberi alasan terlalu banyak kerja itu, pada waktu kerja sempat sahaja berbual di telefon berpuluh-puluh minit lamanya. Malah telefon pejabat pula yang digunakan. Manakala, yang memberi alasan sakit perut itu, beberapa minit sebelum itu sempat pula ketawa besar apabila berbual dengan rakan. Jika ketawa dengan perlahan tidak mengapa, ini tidak, gaya sahaja lebih seperti sedang menonton rancangan Maharaja Lawak pula. Ataupun rancangan Running Man, program televisyen dari Korea itu.
Ah. Alam tidak mahu bersangka buruk. Mungkin itu semua cuma perasaannya sahaja. Alam menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembus sakali. Dia cuba menenangkan hatinya. Untuk memulakan kerja, fikiran perlu dalam keadaan tenang dan bersedia agar segala tugasan dapar berjalan lancar.
Alam membaca bismillah dan mula membuka kertas kerja yang telah disediakan untuk dibentangkan sebelum waktu makan tengah hari nanti. Mahu menyemak buat kali terakhir.
Sedang dia meneliti kertas kerja dengan cermat. Encik Kamal mula berjalan masuk dari pintu utama.
“Selamat pagi, Encik Kamal,” beberapa orang pekerja memberi hormat kepada Encik Kamal.
“Selamat pagi,” balas Encik Kamal. Dia berjalan terus ke arah bilik yang terletak di hujung ruang pejabat. Dia yang berpakaian kot dan terdapat sedikit misai di wajahnya bertegur sapa dengan pekerjanya yang lain.
“Assalamualaikum, Alam. Selamat pagi,” Encik Kamal menyapa Alam terlebih dahulu. Setelah melihat Alam khusyuk di meja tanpa menyedari kehadirannya. “Pagi-pagi lagi muka sudah kelihatan sedih seperti itu. Bagaimana rezeki mahu masuk?” Tegur Encik Kamal. “Ada masalah?”
“Waalaikummusalam. Selamat pagi Encik Kamal,” balas Alam yang sedikit terkejut. Lantas berdiri menyebabkan helaian rambutnya yang terjuntai ke hadapan dahi yang putih luas itu berayun sedikit. Raut wajahnya segera ditarik agar tersenyum lebar berhadapan dengan majikannya itu. “Tiada apa-apa Encik. Biasa sahaja. Encik sihatkah hari ini?” Alam berseloroh tanya. Mungkin mahu menutup perilaku dia yang sememangnya agak bermonyok memikirkan hal di tempat kerja itu.
Encik Kamal yang baru sahaja mahu memulas tombol pintu biliknya menoleh sambil ketawa. “Hahaha. Mestilah saya sihat. Jika tidak bagaimana saya boleh berdiri di sini hari ini. Hahaha,” Ada-ada sahaja pekerjanya ini. Mahu bergurau dan beramah-mesra barangkali. Namun, sebelum ini tidak pula berkelakuan seperti ini.
Alam terkejut Encik Kamal ketawa besar. Selepas Encik Kamal masuk ke dalam biliknya, Alam menyandar di kerusi sambil menampar-nampar pipi. Apa yang difikirkannya ketika ini. Sudah tentulah Encik Kamal sihat-sihat sahaja. Barangkali dia yang tidak sihat agaknya.
Mujur Encik Kamal seorang majikan yang terbuka minda dan merendah diri. Sering mengambil berat akan perihal pekerja bawahan. Jika dapat majikan yang hanya tahu mengarah seperti diktator tanpa sebarang kompromi, akibatnya siapa yang sanggup duduk di bawah mereka. Memanglah mereka itu orang atasan dan berkuasa memerintah sekehendak mereka. Namun, kebajikan orang bawahan perlu di ambil kira.
Pap. Bunyi meja dipukul menganggu lamunannya.
“Amboi. Termenung nampak. Sudah tiada kerja hendak dibuatkah?” Wanita muda berumur dalam lingkungan lewat 20-an menegur. Bibirnya dijuihkan. Dia memakai baju kurung dan bertudung ungu, di tangan kiri pula terdapat secawan kopi. Pasti tangan kanan yang tiada insuran itu yang mengetuk meja dia sesuka hati. Buat terkejut sahaja. Fikir Alam.
Belum pun sempat Alam berkata-kata, wanita muda itu menambah.
“Kalau tiada kerja. Tolong buat kerja aku. Kerja aku berlambak lagi yang perlu dibuat. Mentang-mentanglah pekerja kesayangan bos, ingat boleh senang-lenang duduk dalam pejabat ini. Heh. Jangan harap,” wanita muda itu memprovok Alam. Tangan kanannya bergerak-gerak selari dengan percakapan. Tangan kirinya pula berayun sedikit yang masih lagi memegang tinggi secawan kopi yang panas. Terlihat wap air panas masih keluar dari cawannya itu. 
Kalau sahaja tertumpah di atas kertas kerja ini, tahulah dia siapa yang perlu dipersalahkan. Alam segera menutup fail kertas kerjanya itu, lalu membalas selamba.
“Kerja saya itu pastilah saya yang perlu siapkan, kerja mak cik biarlah mak cik yang perlu siapkan. Kenapa saya pula yang perlu siapkan?” alunan suara sedikit berirama. Alam membuka laci meja dan memasukkan failnya itu tadi. Dia sengaja memanggil wanita itu mak cik. Mahu memanaskan telinga wanita yang sebenarnya bernama Hani.
“Yalah. Habis itu, termenung sahaja sambil bergoyang kaki pagi-pagi lagi ini. Lagi pula, siapa mak cik engkau?” suara Hani meninggi. Telinganya panas dipanggil mak cik oleh Alam. Kaki sudah melangkah ke bilik Encik Kamal. Pasti itu air untuk Encik Kamal. 
“Eh. Bila masa pula saya termenung sambil bergoyang kaki? Saya rasa saya cuma termenung sahaja,” balas Alam berlagu kehairanan. Tangannya didepakan.
“Ah. Samalah juga. Termenung juga, bukan!” balas Hani laju. “Ah. Sudahlah. Melayan engkau ini lama-lama air kopi ini pun boleh jadi sejuk. Kata Hani sambil menudingkan jari telunjuk tangan kanannya ke arah cawan.
“Hati-hati jalan. Takut terjatuh lagi seperti nangka busuk,” Alam segera membalas sinis. Raut wajahnya tersengih-sengih teringat kejadian minggu lepas.
Dimana, Hani jatuh terjelopok di hadapan pemuda kacak yang baru sahaja ditemuduga sendiri oleh Encik Kamal. Malunya tidak terkira. Jatuh saham. Mujurlah pemuda itu tidak diterima bekerja disini. Jika tidak,  setiap hari Hani perlu menahan malunya di hadapan pemuda itu. Hehehe.
Ketawa Alam di dalam hati. Tidak terbayang perempuan yang selalu sahaja mengaku wanita Melayu terakhir itu, tertunduk malu-malu dihadapan pemuda itu sekiranya dia diterima bekerja.
Tanpa membalas, Hani cuma menahan geram dengan mengepalkan tangan kanannya dan diangkat setinggi tangan kiri. Hendak mengepalkan tangan kiri sudah tentu tidak boleh. Lantas mengetuk pintu bilik Encik Kamal sebanyak tiga kali dan memulas tombol pintu sebelum masuk. Matanya dijegilkan ke arah Alam sebelum hilang di balik pintu yang sengaja tidak ditutup Hani. Pasti malu.
Manusia ini memang diciptakan Allah dengan berbagai-bagai sikap. Ada yang begini, ada yang begitu. Ada yang kekurangan ini, namun ada kelebihan itu. Jika berada di tengah-tengah sekumpulan manusia, kita boleh melihat pelbagai perangai manusia. Lumrah manusia pula untuk mereka mengkritik dan mengadili sesama manusia. Sekejap-sekejap, ah, kenapa aku tidak seperti orang itu. Sekejap-sekejap,  aku tidak suka orang itu, kenapa sahaja dia tidak menjadi seperti aku, satu kepala. Kan mudah. Baru dunia ini sempurna.
Namun, jika befikir logik, perbezaan itulah suatu kesempurnaan yang Allah ciptakan ke atas manusia. Jika semua perlu orang perlu menjadi seperti Si A, siapa pula yang perlu menjadi Si B, dan siapa pula yang perlu menjadi seperti SI C.
Hal ini boleh dianalogikan seperti, terdapat dua kumpulan perisik yang diberi tugas untik melaksanakan sesuatu misi. Kumpulan pertama mempunyai ahli dengan berbeza-beza kepakaran dan bidang, manakala kumpulan kedua pula semua ahlinya mempunyai kepakaran yang sama dalam satu-satu bidang sahaja.
Semasa melaksanakan misi sukar dan menempuhi pelbagai cabaran yang tidak mereka ketahui, kumpulan pertama boleh dilihat sebagai sebuah kumpulan yang sempurna berbanding kumpulan kedua. Kerana terdapat ahli-ahlinya yang mempunyai pelbagai kepakaran untuk menempuhi misi itu. Hal ini sama juga seperti manusia.
Alam mula melakukan kerja-kerja dia dengan tekun dan cermat. Gayanya kelihatan serius. Sekali-sekala terdengar juga rakan-rakan sekerjanya yang mengata dia di belakang. Namun, dia buat tidak peduli.
Beberapa saat kemudian, Hani keluar dari bilik Encik Kamal dengan membawa beberapa buah fail tebal. Mukanya masih  kelihatan marah. Alam menjeling. Hani turut menjeling.
Apabila mata mereka bertembung pandangan, Hani segera menoleh kehadapan. Buat-buat seperti tidak menjeling ke arah Alam.
Alam hanya menggeleng kepala.

* * * * * 

“Ahhh. Dimana pula Si Hadi ini. Tadi kata cuma sebentar. Ini sudah hampir 15 minit lamanya,” rungut Khairi sendirian. Dia berdiri di hadapan sebuah kedai menjual telefon bimbit. Baju kemejanya basah bermandikan peluh. Kakinya pula gatal-gatal digigit semut api. Sebenarnya sudah lima kali dia bertukar tempat berdiri kerana mahu mengelak semut api.
“Jika lama lagi takut tidak sempat untuk makan tengah hari,” dia membebel. Jam tangannya sudah ditatap buat kali ke sepuluh. Kali yang kesepuluh itu menunjukkan jam 1.16 minit petang. Sementara menunggu, matanya meliar ke arah sekeliling. Waktu ini memang ramai pekerja keluar untuk makan tengah hari. Jadi, keadaan jalan raya agak sibuk.
Betul-betul di hadapan kedai menjual telefon bimbit itu, terdapat seorang mak cik tua. Bersama anak lelakinya barangkali, menjual air buah-buahan. Dan setiap kali juga dia memandang ke arah mereka, pasti air liurnya ditelan kosong. Ah. Cuaca di Malaysia memang panas. 
Sekali-sekala, ada juga jurujual yang mempromosikan produk pencuci muka mereka pada Khairi.
“Mahu beli produk kami ini? Murah sahaja, dan cepat berkesan. Belilah. Murah sahaja.”
“Ah. Tidak mengapa. Tidak mengapa. Sudah ada,” balas Khairi tersipu-sipu. Dia mencebik sebaik sahaja jurujual itu pergi.
“Tidak nampakkah? Muka aku yang sudah putih dua tona ditambah lagi kacak ini,” bebel Khairi sendirian sambil menyentuh pipinya.
Selang beberapa buah kedai di dalam blok bangunan yang sama, terdapat sebuah cawangan Bank Islam, dimana betul-betul di hadapan pintunya terdapat seorang budak lelaki bersongkok. Budak itu kelihatan berumur dalam lingkungan 13 atau 14 tahun, duduk di sebuah kerusi. Khairi tidak berapa pasti.
Manakala di tangannya terdapat sebuah buku dan di hadapannya pula terdapat sebuah tabung yang diletakkan di atas kerusi. Sekali-sekala terdapat juga beberapa orang yang keluar masuk dari Bank Islam itu memasukkan sesuatu ke dalam tabung. 
Khairi segera menyeluk poket hadapan seluar lalu mengeluarkan dompet berwarna kelabu hitam. Setelah mengeluarkan sekeping not berwarna hijau, Khairi memasukkan semula dompetnya di poket hadapan sebelah kiri. Khairi sememangnya tidak gemar meletakkan dompet di poket belakang. Dia sendiri pun tidak tahu mengapa. Sudah terbiasa dari kecil barangkali.
Khairi mula melangkah perlahan ke arah Bank Islam, sementara not berwarna hijau gelap ditangannya dilipat kecil. Setibanya dia di hadapan budak lelaki itu, pandangan Khairi dan budak lelaki itu bertembung. Mereka sama-sama berbalas senyuman.
“Assalamualaikum,” Khairi memberi salam terlebih dahulu. Not berwarna hijau gelap yang dilipat kecil tadi dimasukkan ke dalam tabung. Dia sempat membaca tulisan pada kertas yang ditampal pada tabung itu. Derma untuk baik pulih bangunan rumah anak-anak yatim. Baca Khairi.
“Waalaikummussalam,” budak lelaki itu menjawab salam Khairi. Dia sempat melihat ke arah not yang didermakan Khairi tadi, sebelum berkata dengan wajah yang tersenyum. “Terima kasih, abang. Abang mahu resit?”
“Tidak mengapa. Emm, adik ini nama siapa? Umur berapa tahun?” tanya Khairi sambil badannya sedikit membongkok.
“Nama saya Khalil. Muhammad Khalil Bin Hafiz. Bulan ini umur saya masuk 14 tahun,” balas Khalil dengan wajah yang masih lagi tersenyum, menampakkan giginya yang putih.
“Khalil? Wah nama kita hampir serupa. Ada K dan H di hadapannya. Nama abang Khairi,” kata khairi. Hampir tepat tekaannya tentang umur Khalil.
“Khalil dari rumah anak yatim di mana?” tanya Khairi. Badannya masih lagi membongkok.
“Saya dari Rumah Anak-Anak Yatim Qaseh,” Khalil pula masih lagi menjawab dengan wajah tersenyum.
“Rumah Anak-Anak Yatim Qaseh? Macam pernah dengar saja. Emm. Tidak mengapalah. Abang pergi dahulu. Tadi abang sedang tunggu rakan abang. Sekarang ini pasti dia sedang tercari-cari abang.” Khairi mula menegakkan badan semula. Kakinya pula mula melangkah ke arah kedai menjual telefon bimbit selepas mengucapkan salam.
Khalil masih tersenyum menjawab salam Khairi sebelum mula menatap buku yang dipegangnya.
Khairi menoleh sekali ke arah Khalil setelah beberapa langkah berjalan. Murah rezeki budak ini. Muka asyik tersenyum sahaja. Kata Khairi di dalam hati.
“Kemana saja Hadi ini? Takkanlah dari tadi masih tidak keluar-keluar lagi?” setiba dia di tempat dia berdiri menunggu Hadi, kepalanya dijengukkkan ke arah kedai itu. Ah, tidak nampak. Cerminnya terlalu gelap. Dengan rasa tidak berpuas hati, kedua-dua belah tangannya diletakkan ke cermin kedai manakala mukanya ditekup sama. Dengan harapan dapat melihat Hadi yang masih tidak keluar-keluar dari kedai itu.
Gayanya tidak ubah seperti budak kecil selepas meminta untuk dibelikan permainan, namun tidak dibenarkan oleh ibunya. Lalu yang boleh dilakukan hanyalah melihat permainan itu di balik cermin kedai.
Orang yang berada di dalam kedai dan yang lalu-lalang di hadapan kedai hanya memerhati dengan wajah kehairanan. Ada yang ketawa geli hati melihat Khairi.
“Khairi. Khairi!” 
Khairi menoleh ke belakang 180 darjah betul-betul menghadap ke arah kereta Hadi.
“Khairi. Apa yang engkau sedang buat itu. Macam budak kecil sahaja. Memalukan betul. Hahaha,” rupanya Hadi yang memanggilnya. Dia sudah pun tercegat di sebelah keretanya sambil ketawa terbahak-bahak melihat gelagat Khairi sebentar tadi.
“Engkau ini ke mana sahaja. Aku tunggu dari tadi lagi disini,” Khairi melangkah perlahan ke arah Hadi. Matanya dijeling marah.
“Aku sudah keluar dari tadi. Aku lihat engkau tidak ada diluar kedai, aku pun tunggu di dalam kereta. Sudah, mari makan. Perut aku sudah lapar. Pasti Ewan dan Alam sudah tunggu lama,” balas Hadi. Dia masih ketawa kecil perihal tadi.
Dia tidak tertahan mahu gelak apabila Khairi berkelakuan begitu dari dalam keretanya. Orang yang lalu-lalang pula tidak malu untuk ketawa melihat Khairi seperti budak kecil. Termasuk seorang budak sekolah rendah sedang makan lolipop lalu di belakang Khairi. Mulutnya terlopong melihat Khairi sampaikan terlanggar tiang batu kedai.
Khairi dan Hadi sama-sama masuk ke dalam kereta. Selepas memastikan tiada kereta yang lalu dibelakang, Hadi memandu kereta keluar dari kawasan tempat letak kereta, lalu memecut.

* * * * *

“Blurrp. Ah kenyang. Alhamdulillah,” Ewan sendawa. Air kosongnya disedut perlahan.
“Dimana mereka berdua ini? Tak rehat bersamakah? Tapi, mengapa tidak beritahu awal-awal?” Alam bertanya. Nasi goreng pattaya di hadapannya disuap perlahan.
“Sekejap lagi tibalah. Kalau aku tak silap, Hadi beritahu mahu membeli telefon bimbit baru. Pasti mereka berdua ada singgah di mana-mana kedai telefon sebelum ke sini,” Ewan menjawab. Mulutnya dilap menggunakan tisu.
“Ha? Mengapa dengan telefonnya yang sebelum ini?” air milo ais diteguk Alam, sambil memandang ke arah luar restoran. Panas cuaca hari ini.
“Bukan dia ada beritahu sebelum ini, yang telefonnya termasuk ke dalam lubang tandas?” balas Ewan spontan.
Uhuk. Uhuk. Alam terbatuk perlahan.
“Lubang-lubang tandas jangan disebut-sebut. Aku tengah makan ini,” Alam memarahi Ewan. Air milo aisnya diteguk lagi.
“Bukan engkau yang bertanya tadi? Aku pun jawab sahajalah,” selamba Ewan menjawab tanpa memandang Alam. Telefon Sony Ericson Xperia Ray miliknya dikeluarkan dari poket seluar hadapan. Segera kekunci telefon dinyah aktifkan. Ewan tercari-cari aplikasi permainan Candy Crush sebelum menekannya.
“Ewan, engkau ada saudara-mara yang ada penyakit kencing manis?”
“Emm. Ada. Mengapa?”
“Engkau lihat saudara engkau itu bagaimana keadaanya?” Tanya Alam serius.
“Sebenarnya mak cik aku yang ada penyakit kencing manis itu. Keadaanya agak teruk, sebelum mula merebak kakinya perlu dipotong. Sekarang ini bertambah elok.”
“Sebab itu aku pesan air kosong sahaja. Kurang minum air yang manis-manis. Engkau juga perlu kurangkan minuman manis, seperti Milo Ais ini. Hari-hari minum air ini sahaja. Tidak takut jadi seperti mak cik aku bila sudah tua nanti?” Ewan menjawab dengan nada serius.
“Yalah. Aku pun rasa sekarang ini kaki aku seperti ada penyakit ‘kencing manis’. Terasa sakit-sakit sahaja sekarang ini.”
“Ha? Betulkah? Itulah engkau, aku baru sahaja beri nasihat. Lihat, sekarang sudah terlambat.”
“Sudah berjumpa doktor belum? Untuk buat pemeriksaan sebelum merebak lebih teruk?”
“Aku rasa tidak perlu berjumpa doktor,” Alam membalas.
“Habis itu, jumpa bomoh? Apa yang bomoh boleh buat? Sekarang ini zaman moden, tidak perlu khidmat bomoh.”
“Bukanlah.” Alam menyampuk namun segera disambung Ewan.
 “Lagipun, kita orang Islam tidak elok percaya kepada bomoh-bomoh ini. Petang ini aku temankan engkau berjumpa doktor. Mahu? Kita pergi hospital di hujung bandar itu.”
“Ish. Bukan-bukan. Tidak perlu berjumpa bomoh dan aku tiada penyakit kencing manis. Kaki aku sakit sebab dari tadi lagi engkau pijak kaki aku. Sakit, tahu?” Alam memarahi Ewan.
“Ah. Maaf-maaf. Tidak sengaja. Tidak sengaja. Patutlah dari tadi aku rasa lantai ini lembut sahaja. Hahaha.” Ewan ketawa sambil menggaru kepala.
“Kalau sudah tahu, angkatlah kaki engkau itu.”
“Oh. Yalah terlupa pula. Haha.” Ewan menggaru kepala lagi sambil mengangkat kaki kanannya.
Alam mencebik. Pandangan matanya dilarikan ke arah luar restoran.
“Mengapa engkau ini? Dari tadi serius sahaja. Seperti ada masalah.”
“Tiada apa-apalah.”
“Ceritalah pada aku.”
Alam menjeling Ewan.
“Oh. Okey-okey. Aku tidak tanya lagi,” balas Ewan tersengih-sengih.
Alam menyambung menyuapkan nasi ke dalam mulut. Tidak perasan kerusi disebelahnya yang kosong ditarik.
“Adik. Ambil order, dik,” Khairi bersuara sederhana kuat untuk pelayan restoran yang berada di kaunter dengar. Dia duduk sambil peluh di dahi dilap menggunakan lengannya. Begitu juga dengan Hadi yang sudah pun duduk bertentangan dengannya, iaitu disebelah Ewan.
Alam dan Hadi cuma memandang mereka berdua. Sebelum Alam menyambung menghabiskan nasinya, manakala Ewan pula menatap menatap kembali ke arah telefon bimbitnya.
Selesai memesan makanan dan minuman masing-masing. Mereka mula bersuara.
“Telefon bimbit jenama apa yang engkau beli?” Ewan bertanya apabila melihat Hadi mengeluarkan telefon bimbit berwarna putih. Lalu penutup belakang dibuka untuk dimasukkan kad sim.
“Sony Ericson Xperia J. Adalah dapat dalam RM 700. Bukan senang mahu tawar menawar dengan pemilik kedai,”jawab Hadi tanpa memandang Alam.
“Beli telefon bimbit rupanya. Aku ingat engkau buat telefon dalam kedai itu,” Khairi menyampuk. Masih tidak puas hati dengan kejadian dia diketawakan Hadi.
“Hahaha. Itulah engkau, aku suruh masuk tidak mahu. Macam engkau tidak kenal aku. Suka beli barang dengan menawar dahulu barang. Tidak akan beli atau keluar kedai sehingga ditawar.”
“Ah. Yalah tu.” Khairi mencebik.
“Sebenarnya dari semalam lagi aku mahu tanya. Minggu ini aku mahu pulang ke Johor. Jadi, ada sesiapa yang mahu ikut?” Hadi memandang wajah rakan-rakannya satu persatu.
Antara Hadi, Alam dan Khairi, Alam yang pertama mengangkat tangan dahulu.
“Aku. Aku. Aku mahu ikut,” kata Alam dengan nada separuh menjerit.
“Aku juga mahu ikut sama. Hujung minggu ini aku tiada kerja hendak dibuat. Hujung minggu asyik duduk di rumah sahaja. Bosan,” kata Ewan kepada Hadi laju.
“Lagi pula, kita sudah lama tidak ke sana, bukan?” kata Ewan pula kepada Khairi.
“Aku mahu turut serta, tapi rasanya tak boleh,” balas Khairi bersuara perlahan. Pandangannya yang tadi dihalakan ke arah Ewan, kini ke arah Hadi pula.
“Tapi mengapa? Bukan kau kata pagi tadi okey sahaja hujung minggu ini,” tanya Hadi.
“Itu pagi tadi, tengah hari ini lain pula cerita. Aku banyak kerja di pejabat,” jawab Khairi.
Mereka berhenti berbual seketika apabila makanan yang dipesan Khairi dan Hadi tiba dihantar pelayan. Namun, menyambung semula selepas pelayan itu beredar.
“Tapi jangan risau, aku usahakan juga supaya dapat pergi bersama. Lagipun, aku rindu sangat-sangat Mak Cik Nab,” kata Khairi teruja. Tangannya dirangkul ke leher Alam sambil membuat gaya seperti mahu mencium Alam. Mak Cik Nab adalah ibu kepada Hadi.
“Ish. Apa ini?” Kata Alam marah sambil menolak Khairi.
“Okey, set. Engkau mesti usahakan juga supaya dapat pergi. Pergi bersama ramai-ramai seperti ini baru best,” kata Ewan yang turut teruja.
“Bagus. Hujung minggu ini kita pergi guna kereta aku sahaja. Jimat sedikit. Lagi pula, minyak sudah naik harga. Kereta aku pula tidak guna banyak sangat minyak,” kata Hadi. Dia membaca doa makan di dalam hati dan mula menyuap nasi.
“Nanti. Aku membantah. Aku pergi guna motorsikal aku sahaja. Kalian berdua naik kereta Hadi,” kata Alam sambil jarinya menuding ke kereta Hadi di bawah terik matahari.
“Bantahan anda ditolak. Engkau tidak takut sesatkah?” tanya Khairi.
“Sesat?” Alam mengerutkan dahi.
“Yalah. Aku rasa engkau seorang sahaja yang belum pernah ke rumah aku di kampung antara kalian bertiga,” kata Hadi pula.
“Em? Ah! Betullah. Betul juga,” ketawa Alam sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Tidak mengapalah. Engkau beri sahaja alamat rumah engkau. Pandai-pandailah aku cari nanti,” Alam menyambung semula.
“Suka hati engkaulah,” balas Hadi.
Mereka terus berbual pada tengah hari itu.
Namun, di kepala Ewan, Khairi dan Alam hanya terbayang kampung Hadi sahaja. Pada Ewan dia memang suka apabila ke sana kerana keluarganya semua memang berasal dari Kuala Lumpur ini. Jadi, dia terasa teruja untuk menikmati suasana kampung.
Manakala, Khairi  pula terbayang dusun buah-buahan milik keluarga Hadi. Namun, urusan kerja pula yang mengganggu. Pasti aku akan usahakan supaya dapat pergi sama. Kata Khairi di dalam hati.
Alam pula hanya menganggap pulang ke kampung Hadi hanya untuk melepaskan tekanan di tempat kerja. Bukan kerana terlampau banyak urusan, tetapi sebenarnya hal tentang rakan-rakan sekerja yang seperti... Emm. Entahlah. Dia sendiri tidak pasti tentang mereka.


* * * * *

Pada waktu malam, suasananya sama sahaja seperti pada waktu siang. Jika di kampung pasti bunyi-bunyi seperti pungguk, cengkerik dan juga bunyi daun-daun bergesel ditiup angin bersatu menenangkan telinga sesiapa yang mendengarnya. Namun, di bandar ini, bunyi kereta-kereta sahaja yang kedengaran diikuti hon. Siang dan malam sama sahaja, tiada bezanya.
“Khairi, engkau tidak mahu menonton perlawanan ini?” tanya Ewan kepada Khairi yang sedang duduk di balkoni sambil membaca novel.
“Perlawanan ini yang sedang ditunggu-tunggu peminat untuk musim ini. Tak tengok rugi besar. Perlawanan memang sengit seperti yang dijangka,”sambung Ewan lagi.
Khairi menjeling sedikit ke arah ruang tamu. Terlihat Hadi, Alam dan juga Ewan di hadapan televisyen sambil menonton perlawanan bola sepak. Dia tahu malam ini ada perlawanan bola sepak akhir antara Johor Darul Takzim dan Kelantan. Tetapi dia tidak berminat sukan bola sepak.
Dulu-dulu, pada waktu kecil, minatnya terhadap bola sepak sama juga seperti kebanyakkan budak lelaki. Namun ada sebab yang menjadikan dia terus tidak berminat. Ada sebabnya tetapi sengaja tidak mahu bercerita kepada mereka bertiga.
“Tidak mengapalah. Aku mahu baca novel. Kalau sudah habis beritahu saja pada aku pasukan mana yang menang,” jawab Khairi kepada Ewan.
“Tak syoklah kalau begitu. Lagi pula engkau itu. Membaca novelkah? Atau membaca status di Facebook? Pasti berchatting bersama pujaan hati. Sekali-sekala join venture dengan kami menonton perlawanan bola sepak ini. Baru layan!” balas Ewan lagi.
“Sudahlah. Khairi itu jangan dikacau. Biarkan dia Si Luncai Khairi terjun dengan buku-bukunya,” sampuk Alam pula bernada puitis. “Tapi jangan terjun bangunan sudahlah. Tapi sebelum itu engkau pilih JDT atau Kelantan?”
“Ha? JDT itu siapa? Apa JDT? Nama kuihkah?” soal Khairi yang kadangkala dia ini memang menyebalkan rakan-rakannya. Hadi menjawab pantas.
“Ya. Nama Kuih Keria sudah bertukar jadi JDT. Kebelakangan ini popular budak-budak sekarang panggil nama kuih itu Kuih JDT. Alasan mereka sebab bunyi nama asal macam kera.” Hadi jengkel mengiyakan apa yang dikatakan Khairi. Malas mahu melayan lama-lama. Ada rasa sedikit menyesal juga mengajak Khairi menonton bersama.
“Pelik. Budak-budak zaman sekarang ini macam-macam. Boleh pula jadi begitu.” Khairi menggelengkan kepalanya mengenangkan remaja-remaja zaman sekarang ini.
Sekali-sekala terdengar Alam bersuara menyebut ‘luaskanlah kuasamu’. Adegan baling-membaling bantal juga kadangkala berlaku di hadapan televisyen.
Antara mereka bertiga hanya Hadi sahaja yang berasal dari Johor dan tiada seorang pun antara Alam dan Ewan yang berasal dari Kelantan. Oleh sebab itu, mereka sama-sama menyokong pasukan Johor Darul Takzim pada malam itu.
“Ewan. Engkau tak mahu masuk program mencari Ramlikah? Kalau menang boleh pergi London. Mesti best! Boleh tengok stadium Manchester.” Alam berceloteh.
“Mahu buat apa? Lagu pun itu program untuk budak-budak sajalah. Aku mana boleh masuk.”
“Yalah. Engkaukan pendek macam budak-budak. Kalau masuk mereka bukannya perasan pun.” Alam bernada mengusik berwajah selamba.
“Ah. Tiada maknanya! Suka saja mengenakan aku.” Yang lain sudah ketewa mengekek gembira menyakat rakan mereka itu.
Tuk. Tuk. Tuk. Tuk. Tiba-tiba terdengar bunyi pintu diketuk.
“Ewan, tolong buka pintu. Siapa pula yang datang malam-malam begini?” arah Khairi kepada Ewan sambil mengerutkan dahi.
Ewan memandang kepada Alam dan Hadi. Mata mereka berdua khusyuk memandang ke kaca televisyen.
“Mengapa aku pula yang kena buka pintu? Inikan rumah kalian,” Ewan menjeling kepada Hadi dan Alam.
“Tolonglah sebentar,” kata Alam. “Lagi pula, engkau yang paling dekat dengan pintu.” Hadi pula hanya menolak Ewan supaya membuka pintu.
“Tapi... Bunyi ketukkan pintu itu sebanyak empat kali," kata Ewan dengan nada serius. Dia sudahpun duduk menegak di sofa berbanding sebelumnya yang berbaring.
“Mengapa dengan empat kali itu?” tanya Alam. Matanya tidak lepas memandang ke arah televisyen.
“Ada pak cik pengawal di bawah beritahu sebelum aku masuk ke sini tadi, katanya kalau ada bunyi pintu diketuk sebanyak empat kali, jangan buka pintu. Pangsapuri ini pula katanya berpenunggu,” kata Ewan serius.
“Kalau pula diketuk sekali sahaja bagaimana?” tanya Hadi pula.
“Kalau diketuk sekali tidak mengapa. Boleh buka pintu.”
“Kalau diketuk dua kali, tiga kali, lima kali dan seterusnya pula?” tanya Khairi pula dari balkoni.
“Pun tidak mengapa.”
“Ha? Kenapa mesti empat kali. Kenapa tidak sepuluh kali, dua puluh kali ataupun tiga puluh kali?” tanya Hadi kehairanan.
“Manalah aku tahu. Jangan tanya aku. Pak cik pengawal yang kata begitu. Lagi pula, kalau ketuk banyak kali, mestilah  penunggu itu penat dan tidak mahu ketuk lagi. Jadi, dia hanya ketuk empat kali sahaja,” balas Ewan serius bernada berbisik.
“Ah. Mengarut. Tak masuk akallah. Mesti Uncle Sam yang cerita. Mungkin Uncle Sam bercerita begitu sebab mahu menakut-nakutkan budak-budak di taman sebelah ini. Mereka suka masuk ke kawasan pangsapuri ini dan bermain di sini. Sebab itu dia mereka cerita itu,” kata Hadi pula.
“Tetapi, mengapa cerita pada aku? Aku bukannya budak-budak?” tanya Ewan kehairanan.
“Sebab, engkau pendek. Macam budak-budak,” balas Hadi laju. Matanya mula memandang ke arah televisyen semula. “Sudah. Pergi buka pintu. Kasihan orang yang tunggu di luar itu.”
Ewan mencebik. Dia mula berdiri dan berjalan menuju ke pintu. Namun, di hatinya masih takut-takut untuk membukanya.
Setiba di pintu, tangan kiri dihulurkan ke tombol pintu. Manakala mata kirinya ditutup sebelah. Hanya mata kanan sahaja dibuka separuh. Dia membuka pintu laju-laju dan menyembunyikan badan di balik daun pintu. Hanya kepala sahaja tersembul keluar.
“Hah!” Ewan menyergah perlahan. Namun, dihadapannya tiada sesiapa pun. Yang ada hanyalah gelap gelita menemani lorong sepi itu.
Tiada sesiapa pun. Berfikir Ewan di dalam hati. Dia terpaku sebentar. Mungkin betul cerita pak cik pengawal itu! Ewan segera menolak pintu itu laju-laju.
“Abang.”
Ewan berhenti. Dia segera menundukkan kepalanya ke bawah sedikit. Lalu menjerit.
“Toyol!” Segera pintu ditolak laju-laju semula apabila terlihat lembaga kecil.
“Abangggg!” Jerit toyol itu. Eh, bukan toyol!
“Abang. Saya bukan toyol. Saya Syafiq. Saya nak jumpa Abang Alam,” kata Syafiq sambil mulutnya mencebik. Mungkin marah dipanggil toyol. Tanggan kirinya menggenggam sebuah bungkusan plastik.
“Kamu siapa?”
“Huhhh. Kan tadi saya sudah beritahu. Nama saya Syafiq. Saya datang sebab mahu jumpa Abang Alam. Saya nak bagi ini,” jawab Syafiq sambil menunjukkan bungkusan di tangannya. Suaranya bernada comel.
“Emm... Kalau betul bukan toyol... Cuba beritahu, berapa umur Alam,” tanya Ewan lagi. Dia masih lagi di belakang daun pintu. Hanya kepalanya yang tersembul keluar dan mata sebelah kanan sahaja dibuka separuh.
“25 tahun.”
“Jadi... berapa jumlah duit di dalam dompet Alam semalam?”
“Semalam ada... Emm..,” Syafiq teragak-agak menjawab. Dia berkira-kira menggunakan jarinya. Kemudian, terpaku sebentar dan tersedar sebelum bersuara sedikit menjerit.
“Manalah saya tahu! Saya bukan toyol yang suka curi duit itu!” marah Syafiq namun masih suaranya bernada comel.
“Ewan. Bagi dia masuk,” jerit Alam dari ruang tamu.
Ewan mencebik lagi dan mula membuka pintu. Sambil menunggu Syafiq membuka selipar, Ewan memandang lorong sepi di luar. Gelapnya. Sebelum bertanya lagi.
“Betul bukan toyol?”
“Betullah!” Syafiq meluru masuk dan menuju ke ruang tamu meninggalkan Ewan.
Ewan segera menutup pintu sebelum ke ruang tamu semula. Gayanya sedikit berlari.
“Ada apa datang malam-malam begini?” Tanya Alam kepada Syafiq setibanya Syafiq di ruang tamu itu.
“Ibu beri makanan lebih ini,” balas Syafiq sambil menghulurkan bungkusan-bungkusan makanan kepada Alam. “Lagi pula, Syafiq mahu beritahu esok Syafiq cuti lagi. Jadi, Abang Alam tidak perlu tunggu Syafiq esok.”
“Tapi mengapa asyik cuti sahaja? Bukankah minggu lepas sudah cuti penggal selama dua minggu?” Tanya Alam lagi sambil tangannya mengambil bungkusan yang dihulur Syafiq. Bau Nasi Ayam.
Bau itu juga yang menyebabkan Hadi yang tadinya berbaring di sofa sudah terduduk menegak menghadap meja empat segi. Khairi yang tadinya diluar, sekarang sudah di hadapan televisyen. Bukunya tadi sudah menghilang dari pegangannya.
“Tidak mengapalah. Abang Alam tidak perlu tahu,” balas Syafiq yang sudah duduk di sofa menghadap televisyen.
“Mestilah abang perlu tahu. Abang yang hantar Syafiq ke sekolah setiap hari.”
“Tak apa. Bila-bila nanti Syafiq beritahu.”
“Hmm. Yalah tu.”
“Syafiq, tidak takutkah berjalan malam-malam begini,” tanya Khairi pula apabila sesi berbual Syafiq dan Alam tamat.
“Tidaklah. Lagi pula, rumah Syafiq dekat sahaja dari sini. Syafiq pun sudah biasakan datang ke sini sebelum ini? Syafiq bukannya penakut pun.”
“Memanglah dekat dan sudah biasa datang sini. Tetapi jalan ke sini gelap. Lampu di tingkat tujuh ini pun banyak yang tidak menyala.” balas Khairi lagi.
“Yalah. Adik tidak takutkah dengan Hantu Empat Kali Ketuk,” Ewan pula menyampuk sambil membuat raut wajah menyeramkan. Namun gaya sahaja lebih. Kelihatan seperti harimau mahu menerkam mangsa pula jadinya.
Hantu Empat Kali Ketuk? Mana pula datangnya nama itu. Ada-ada sahaja Ewan ini.
“Tak takut pun. Abang ingat Syafiq ini jenis yang penakut macam abangkah?” balas Syafiq selamba tanpa memandang Ewan. Ewan pula hanya menjeling Syafiq. Nasib sahaja Syafiq yang berumur sepuluh tahun ini comel. Kalau tidak ada yang sudah disekeh kepalanya. Hadi dan Alam pula sudah ketawa terkekek-kekek.
“Lain kali, kalau mahu masuk, beri salam kemudian ketuk tiga kali sahaja. Jangan ketuk empat kali. Faham?” arah Ewan.
“Tapi tadi Syafiq sudah beri salam dan ketuk pintu tiga kali. Bukannya empat kali.”
“Betulkah,” tanya Ewan meminta kepastian.
“Sudah tentulah. Lagi pula, Syafiq rasa sudah terbiasa, dan kebanyakkan orang juga akan ketuk pintu tiga kali sahaja. Bukan?”
“Yalah. Tapi tadi itu...?” Ewan membuat raut wajah ketakutan.
“Jangan fikir yang bukan-bukan. Aku rasa bunyi keempat itu bunyi aku terkentut. Hehehe,” kata Hadi sekali nafas sambil ketawa tersengih-sengih bermuka tidak bersalah. Mendengar sahaja itu, suasana di ruang tamu itu sunyi sebentar. Semua orang yang ada di situ menjeling Hadi tajam.
“Ha. Sikit lagi!” Jerit Hadi. “Passing bola itu ke depan!”
Yang lain turut sama menjerit termasuk Syafiq.
“Gelecek lagi.”
“Tendang bola itu.”
Tup. Suasana sepi seketika tatkala suasana ruang itu gelap-gelita. Diikuti laungan dari restoran di bawah pangsapuri itu.
“Gol!”
“Gol!”
“Apa sudah jadi?” Alam bersuara dahulu. Keadaan sudah jadi gelap-gelita. Yang bercahaya hanyalah sinaran bulan yang memancar ke balkoni pangsapuri.
Blackout!” Jerit Khairi.
“Hantu Empat Kali Terkentut punya angkara. Eh. Silap Hantu Empat Kali Ketuk!” Jerit Ewan pula.
“Ish. Mana ada. Jangan mengarut,” Khairi mencelah keras.
“Diamlah!” bentak Hadi sambil meraba-raba mencari jalan keluar rumah. “Mari turun bawah. Cepat! Perlawanan sudah hampir tamat.”
“Aku mahu ikut!” jerit Ewan.
“Syafiq juga!”
Dalam kesibukkan harian bekerja dari pagi hingga lewat malam, tiada apa yang lebih penting dari meluangkan masa bersama teman-teman. Di sebalik kehidupan Alam yang bukan semua orang boleh faham dan mengerti, dia bersyukur ditemukan rakan-rakan baik yang benar-benar menghargai nilai persahabatan.
Strike!!!” Alam berlagak seperti juruhebah tidak berbakat tanpa diminta. “Dengan ini dirasmikan dari awal permainan Tengku Khairi Tengku Ismail dari Kedah mendahului pungutan mata pin jatuh menewaskan Muhammad Hadi Hashim dari Johor dan juga Ewan Khalid dari Wilayah Persekutuan.” Kemudian dia bertepuk tangan.
“Terima kasih. Terima kasih.” Khairi tunduk hormat. Berlagak seperti seorang penyanyi selesai membuat pesembahan.
“Keputusan dibantah! Mutu pengadilan tidak adil. Khairi main tipu. Kaki terlebih garisan semasa meleretkan bola boling. Tidak adil!” Ewan merungut mengangkat tangannya meminta perhatian.
“Yalah. Betul. Tangan panjang bolehlah kalahkan kami.” Hadi membandingkan ketinggiannya dengan Khairi yang jelas seimbang tinggi dari yang lain.
“Ahhh! Kata sahajalah tidak reti bermain. Lain kali tengok orang dahululah baru kata main tipu atau tidak,” Khairi membalas sambil menonjolkan otot-otot putih tangannya itu. Ewan mencebik. Jelas sekali tingkahlaku mereka menarik perhatian orang lain yang juga sedang meluangkan masa minggu mereka bermain boling.
“Sila terima kekalahan dengan reda. Cuba lagi pada minggu hadapan. Itu pun kalau kalian mampu. Jadi, jangan lupa hadiah saguhati untuk pemain yang kalah adalah sebuah bakul penuh berisi baju kotor untuk dibasuh pulang nanti. Jangan buat-buat lupa pula.” Juara tiada hadiah, pemain yang kalah mendapat saguhati? Khairi sudah pun menyedut coklat  air coldblognya.
“Ceh! Yalah. Minggu hadapan kita main snooker pula. Lihat kalau orang itu mampu kalahkan pemain profesional ini,” Ewan mula berhidung tinggi. Sempat bereaksi menunjalkan bola snooker seperti pemain snooker tanpa meja di hadapannya. Kemudian meniup hujung kayu snooker halimunannya ala-ala James Bond baru melepaskan sedas tembakkan.
Pffft! Apa?! Snooker? Tiada hal. ‘Kejohanan’ itu aku mahu turut serta. Hadiah saguhati untuk minggu hadapan pula ialah ‘percutian’ selama tujuh hari seminggu di bilik air aku untuk disental.” Alam maksudkan bilik airnya untuk dicuci. “Ada orang itu sudah lupa dikalahkan teruk pada bulan lepas.” Alam menyakat Ewan.
Ewan mencebik lagi. Hadi tergelak melihat reaksi rakan-rakannya.
“Kalian mengenakan aku. Sampai hati,” Ewan merajuk membelakangkan mereka seperti kanak-kanak dirampas barang permainannya.
“Jangan membuat muka begitu. Menyampah aku tengok,” Alam menjuihkan bibirnya.
“Alo lo lo lo... Adik Ewan kita sudah merajuk. Pulang nanti Abang Khairi belikan coklat KinderJoy. Mahu?” Hadi ketawa mengekek menggalakkan lagi aksi-sakat menyakat itu. Teringat semula kejadian tempoh hari Ewan ditolak seorang budak yang tidak diketahui identitinya di sebuah pusat membeli belah. Semasa menemankan mereka membeli barangan dapur. Itulah padahnya kerana menyakat budak itu. Kasihan Ewan terjatuh dan menghempap rak dipenuhi KinderJoy.
“Sudahlah. Lihat, aku ada apa.” Khairi menyeluk tangannya ke dalam poket seluar sebelum mengeluarkan dompet. Dia mengeluarkan sesuatu seperti tiket. Semuanya sebanyak empat keping.
“Tiket masuk ke Litar Sepang?! Grandstand utama lagi! Khairi, thanks. Great. Tidak sia-sia kita berkawan baik.” Ewan sudah terlompat-lompat kegembiraan apabila Khairi menunjukkan tiket masuk ke litar Sepang untuk perlumbaan MotoGP yang akan datang.
“Apa? Biar betul?! Mahu belanja kami? Khairi, engkau betul-betul baik! Terima kasih. Terima kasih.” Hadi turut terkejut. Baru membuka sebelah sahaja kasut boling itu sudah terlompat-lompat seperti kanak-kanak riang.
Alam yang sedang meneguk air mineralnya dengan aman damai tersedak menyembur melihatkan mereka betul-betul teruja. Masih belum dapat menangkap apa yang menyebabkan mereka terlompat-lompat tanpa segan di khalayak ramai.
“Apa?! Apa yang berlaku?”
“Khairi belanja kita untuk ke Litar Sepang.” Balas Ewan masih teruja. “Minggu ini kita akan berhibur ke Sepang!”

* * * * *
Akan bersambung
Bab 03 akan bersambung seminggu lagi. Bab 02 ada link kant bawah ni.

1 ulasan: