Hi guys.
Ni Semanis Lolipop Strawberi bab 2. Selamat membaca!
Semanis Lolipop Strawberi
Bab 02
Tuhan mengurniakan satu lagi hari yang indah. Awan-awan di langit
memutih gebu terapung-apung di langit biru bersinar. Burung-burung menyanyi
gembira sambil keluar dari tempat teduhan gelap malam. Malam tadi yang hujan
lebat lagi menambah kesejukan gelap malam, ternyata disebaliknya memberi
keindahan pagi ini. Matahari pula memancar sederhana terang dari ufuk langit.
Dari kedudukan Alam yang sedang memandang tinggi langit, matahari muncul
dari sudut-sudut bangunan sekolah yang ternyata agak tinggi. Hah! Sekolah?
Nanti sekejap. Apa sahaja yang dilakukan Alam di sekolah pagi-pagi ini?
Alam mengeluh sambil pandangannya tidak lepas memandang langit biru. Dia
berdiri tegak manakala kedua-dua belah tangannya disilang ke belakang.
Jari-jemarinya dimainkan perlahan. Ternyata sedang kebosanan.
“Err... Cikgu. Saya sudah lambat ini. Mahu pergi kerja,” kata Alam kepada
cikgu bermisai tebal di hadapannya. Sambil tangan kanan mengetuk-ngetuk jam
tangan dan dihalakan kepada cikgu.
“Kerja? Jangan tipu saya. Mana mungkin mahu pergi kerja tetapi pakai baju
seperti mahu pergi memancing,” balas cikgu itu yang bersuara agak garau. Dia
memandang Alam dari bawah hingga ke atas. “Lagi pula, jangan-jangan kamu hari
ini bercuti. Ambil MC. Paling tidak pun ambil cuti tahunan.”
Alam tersentap sambil segera meraba badannya. Alamak! Mahu berbohong tetapi
tersilap cara. Dia juga hairan. Bagaimana pula guru disiplin ini tahu yang dia
hari ini ambil cuti tahunan? Nujumkah? Merepek!
“Tetapi, mengapa saya juga turut diberi ceramah?” tanya Alam lagi dengan
nada suara agak tinggi tetapi masih berlagu hormat.
“Mestilah. Kamu yang terlewat sebenarnya. Kamu penjaga Syafiq. Syafiq sudah
bangun awal mahu ke sekolah, tetapi kamu yang terlewat untuk bangun. Jadi, saya
ceramah juga kamu. Kalau saya ceramah Syafiq seorang tiada guna. Dia sudah
bangun awal,” bebel guru disiplin itu. Dia seterusnya menyambung ceramah.
Kadangkala bercerita zaman semasa dia bersekolah dahulu, kadang-kala pula,
bercerita mengenai cerita sedih pula. Sekejap-sekejap menangis, sekejap-sekejap
gembira.
Emm. Betul juga. Haish. Keluh Alam. Mahu berceramah tentang lewat datang ke
sekolah, tetapi mengapa jauh menyimpang tentang dirinya pula? Dia menoleh ke
kiri. Terlihat Syafiq hanya tunduk memandang tanah. Manakala dua orang lagi
murid yang mungkin dalam darjah enam itu turut menoleh ke arah Alam sambil
menyengih lebar.
Alam mencebik lagi sambil mengerutkan dahi. Kalau tidak silap, mereka ini
juga yang datang lewat tempoh hari. Mesti kaki lewat datang ke sekolah juga.
Alam kembali memandang langit biru dengan mendongakkan kepalanya sedikit.
Ini bermakna dia perlu melakukan itu untuk dua puluh minit lagi sebelum sesi
ceramah ini berakhir sepenuhnya seperti kebiasaan.
Alam mengeluh lagi.
* * *
* *
Selepas tiga puluh minit kemudian, Alam menghidupkan motosikalnya. Dia
menoleh ke arah guru disiplin, Syafiq dan dua orang murid yang sedang menuju ke
kelas. Selepas itu, dia memecut laju ke arah jalan besar yang agak sibuk.
Setibanya dia di persimpangan jalan, dia memberhentikan motosikalnya dan
menoleh ke kanan jalan. Tiada kenderaan. Dia menoleh pula ke kiri jalan, juga
tiada kenderaan lain.
Namun, matanya tertancap pada sekumpulan pelajar sekolah menengah yang
sedang duduk melepak di pondok bas. Kesemuanya dalam lima orang, tetapi dia
tidak peduli pada keempat-empat pelajar yang dia tidak kenal itu. Cuma matanya
tidak kelip memandang pelajar yang kelima. Seseorang yang dia kenal.
Alam segera memacu motorsikalnya itu menuju ke arah pelajar-pelajar itu. Namun,
tidak sampai pun tiga meter motorsikal bergerak, pelajar yang kelima itu
tersedar lalu panik. Rakan-rakannya itu segera diajak beredar, dengan
menggunakan tiga buah motorsikal. Sekelip mata sahaja mereka hilang dari
pandangan Alam.
Alam terpaku sebentar sebelum bersuara.
“Azid? Apa dia buat di situ sama kawan-kawannya? Tidak pergi ke sekolahkah?”
Dia memandang ke arah pondok menunggu bas itu untuk beberapa saat. Lantas
tersedar dan segera menuju ke rumahnya. Dia menganggap seperti tidak melihat
apa-apa. Tetapi, merancang untuk bertanya kepada Azid, anak Mak Cik Zainab,
juga abang kepada Syafiq yang berumur tiga belas tahun itu.
“Apa khabar mak cik? Sihat? Banyakkah jualan yang laku hari ini?”
tanya Alam kepada Mak Cik Zainab. Alam singgah untuk membeli sarapan pagi.
Gerai Mak Cik Zainab itu betul-betul terletak di hadapan pangsapurinya.
“Mak cik sihat. Kebelakangan ini jualan mak cik biasa-biasa sahaja.
Cukup-cukup untuk pusingan modal dan juga keperluan seharian,” jawab Mak Cik
Zainab sebelum bertanya kembali. “Syafiq terlewat lagikah ke sekolah?”
Alam yang sedang melihat-lihat kuih-muih Mak Cik Zainab terkejut dengan
soalan itu. Sebelum membalas gelabah. “Eh. Tidaklah mak cik. Sempat sahaja ke
sekolah. Cuma guru disiplin Syafiq kirim salam kepada mak cik.”
“Oh? Waalaikummussalam.”
Alam menepuk dahinya. Tersasul pula. Nasib sahaja mak cik ini tidak syak
apa-apa. Namun, bila masa pula guru itu kirim salam. Dia menggeleng kepala
sambil di dalam hati berazam untuk tidak lewat lagi.
“Fahim. Apa khabar? Sihat?” tanya Alam kepada anak Mak Cik Zainab yang
paling bongsu dan berumur lima tahun. Dia duduk di sebelah ibunya sambil
memakan karipap.
Fahim cuma mengangguk comel memandang Alam. Ibunya hanya tersenyum
memandang anaknya. Belum sempat dia mahu memesan apa-apa dari Mak Cik Zainab,
bunyi kokokan ayam mengganggu telinga mereka.
Kok! Kok! Kok! Kok!
“Alam! Tolong tangkap ayam itu!” Jerit seorang pak cik dari arah kedai
menjual ayam. Keadaannya tercungap-cungap berlari untuk menangkap ayam yang
sudahpun berada di tengah jalan yang lengang.
“Pak Rahman? Ada apa Pak Rahman?” tanya Alam separuh menjerit dari gerai
itu. Mak Cik Zainab dan Fahim juga memandang ke arah Pak Rahman.
“Itu. Tolong pak cik tangkap ayam betina itu!” balas Pak Rahman sambil
menuding ke arah sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan. Yang kedengaran
hanyalah bunyi kokokan ayam yang riuh sekampung. Eh, bukan. Riuh setaman.
“Di mana ayamnya? Tidak nampak pun?” tanya Alam lagi. Dia sudahpun
berkejar-kejar ke arah kereta itu. Membongkok sedikit sambil matanya dijegilkan.
“Itu. Di belakang kereta itu!” jerit Pak Rahman.
“Ha. Itu dia. Ayam, jangan lari!”
Adegan kejar-mengejar ayam betina turut disertai Fahim yang terkedek-kedek
berlari sama di samping Alam. Pak Rahman juga turut sama berlari, namun kadangkala
berhenti tercungap-cungap memegang dadanya. Kemudian, sambung berlari semula.
Keheningan pagi di taman itu diganggu oleh riuh ayam berkokok. Kadangkala
disusuli jeritan Alam dan Pak Rahman. Fahim pula hanya membisu. Namun kakinya
lincah mengejar ayam betina itu. Sekejap-sekejap ayam itu berada di bawah
kereta, sekejap-sekejap ayam itu di dalam longkang yang kering.
Ada pula masanya, ayam itu pula yang mengejar dan mahu mematuk Alam.
“Pak Rahman. Tolong saya Pak Rahman. Ayam itu mahu patuk saya!”
Kok! Kok! Kok!
“Alam, apa yang engkau buat itu? Tangkaplah ayam itu,” jerit Pak Rahman
kepada Alam.
“Ayam itu garang sangat. Mahu patuk saya!”
Orang yang berada di sekeliling, dari pelanggan Mak Cik Zainab, pelanggan
Pak Rahman hinggalah penduduk yang sedang berjoging, ketawa geli hati melihat
kejadian itu. Mak Cik Zainab juga turut ketawa sambil menggeleng kepalanya
beberapa kali melihat tiga orang lelaki itu. Dari yang kecil, muda dewasa
hinggalah tua bangka itu berkejar-kejaran.
Adegan itu tamat hanya selepas dua puluh minit kemudian. Itupun Fahim
yang berjaya menangkap ayam betina itu.
“Arghh. Penatnya!” keluh Alam yang sudah pun terduduk di atas rumput
bersebelahan dengan gerai Mak Cik Zainab. Dia menyeka peluh di dahinya yang
mengalir laju.
“Hari cuti begini kena kejar ayam. Pagi-pagi jumaat begini pula. Ah, serik
saya.”
“Yalah itu penat. Baru lari sekejap sudah penat. Kamu itu muda lagi.
Sepatutnya banyak tenaga. Lagi pula, mak cik lihat kamu yang kena kejar ayam
itu adalah,” ketawa Mak Cik Zainab sambil sibuk melayan pelanggannya. Dua orang
wanita muda jelita yang menjadi pelanggan Mak Cik Zainab turut ketawa geli
hati. Namun, segera disembunyikan.
Alam mencebik. Menoleh pula ke arah Pak Rahman yang sedang memegang ayam
betina itu.
“Macam mana ini Pak Rahman. Mahu berniaga, tetapi ayam asyik terlepas
sahaja. Paling tidak pun, ayam terlepas dan hilang begitu sahaja, dari mati
katak dilanggar kereta di tengah jalan itu. Rugi sahaja.”
“Itulah masalahnya Alam. Kalau pak cik tahu bagaimana ayam-ayam ini boleh
terlepas, tidaklah dibiarkan sahaja. Sekarang ini pak cik tidak tahu.
Entah-entah ayam ini semua ayam jadian. Boleh keluar dari kurungan begitu
sahaja.”
“Merepeklah Pak Rahman. Masakan ayam jadian muncul dari telur. Bukan
Pak Rahman ternak ayam-ayam itu semua?” balas Alam. Bungkusan air tebu yang
dihulur Fahim, pemberian Mak Cik Zainab segera diambil.
“Manalah tahu betul. Siapa yang sangka,” balas Pak Rahman selamba. Dia
menoleh ke kompleks pasar basah, tempat di mana kedainya berada. Kedai itu
diuruskan oleh dua orang pekerjanya. Dan ketika ini pasar basah itu mula di
penuhi orang ramai.
Alam meneguk air tebu itu perlahan. Sambil-sambil itu, dia menyeka lagi
baki peluh di dahinya.
“Khairi pernah beritahu saya, dulu Pak Rahman seorang askar, tetapi pencen
awal. Kenapa Pak Rahman?”
“Ya. Betul itu. Dulu memang pak cik seorang askar.”
“Habis itu? Kenapa pencen awal? Pak Rahman pernah kena tembakkah? Ataupun
pernah terkena serpihan bom? Sebab itu serik dan terus pencen. Pasti ada parut,
berilah saya lihat,” Alam bertanya seloroh.
“Ish. Kamu ini. Mana ada semua itu. Pak cik belum habis cakap lagi. Lagi
pula, zaman itu, Malaysia ini aman sahaja, tiada komunis ataupun pengganas
lagi.”
“Oh? Maaf. Maaf. Maaf Pak Rahman. Hahaha,” ketawa Alam sambil menggaru
kepala. Pak Rahman menyambung semula.
“Dulu-dulu, pak cik memang seorang askar. Tiada pangkat, cuma askar bawahan
sahaja. Tapi pak cik ambil keputusan mahu pencen awal sebab keluarga pak cik.”
“Ha? Kenapa dengan keluarga Pak Rahman?”
“Sebab, situasi pak cik ketika itu sama seperti Mak Cik Zainab. Cuba kamu
fikir. Kenapa Mak Cik Zainab berniaga seperti ini? Sedangkan dia boleh mencari
kerja di kilang mungkin. Gaji tetap dan tinggi berbanding dengan berjualan
kecil-kecilan begini.”
Alam memandang ke arah Mak Cik Zainab sambil mengerutkan dahi. Mak cik
Zainab, janda anak tiga itu hanya tersenyum sambil mengusap kepala Fahim yang
duduk disebelahnya. Selepas beberapa saat, Alam menggaru kepala sebelum
menjawab.
“Mungkin sebab... Mak Cik Zainab mahu menjaga anak-anaknya yang masih
kecil. Mungkin dengan berniaga begini, dia dapat melihat anak-anaknya membesar
sambil menampung keperluan kehidupan seharian?” balas Alam acuh tak acuh.
“Hah. Itulah maksud pak cik sebenarnya!” Pak Rahman sedikit menyergah. Alam
terkejut sedikit sambil mengurut dadanya memandang Pak Rahman.
“Ketika itu, pak cik ada enam orang anak yang masih kecil. Dan
menjadi seorang askar pula memang cita-cita pak cik dari kecil lagi. Tetapi,
pak cik takut tiada masa meluangkan masa bersama keluarga. Pak cik pun mula
berfikir panjang, kalau pak cik berhenti menjadi askar, pak cik mahu kerja apa
untuk tampung kehidupan keluarga pak cik? Pakcik cuma ada SRP sahaja? Ketika
itulah pak cik terfikir mahu berniaga. Tanpa berfikir panjang, pak cik terus
sahaja pencen dan mula menternak ayam untuk dijual,” jelas Pak Rahman panjang
lebar sebelum menamatkannya dengan senyuman lebar.
“Ha? Begitu sahaja?” tanya Alam sambil mengerutkan dahi. Tangannya didepa.
“Yalah. Habis tu, apa yang kamu sangka dari cerita pak cik?”
“Lagi satu, Alam. Nabi Muhammad SAW juga menggalakkan kita untuk berniaga.
Sembilan puluh peratus punca pendapatan adalah dari berniaga.”
Alam memandang ke langit sambil mengangguk-angguk perlahan. Cuba menelan
apa yang dikatakan oleh orang tua itu.
“Kamu perlu ingat satu perkara lagi. Kadangkala kita minat kepada sesuatu
perkara, tetapi tidak semestinya kita perlu ke arah itu. Kadangkala pula, kita
tidak minat kepada sesuatu perkara itu, tidak semestinya kita tak perlu ke arah
itu,” Pak Rahman bersuara tegas.
Alam yang tadinya bermuka tenang mula mengerutkan dahi. “Seperti sama
sahaja maksudnya. Baik tak perlu ubah apa-apa kalau begitu,” Alam memandang
kepada Pak Rahman.
“Memanglah sama maksudnya, tapi ada beza. Iaitu situasi. Situasi seseorang
itu,” Pak Rahman tersenyum lebar.
“Situasi seseorang? Saya masih tak faham?”
“Tak apa. Kamu akan faham nanti. Pak cik percaya pasti kamu akan tempuhi
juga perkara itu. Begitu juga dengan orang lain.”
Alam hanya mengangguk sahaja walaupun masih tidak faham. Sambil matanya
memandang semula ke arah langit biru selama beberapa saat.
Kok! Kok! Kok!
Alam dan Pak Rahman segera memandang ke arah bunyi ayam berkokok itu.
“Pak Rahman. Pak Rahman!” Jerit seseorang dari arah pasar basah itu.
Mungkin pekerja Pak Rahman.
“Kenapa, Sudin!” tanya Pak Rahman yang sudahpun mula berdiri dari duduknya
tadi.
“Ayam. Ayam kita terlepas lagi!” jerit Sudin sambil mula mengejar ayam yang
sudahpun terkedek-kedek berlari di tepi jalan.
Belum pun sempat Alam dan Pak Rahman membuka langkah, ayam itu sudah berada
di bawah kereta yang sedang bergerak laju.
*
* * * *
Di tengah lebuhraya itu sesak dengan kenderaan pelbagai jenama. Ada yang
bergerak perlahan menggunakan lorong paling kiri, ada yang bergerak laju saling
memotong di lorong paling kanan. Sekali-sekala ada pula ambulan yang laju
memecut mencelah-celah kereta yang ada di kedua-dua lorong.
Namun, antara kenderaan itu semua, hanya sebuah kereta sahaja yang riuh
dengan suara budak keriangan disulami dengan keluhan geram orang dewasa pula.
“Wah! Syafiq suka. Syafiq suka. Dah lama Syafiq tidak berjalan-jalan
begini! Terima kasih Abang Hadi sebab bawa Syafiq jalan-jalan. Hehehe,” ketawa
Syafiq kegembiraan sambil memandang sekeliling. Kedua-dua belah tangan dan
mukanya ditekup ke cermin kereta. Dia sudahpun teruja sejak kereta ini mula
bergerak lagi.
Hadi yang sedang fokus memegang stereng kereta tersenyum sahaja sambil
menjeling Syafiq melalui cermin pandang belakang. Namun, biji matanya tidak
kelihatan kerana memakai kaca mata hitam sederhana gelap.
“Arghh! Senyap boleh, tidak? Dari tadi asyik bising sahaja. Hadi tolong,
aku tidak boleh tahan lagi duduk dekat belakang sama budak ini. Bila kita
hendak sampai?” marah Ewan sambil menjeling Syafiq. Kemudiannya mencekik
sederhana kuat leher Khairi yang duduk hadapannya.
“Ah! Lepas. Lepas. Lemas ini!” marah Khairi kepada Ewan yang
kelihatan sudah jemu mendengar suara Syafiq terpekik terlolong di sebelahnya.
“Hadi, mengapa engkau ajak sekali budak ini. Kalau senyap tidak mengapalah,
ini tidak, asyik terpekik terlolong dari tadi. Bingit telinga aku,” Ewan
membuat gaya menutup kedua belah telinganya. Matanya pula dijelingkan kepada
Syafiq.
Syafiq pula hanya menjelirkan lidahnya sambil tersenyum nakal kepada Ewan.
Tangannya lincah mengambil botol air mineral yang sudah kosong dan dibaling ke
perut Ewan.
“Sakitlah. Hadi, tengok budak ini. Dia buli aku.”
“Sabarlah. Kita sudah hampir sampai. Sekejap sahaja lagi kita sampailah di
kampung aku. Lagi pula salah engkau juga. Siapa suruh kau terpecahkan pasu
bunga Mak Cik Timah jiran sebelah rumah aku? Mak Cik Timah itu sudahlah garang
sedikit dari singa. Tahu?” Hadi mula membuka mulut yang dari tadi senyap seribu
bahasa.
Ewan tersentap selama beberapa saat sebelum mula mengelamun.
* * *
* *
Imbas kembali... Ewan tiba di pangsapuri Alam, Hadi dan Khairi untuk
melepak bersama menonton perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia di antara
Johor Darul Takzim dan Kelantan. Dia yang menaiki kereta miliknya, diparkir di
petak paling hujung.
“Hello. Selamat malam!” Seorang pengawal keselamatan menegurnya dari
belakang sebaik sahaja Ewan keluar dari keretanya.
“Err...Selamat malam, pak cik,” tegur Ewan yang terkejut dengaan sapaan itu.
“Siapa pak cik kamu? Walaupun saya sudah tua, tetapi saya belum kahwin
lagi.”
“Oh. Maaf. Maaf. Emm... Habis itu... saya perlu panggil apa?”
“Panggil saja saya Uncle Sam.”
“Bukan samakah itu?” Ewan mengerutkan dahi sambil menggaru kepalanya.
“Mana ada sama. Lain. Emm... Kamu bukan penghuni pangsapuri ini?”
“Err...”
“Tidak payah cakap. Saya sudah tahu. Pasti bukan. Sekarang, beritahu saya
kamu mahu pergi tingkat berapa? Rumah siapa?”
“Tingkat...”
“Tidak payah beritahu. Saya sudah tahu. Pasti tingkat tujuh, bukan?”
“Ya!” kali ini Ewan menjawab dengan pantas dan tegas. Takut sekiranya Uncle
Sam itu memintas lagi percakapannya.
“Bagus. Anda adalah insan yang terpilih. Manusia yang terpilih adalah
mereka yang perlu menempuhi cabaran sebelum mendapat kejayaan. Namun, bukan
kejayaan yang penting sebenarnya, tetapi perjalanan itu sendiri. Jadi... kamu
perlu hati-hati dengan tingkat tujuh.”
Ewan mengerutkan dahi lagi mendengar kata-kata pengawal keselamatan yang
berputar belit itu. “Tetapi...?”
“Tidak perlu tanya. Sebabnya kerana...” Uncle Sam mula bercerita mengenai
penunggu yang mengganggu penghuni tingkat tujuh dengan mengetuk pintu mereka
sebanyak empat kali. Dia bercerita penuh penghayatan seperti DJ radio bertugas
lewat malam yang bercerita tentang sebuah kisah hantu. Seram bunyinya. Alif
pula terpaksa mendengar jelas suaranya walaupun suasana di situ sunyi. Selesai
bercerita, Ewan mengerutkan dahinya sebelum membuka suara.
“Kenapa...?”
“Tidak perlu tanya. Mesti mahu tanya kenapa ketuk empat kali sahaja, bukan?
Kenapa bukan sekali, dua kali atau tiga kali dan seterusnya? Haha. Saya sudah
tahu. Semua orang yang saya beritahu tentang cerita ini pasti bertanya hal yang
sama. Itu sebabnya... saya pun tidak tahu! Sekarang, saya mahu pulang. Shift saya sudah habis.” Uncle Sam
menamatkan perbualan itu dan segera berlari-lari anak ke pondok pengawal tanpa
berkata apa-apa kepada Ewan. Namun, sempat melambai kepada Alif.
Ewan sungguh terpinga-pinga dengan tingkah laku pak cik yang baru pertama
kali dilihatnya walaupun sudah seringkali berkunjung ke sini. Dia menggaru
kepalanya. “Bukan, saya mahu tanya, kenapa tingkat tujuh sahaja? Kenapa bukan
tingkat satu, tingkat dua ataupun tingkat selain tingkat tujuh?” Ewan membebel
sendirian dengan gaya seperti pak cik itu masih di hadapannya.
“Tapi, tak mengapalah kalau macam itu.”
Ewan memandang sekeliling kawasan parkir itu. Sungguh sunyi. Tempat ini
yang dirasa biasa-biasa sahaja pada awal tadi kini seperti menyeramkan. Angin
sejuk malam meniup perlahan lalu di lehernya. Segera lehernya itu digosok
dengan tangan untuk disuamkan. Tanpa menunggu beberapa saat lagi, langkahnya
dibuka laju menuju ke lif. Walaupun masih geli hati dengan tingkah laku pak cik
pengawal keselamatan itu, namun ceritanya betul-betul masuk ke telinganya.
Setibanya dia di tingkat tujuh, dia tergesa-gesa menuju ke rumah Alam, Hadi
dan Khairi. Ditambah dengan lorong di tingkat tujuh yang agak sunyi dan gelap
itulah menyebabkan dia terlanggar pasu bunga di hadapan rumah Mak Cik Timah,
jiran Alam sehingga pecah. Dan pada malam itu juga dia diugut oleh seorang budak
kecil disebabkan hal itu.
“Tidak kira. Syafiq mahu ikut juga. Nak ikut abang-abang semua pergi rumah
Abang Hadi di Johor,” pujuk Syafiq. Mereka semua berada di restoran mamak
berdekatan dengan pangsapuri rumah dan baru sahaja selesai menyaksikan
perlawanan bola sepak antara pasukan Johor Darul Takzim dan Kelantan.
Kebiasaannya mereka menonton bersama di rumah sahaja, tetapi disebabkan
pangsapuri mereka blackout,
mereka terpaksa menonton di sini dibiasi langit gelap bertatahkan
bintang-bintang. Angin malam pula sepoi-sepoi bertiup sejuk.
“Alah, bolehlah. Bosanlah duduk di rumah sahaja pada hujung minggu,” tambah
Syafiq lagi.
“Tidak boleh. Kami pergi sebentar sahaja. Lagipun, siapa mahu tolong emak
Syafiq berniaga nanti,” tanya Khairi pula.
“Tidak apa. Abang Azid ada. Dia boleh tolong emak berniaga. Lagipun emak
Syafiq sudah beri kebenaran.”
“Amboi. Abang belum setuju lagi sudah beritahu emak. Tetapi bagaimana
Syafiq tahu kami semua mahu pergi Johor hujung minggu ini?” tanya Alam pula.
“Syafiq terdengar perbualan abang-abang semua tempoh hari.”
“Ah. Tidak boleh! Tidak tetap tidak. Budak kecil tidak boleh ikut,” sampuk
pula Ewan selamba, yang dari tadi mendengar sahaja perbualan itu. Matanya
dijeling sinis Syafiq duduk bersetentangan dengannya di meja. Mungkin masih
lagi marah kerana dibilang penakut oleh Syafiq di rumah tadi.
“Mahu ikut juga. Kalau tidak, Syafiq beritahu Mak Cik Timah, Abang Ewan
pecahkan pasu bunga dia. Abang ingat saya tidak nampakkah hal itu?” ugut Syafiq
pula. Mendengar saja itu, Ewan sepertinya terkejut. Bagaimana Syafiq boleh tahu
yang dia terpecahkan pasu bunga jiran Alam? Dia menggigit jarinya sendiri
sambil menoleh ke arah Alam, Hadi dan Khairi. Mereka hanya menjeling tajam
Ewan. Ewan pula membalas dengan senyuman tersengih-sengih tidak bersalah.
“Easy guys! Small matter. It’s not a big deal,” ucap Ewan yakin
membuatkan Syafiq berkerut tidak memahami sepatah pun apa yang dikatakan Ewan.
“I guess. Hehe.”
“Arghhh! Tidak...! Hal kecil engkau kata? Engkau tahu? Mak Cik Timah
sudahlah garang. Kalau dia sedar pasu dia pecah, mahu perang besar ketiga
jadinya dengan kami bertiga! Matilah kita!” Hadi meracau-racau di malam hari
sehinggakan jiran meja sebelah-menyebelah menjeling-jeling sekiranya ada yang
kerasukan. Boleh jadi juga ada yang mahu memulakan rusuhan akibat dari pasukan
kegemaran bola sepak mereka kalah dengan teruk!
“Shhh! Perlahan sedikit! Benda boleh dibawa berbincang. Berdamai sahaja
dengan Mak Cik Timah. Kalian jumpa dia. Minta gencatan senjata. Habis cerita?
Lagipun boleh ganti pasu itu dengan yang baru punya. Katakan pada dia pasu kita
beli dari luar negara. Harga mahal punya. Pasti dia percaya.” Ewan memberi
cadangan bernas tanpa meminta sebarang balasan. Sebab itu semua memang salah
dia.
“Kata macam senang. Memanglah boleh. Tetapi sekali dia membebel berjam-jam
lama. Boleh bernanah telinga kami dibuatnya,” Alam menyampuk membalas kata
Ewan. Teringat-ingat semula kejadian Hadi terpijak ekor kucing peliharaan Mak
Cik Timah tanpa sengaja semasa mereka mahu keluar ke tempat kerja. Bila
terdengar kucingnya mengiau keras, segera dia keluar memberi ceramah percuma
pagi-pagi lagi. “Membebel lama. Sama macam Cikgu Harun guru disiplin di sekolah
Syafiq. Satu kepalalah mereka berdua itu. Kalau dikahwinkan mereka berdua itu
tidak tahulah apa jadi pada kita bertiga nanti.”
Malam itu mereka berterusan berbincang mencari jalan keluar kepada
permasalahan yang dihadapi mereka. Tetapi satu pun tiada yang menjadi ataupun
logik walau sedikit pun mahu diterima akal. Sehingga tidak sedar pelanggan lain
restoran itu menyusut mahu pulang. Akhirnya mereka dihalau oleh pemilik
restoran kerana mahu menutup kedai makan mereka.
* * *
* *
Tepat jam 11.30 pagi, mereka tiba diperkarangan rumah emak Hadi tanpa Alam
yang bertolak lewat sedikit selepas subuh dengan motorsikalnya sendiri. Mereka
disambut oleh Mak Cik Nab, emak Hadi dan juga adik lelakinya, Harris yang masih
bersekolah menengah.
“Apa khabar mak cik? Sihatkah?” Khairi yang bermulut manis menyapa dahulu
Mak Cik Nab selepas turun dari kereta.
“Alhamdulillah. Mak cik baik-baik sahaja. Kalau sudah tua begini, jika
batuk-batuk itu biasalah Ewan,” jawab Mak Cik Nab lemah-lembut.
“Eh... Mak cik. Saya Khairi. Ewan yang itu. Yang rendah-rendah itu.” Khairi
menuding jari telunjuknya ke Ewan.
“Oh. Maaf. Maafkan mak cik, ya? Sudah lama kamu tidak ke sini, mak cik pun
tidak berapa cam. Maklumlah sudah tua begini. Patutlah mak cik pelik sangat
lihat Ewan sudah tinggi begitu cepat.”
Mendengarkan itu, yang lain ketawa kecil kecuali Ewan yang mencebikkan
bibirnya. Tidak habis-habis mahu mengenakan aku sahaja. Mentang-mentanglah
mereka semua ini tinggi-tinggi seperti model ataupun pemandu juruterbang. Fikir
Ewan.
“Tidak mengapa mak cik,” balas Khairi sambil berlalu ke bonet kereta Hadi
untuk memunggah keluar barang-barang mereka.
“Lalu? Yang kecil ini siapa? Anak kamukah, Khairi? Bila masa pula kamu
berkahwin? Sampai hati kamu tidak khabarkan kepada mak cik yang kamu sudah
berkahwin. Sudah besar panjang pula anaknya.” Mendengar itu, Khairi mengerutkan
dahi sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Bila masa pula aku berkahwin?
Tanya Khairi kepada hatinya sendiri.
“Hahaha. Bukan, makcik. Itu Syafiq, adik angkat Hadi. Macam mana pula
Khairi itu mahu berkahwin, sedangkan kekasih pun tiada. Harapkan muka sahaja
kacak, tetapi tiada seorang gadis pun yang mahu.” Kali ini giliran Ewan gelak
sakan menyakat Khairi. Khairi pula hanya mengepal erat buku limanya lalu
ditujukan kepada Ewan.
“Ya. Nama saya Syafiq, mak cik. Jiran Abang Hadi di Kuala Lumpur. Sebelum
ini saya tidak pernah ke Johor. Sebab itu Abang Hadi bawa saya ke sini,” jelas
Syafiq. Tangan Mak Cik Nab disambut mesra lalu dicium. Menghormati orang tua.
Beg galas yang dibawa sendiri oleh Syafiq dari rumah kelihatan besar seperti
terlebih beban sehingga terbongkok-bongkok dia menggalasnya. Bajunya pula
terherot sedikit di bahu menampakkan kulit bahu. Entah apa sahaja yang ada di
dalam beg itu.
“Diajakkah, atau dipaksa?” sindir Ewan dari belakang. Sudah seperti anjing
dengan kucing sahaja mereka berdua ini. Walaupun baru sahaja kenal, tetapi
apabila bersua pasti ada sahaja bahan diajak bertikam lidah. Ewan pula seperti
tidak sedar diri. Sudah besar panjang, tetapi kadangkala perangai masih sahaja
seperti kebudak-budakkan. Tidak salah bersikap sedemikian, namun ada masanya.
Syafiq hanya menjeling ke arah Ewan lantas menjelirkan lidahnya tanda
menyakat. Kelihatan dia masih berusaha namun terpisat-pisat dia menggalas
begnya sendiri. Akibat tidak larat, diheret sahaja begnya itu dibawa masuk ke
dalam rumah.
* * *
* *
Selesai mengemas barang, yang kebanyakkannya hanyalah pakaian untuk dua
hari ini, mereka sama-sama menikmati makan tengah hari hasil masakan Mak Cik
Nab. Ibu Hadi kelihatan begitu gembira melayan tetamunya yang hadir. Sudah lama
anak sulungnya itu tidak membawa rakan-rakan baiknya itu ke kampung.
Lewat pukul tiga petang, mereka sama-sama berjalan keliling kampung
melihat-lihat suasana di situ. Aksi sakat-menyakat dan kejar-mengejar
juga berlaku di kalangan mereka memperlihat emosi mereka sedang dalam keadaan
tenang dan gembira. Terutama Khairi, Ewan dan Syafiq yang sudah lama tidak
merasai nikmat ini. Nikmat merasai suasana kampung yang tidak mereka lalui.
Khairi beranggapan, Hadi beruntung melalui detik-detik kehidupan
dikelilingi suasana tenang ini. Tidak seperti dia yang sebenarnya, dia berasal
dari keluarga kaya-raya. Keluarganya mempunyai perniagaan sendiri di luar
negara manakala atas alasan menguruskan hal tersebut, ibu bapanya memilih
menetap di luar negara. Lantas meninggalkan dia menjalani kehidupann sendiri
bersama datuk dan neneknya dikelilingi saudara-maranya di Kuala Lumpur. Pada
usia sepuluh tahun, dia didesak tinggal bersama orang tua di negara orang.
Hanya setelah bertahun-tahun lamanya? Kenapa tidak dari dahulu sahaja? Namun
dia tidak membantah, hanya menuruti sahaja kehendak mereka. Setiap yang berlaku
ada hikmah disebaliknya. Dia bersyukur tinggal bersama datuk dan neneknya
mendidik dia untuk lebih berdikari dan mengajari dia ilmu agama. Lebih dari hak
seorang bapa yang perlu memberi anaknya ilmu agama. Datuknya seorang yang tegas
dan berjiwa kental. Atas alasan inikah bapanya juga seorang yang berdisiplin
dan bercita-cita tinggi sehingga mampu memimpin tampuk perniagaan sehingga
berjaya seperti sekarang ini?
Khairi tersenyum sendirian. Tidak sedar dia sudah berada di sebuah padang
sekolah rendah.
“Khairi! Khairi!! Di sini!” Kelihatan Ewan sedang melambai-lambai
memanggilnya. Dia sudahpun berada di atas padang bersama beberapa remaja lain
yang sedang bermain bola sepak.
“Kalian mahu buat apa di atas padang itu?” Khairi sudahpun berjalan
memasuki padang itu. Namun, dia mula merasakan sesuatu yang buruk bakal berlaku
terhadapnya.
“Buat apa lagi. Main bola sepaklah,” terang Ewan.
“Aku... Aku tidak mahulah,” Khairi pantas menjawab. Dia sempat memandang ke
arah kaki kirinya. Saat itu jugalah baru dia teringat sesuatu. Dia tidak pernah
bercerita kepada rakan-rakannya, mengapa dia tidak suka akan sukan bola sepak.
Apa lagi mahu bermain permainan yang agak lasak itu. Sebenarnya ada rahsia di
sebalik kaki kirinya itu.
“Marilah. Kalau tidak, tidak cukup orang pula mahu bermain,” kata Hadi pula
yang mendekati.
“Tidak cukup orang? Mahu bermain menentang merekakah?” tanya Khairi bernada
resah sambil menudingkan jarinya ke arah sekumpulan remaja kampung berbadan
agak tegap. Mereka sudahpun berhenti bermain dan sedang berdiri sekelompok,
bercekak pinggang memerhatikan mereka dari jauh. Mungkin sedang menunggu kata
putus Hadi sama ada mahu bermain ataupun tidak. Hadi dan Ewan mengangguk hampir
serentak. “Tetapi, kalau aku main juga, kita masih tidak cukup orang. Mereka
itu berlima. Takkanlah mahu menentang kita yang berempat saja ini.” Demi
mengelak dari dia turut serta, Khairi memberi alasan. Namun, memang benar apa
yang dia kata, melihatkan kelompok remaja itu menerima seorang lagi pemain.
Iaitu... Harris? Jadi, kesemuanya lima orang sekarang ini.
“Eh? Betul juga. Masih tidak cukup orang lagi,” kata Hadi sambil
mengira-ngira ‘pasukan kecilnya’. Ada dirinya, Ewan, Khairi dan... Syafiq pun
boleh jugalah. Jadi, tinggal seorang sahaja lagi. Kata dia dalam benaknya.
“Kita ambil sesiapa sahajalah dari mereka itu.” Kata Ewan pula sambil menuding
ke arah sekelompok lagi remaja yang sedang duduk di tepi padang.
Mendengarkan itu, Khairi mengetapkan giginya. Tidak perasan pula ada
sekelompok lagi remaja di bawah pokok itu. Tetapi, dia betul- betul tidak mahu
bermain.
“Hadi!”
Mereka tertoleh-toleh mencari punca suara itu walaupun nama Hadi yang
dipanggil. Kerana mereka kenal benar milik siapa suara itu.
“Kalian! Di sinilah!”
Kali ini mereka menoleh serentak ke arah tepi padang. Kelihatan Alam sedang
menongkat motorsikal FZ putih miliknya yang di belakangnya terdapat sebuah beg
pakaian. Kemudian, dia membuka helmet dan diletakkan di atas motorsikal. Lantas
itu, berlari ke arah Khairi, Hadi, Ewan dan Syafiq. Dia sebenarnya baru sahaja
tiba dari Kuala Lumpur dan masih belum sempat tiba di rumah Hadi.
“Eh! Eh! Alamlah. Alam sudah sampai!” Ewan terlompat-lompat bersama Syafiq
seperti kanak-kanak kecil saja. Harris bersama rakan-rakannya kehairanan melihat
gelagat abangnya serta rakan-rakannya itu. Mahu bermain atau tidak ini?
Khairi mengetapkan giginya lagi memandang Alam sedang berjalan ke arah
mereka. Kali ini, apa-apa pun alasan dia untuk mengelak untuk tidak turut
serta, semuanya sudah tidak boleh dipakai lagi. Pastinya Alam yang sememangnya
kaki bola itu mahu bermain bersama. Tidak kiralah letihnya yang baru tiba dari
Kuala Lumpurkah? Bola sepak tetap di dalam hatinya.
* * *
* *
Masing-masing sudah berada di posisi.
Ewan sebagai penjaga gawang gol. Syafiq dan Khairi bertindak sebagai
pertahanan di posisi kiri dan kanan. Manakala Alam dan Hadi yang sememangnya
kaki bola berjaga sebagai penyerang.
Alam melihat-lihat raut wajah rakan-rakannya satu persatu. Jelas mereka sedang
bersedia walaupun baru sahaja sebentar melakukan pemanasan badan. Ditambah lagi
mereka ini sudah lama tidak turun padang bermain bola sepak seperti ini. Pasti
kekok! Harapkan muka sahaja kelihatan bersemangat. Namun, tidak mengapalah.
Semangat itulah yang lebih penting.
Pandangannya juga turut melirik ke arah Khairi yang kelihatan sedang resah
dan sekali-sekala memandang ke arah kaki kirinya sendiri. Alam perasan itu.
Apalah rahsia yang ada disebalik kaki kiri Khairi? Bukan baru sekarang ini dia
perasan. Padahal sudah lama, sejak mereka melibatkan diri dalam larian amal dua
tahun lepas. Acara itu diadakan untuk mendapatkan kutipan derma sebelum
diserahkan kepada rakyat Palestin. Ketika itu, mereka berempat mengambil
bahagian.
Selepas dilepaskan dari garisan permulaan, Khairi kelihatan bersemangat
sahaja. Namun, setelah separuh jalan, dia berputus asa mahu meneruskan larian
dan kerap kali memegang kaki kirinya itu. Sepertinya sedang memeriksa sesuatu.
Dari situlah Alam perasan sesuatu. Mahu diperiksa oleh rakan-rakannya ini, dia
berdolak-dalih. Mahu dibawa ke hospital, ada sahaja alasan yang diberi.
Akhirnya dia pergi bersendirian ke hospital.
“Baiklah! Serang!!”
Jerit Hadi disebelahnya, yang menandakan permainan baru sahaja bermula.
Semua yang ada di atas padang itu terkejut dan jelas kehairanan dengan jeritan
Hadi itu. Mahu bermain bola sepakkah? Atau mahu bermain polis sentri seperti
zaman waktu kecil dahulu? Kata Harris di dalam hati.
Namun, dalam keadaan terpinga-pinga mereka. Hadi sudahpun membawa bola
menuju ke gawang lawan. Melihatkan itu, Alam mula bergerak seiringan dengan
Hadi, tetapi dari arah sebelah kanan padang. Syafiq turut bergerak ke atas,
tetapi Khairi sepertinya teragak-agak mahu mengikut gerak langkah Syafiq. Ewan
mula berjaga-jaga di posisinya.
Hadi tanpa sebarang masalah menggelecek bola melepasi satu persatu
pihak lawannya. Tiba di satu bahagian sepertinya dia tidak mampu lagi melepasi,
bola ditendang melintang separuh kuat ke arah Alam. Alam menyambut dengan
kemas. Dilihatnya tiada satu pun pihak lawan berada di laluannya sehinggalah ke
gawang, dan cuma ada penjaga gol sahaja yang agak sasa tubuh badan. Alam
menendang dengan kuat menuju ke arah sebelah kanan gol menggunakan kaki
kirinya. Dia bukanlah seorang kidal, tetapi dia sendiri tidak mengerti mengapa
dia mampu menggunakan kaki kirinya dengan baik apabila bermain bola.
Bola terbang kencang! Melihatkan itu, penjaga gol pihak lawan turut terbang
sederhana tinggi dari atas tanah mahu menepis bola dari masuk ke gawang. Namun,
tanpa dapat berbuat demikian, bola hanya merempuhi tiang gol dan melantun
kembali ke tengah padang. Wajah Alam jelas kecewa.
Syafiq yang sememangnya sudah berada di tengah padang, mula bergerak
perlahan ke arah bola yang melantun-lantun perlahan ke arahnya. Hanya tinggal
beberapa langkah sahaja lagi, Syafiq menyusun kemas langkahnya yang dilajukan.
Seraya itu menendang dengan kuat membuatkan bola itu melayang tegak ke arah
gol. Tanpa sebarang halangan dari pihak lawan yang kelihatan posisi mereka
sepertinya sedang kucar-kacir. Penjaga gol pihak lawan pula hanya memandang
sahaja bola itu merempuh jaring golnya tanpa sempat berdiri dari jatuh terbang
tadi.
“Gol!Gol!!”
Jerit Syafiq dahulu diiringi dengan jeritan rakan sepasukannya serta dari
sekelompok remaja yang berada di tepi padang. Syafiq kelihatan gembira. Mungkin
kerana bangga dapat mengalahkan pihak lawannya yang lebih besar tubuh badannya
dari dia.
“Bagus!” Puji Alam. Kembang hidung Syafiq mendengarnya. Kemudian saling
menepuk tangan sesama sendiri tanda puas hati dengan prestasi permainan.
Namun, Alam perasan sesuatu. Pihak lawannya ketawa kecil melihat mereka di
sini. Alam tidak tahu kenapa mereka begitu. Tetapi dia dapat merasakan sesuatu,
sepertinya pusingan kedua ini adalah sesuatu perkara yang susah mereka perlu
tempuhi.
Pusingan seterusnya bermula. Alam pula yang mengorak langkah dahulu membawa
bola itu sehinggalah tiba di garisan penyerang lawan. Tanpa resah, dia
menggelecek selamba bola itu. Tetapi tiba-tiba dia dirempuh dengan kuat
sehingga terjatuh. Dia bangun seraya menoleh kearah remaja yang merempuhnya.
Tersengih remaja itu.
Pusingan kedua ini, mereka dikerjakan teruk! Sepuluh berbalas satu!
Permainan yang sunguh kejam. Langsung tidak beri peluang membalas!
Masing-masing terduduk keletihan menentang remaja-remaja itu.
“Aku rasa mereka ini main tipu. Main tidak adil! Kalau tidak, takkanlah
kita ini yang lebih besar tubuh badan dari mereka boleh mudah dikalahkan.”
Kelihatan Ewan sedang tercungap-cungap mengambil nafas segar. Manakala,
suaranya tersekat-sekat meluahkan ketidakpuasan hati.
“Ish. Apa pula. Kita ini yang tidak pandai bermain, mahu mengata orang lain
bermain helah pula.” Khairi menyindir Alif. Dia juga kelihatan keletihan yang
amat.
“Tubuh badan bukan ukuran. Lagi pula, engkau juga yang salah tadi. Semasa
terjatuh. Engkau yang tergelincir terpijak bola, salahkan kawan Harris pula
yang jatuhkan engkau.” Kali ini giliran Alam pula yang menyindir Ewan.
Ewan hanya mencebik. Sebenarnya dia tahu dan sengaja menyalahkan kawan
Harris itu. Kerana mahu menutup malunya terjatuh akibat dari kesilapannya
sendiri. “Yalah. Yalah. Okey! Kalau begitu, cuba engkau terangkan pada aku,
macam mana mereka itu boleh begitu hebat bermain seperti seorang profesional.
Ada alasan?”
“Kalau mahu tahu, Harris dan rakan-rakannya itu pemain kebangsaan mewakili
sekolah mereka. Sudah tentulah mereka pro bermain.” Tanpa menunggu lama, Hadi
menjawab persoalan Ewan itu tanpa memandang rakan-rakannya. Namun selepas
beberapa detik, tidak kedengaran sebarang reaksi diterima berhubung
kenyataannya sebentar tadi. Dia pun mengangkat kepalanya sedikit.
Hadi melihat Alam, Khairi dan Ewan hanya menjeling tajam dia. Pada mulanya
dia tidak mengerti mengapa mereka berbuat demikian. Tanpa sempat membuka mulut
mahu bertanya, Alam bersuara dahulu.
“Engkau biarkan kami berlawan dengan pemain kebangsaan, Hadi! Tidak guna!
Kalian! Mari kita kerjakan dia cukup-cukup!” Alam bersuara keras tetapi bernada
menyakat. Dan mendengarkan itu, Khairi dan Ewan serentak bangun dan berlari
mengejar Hadi yang sudahpun meninggalkan mereka.
Walaupun keletihan, namun mereka sempat bergurau sesama sendiri. Harris dan
rakan-rakannya hanya memandang kehairanan melihat gelagat lima orang lelaki
itu. Yang berkejar-kejaran di tengah-tengah padang diselang-seli dengan jeritan
dan ketawa. Persis seperti budak-budak kecil sahaja!
Selepas beberapa minit, mereka memutuskan mahu pulang ke rumah Hadi untuk
membersihkan badan sebelum bersama-sama berjemaah di masjid berdekatan untuk
menunaikan Solat Asar. Selepas itu mereka sama-sama ke dusun milik ibu Hadi
untuk memetik buah.
* * *
* *
Udara segar berhembus di dusun itu sungguh menyegarkan tubuh badan. Jiwa
juga terkesan diberikan ketenangan oleh Allah dengan nikmat mata melihat
keindahan alam. Air sungai mengalir tenang sehingga tidak menampakkan
kocakkan air. Di dusun yang luas itu terdirinya sebuah pondok lama. Memberi
tempat beristirehat di bawah teduhan pokok-pokok buah-buahan. Dari situ
terdengar alunan petikan gitar seiring bunyi-bunyian alam bersatu memecah
hening.
“Eh. Hadi cuba engkau tukar lagu lain. Asyik lagu P. Ramlee sahaja
yang engkau nyanyi. Tahulah engkau ini minat lagu-lagu dia. Tetapi telinga aku
ini mahu juga mendengar engkau menyanyi lagu-lagu jiwang zaman sekarang.
Lagu nasyid ataupun... apa-apa sahajalah,” Ewan menghentikan petikan gitar oleh
Hadi. Dia yang tadinya khusyuk dibuai irama gitar berkumandang, tersedar
sesuatu selepas beberapa minit Hadi menyanyi. Sejak mengenali Hadi, Ewan tidak
pernah mendengar walau sekali Hadi mendendangkan lagu-lagu selain lagu P.
Ramlee. Mahu juga dia mendengar suara merdu Hadi itu menyanyikan lagu-lagu
seperti lagu jiwang. Yang boleh membuatkan hati sesiapa sahaja cair
mendengarnya. Dengan keadaan yang amat tenang ini. Ditambah lagi suara Hadi
yang sungguh merdu.
“Lagu? Lagu yang bagaimana aku mahu main?” Hadi berhenti memetik gitar. Dia
yang duduk bersila betul-betul ditengah-tengah pondok itu menongkat dagunya.
Matanya pula dibiarkan meliar memandang ke hadapan membelasak pohon-pohon
buah-buahan yang rendang. Namun, fikirannya melayang memikirkan hal lain selain
dari permintaan Ewan yang duduk di sebelahnya.
“Lagu apa-apa sahajalah. Aku tidak kisah,” jawab Ewan selamba. Tetapi
mengharap sangat permintaannya dikabulkan. Dia yang mula terasa lenguh-lenguh
di kaki akibat terlalu lama bersila, melunjurkan kaki ke hadapan manakala
badannya condong sedikit ke belakang. Ditongkat kedua-dua belah tangan.
Manakala pandangannya masih dihalakan ke hadapan tanpa destinasi.
Hadi merenung lagi pepohon di hadapannya selama beberapa detik. Selepas itu
mengerutkan dahi lantas menegakkan tubuhnya sembilan puluh darjah dari kakinya
bersila. “Okey. Dengar baik-baik.” Dia menoleh sedikit ke arah Ewan.
Jari-jemarinya mula tersusun kemas di tali gitar sebelum menambah. “Pasti
engkau layan punyalah.”
“Eh? Nanti sebentar. Bila masanya aku jadi OKU? Orang kurang upaya?” tanya
Ewan serius. Dahinya pula dikerutkan menandakan sedang berfikir tentang apa
yang baru ditanyakan kepada Hadi.
“Yakah? Di mana yang kurang. Aku lihat cukup sahaja anggota tubuh badan
engkau.” Hadi berhenti memetik gitar kerana hairan mendengar soalan Ewan yang
bersifat tiba-tiba itu.
“Di sini kurangnya,” Ewan menjawab sambil menuding ke arah telinga kirinya.
“Bila masa pula aku ini pekak? Engkau fikir aku tidak pernah dengar lagu-lagu
P. Ramleekah? Lagu yang engkau nyanyi itu tadi lagu P. Ramlee. Aku tahulah.
Tidak payah hendakk bohong aku.”
Hadi hanya mencebik. Namun, di dalam hati ketawa kecil. Dia memang sengaja
mahu menduga Ewan. Kalau-kalau Ewan ini memang tidak pernah mendengar lagu-lagu
seniman lagenda itu.
“Okeylah! Tukar pelan. Apa kata engkau cipta lagu sendiri. Aku rasa engkau
tiada masalah mencipta lagu. Engkau sudah lengkap. Suara sedap. Pandai bermain
gitar. Sekarang... buatlah lirik sendiri. Aku mahu dengar juga.” Gaya Alif
berkata tidak ubah seperti sedang memberitahu deejay radio untuk menujukan lagu
kepada seseorang. Hadi yang kembang hidung kerana dipuji, melayan sahaja
permintaan Ewan. Dia berfikir sejenak. Kemudian, memetik jarinya sendiri
spontan mengasilkan bunyi. Mengisyaratkan sudah mendapat idea.
“Ada! Sudah ada. Dengar ini.” Hadi mula memetik gitar.
Krenggg...
“Aku suka dia...” Suara hadi lembut sahaja menuturkan lirik itu.
Namun, berubah garau seperti sedang menyanyikan lagu rock.
“Dia suka aku!”
“Kita sama-sama suka!”
“Kita kahwin saja!”
“Hoi!” Ewan mencelah pantas. “Lagu apa itu?”
“Lagu cinta. Lagu cinta khas aku cipta untuk engkau. Hahaha,” jawab Hadi
selamba diiringi ketawa. “Bagaimana? Okeykah?”
Ewan menjeling tajam. “Lagu itu sesuai untuk kucing yang gatal mahu
mengawan saja. Tidak sesuai untuk manusia. Kalau mahu cipta lagu, perlu berkias
sedikit. Berbunga-bunga. Bukan tegak sahaja seperti lagu engkau tadi.” Hadi
mencebik lagi mendengar komen Ewan.
“Ceh! Bercakap seperti tahu sahaja. Cubalah buat sendiri! Aku manalah
reti,” kata Hadi sambil membuat memek muka menjengkelkan. Gitar dipangkuan
diangkat lalu diletakkan bersebelahan dengannya. Jari jemari lenguh kerana
terlalu lama memetik gitar.
“Hahaha. Janganlah marah. Aku cuma beri komen sahaja. Kalau mahu buat lagu,
aku lagilah tidak reti. Aku bukan orang seni.”
“Yalah. Engkau itu. Beri komen seperti mahu dihempuk dengan gitar ini. Kata
lagu aku sesuai untuk kucing kurap gatal mahu bercinta dengan kucing betina
yang comel. Aku tidak akan segan-segan mahu menghempuk. Gitar aku boleh beli
baru saja. Gitar ini pun sudah terlalu lama berkhidmat kepada aku. Jadi, aku
akan melupuskan dengan cara paling terhormat.”
“Eh? Aku tidakk kata sampai begitu sekali. Engkau jangan cuba-cuba membuat
fitnah, Hadi. Dosa besar, tahu?”
“Ah. Sama sahaja dengan engkau kata tadi. Menghina juga, tahu?” Hadi
mencebik. Pandangan matanya masih lagi membelasak ke kawasan dusun itu.
“Okeylah... Maafkan saya. Cik Abang Hadiku intan sekaki payung busuk-busuk.
Muahhh. Ewan di sini meminta maaf. Adakah Abang Hadi yang berada di sana sudi
memaafkan Ewan di sini?” Ewan membuat raut wajah manja. Namun, dari pandangan
Hadi sepertinya Ewan sedang meminta penyepak. Kerana membuatkan dirinya
terasa geli-geleman.
“Eiii. Geli aku mendengarnya. Sudahlah! Engkau pergi tolong mereka petik
buah manggis itu. Lagi elok. Mengganggu saja orang mahu melayan perasaan dan
emosi yang gundah-gelana serta galau ini.” Sebenarnya Hadi dan Ewan sedang curi
tulang. Sedangkan Alam, Khairi, Syafiq dan Harris sibuk memetik buah manggis di
kawasan paling hujung dusun itu. Itupun, mereka pergi berehat tanpa pengetahuan
mereka bertiga.
Ewan hanya mencebik. Hatinya berdesis berkata. Dia tuan empunya tanah ini,
menyuruh orang lain pula membuat kerjanya. Sedangkan, dia berehat-rehat seperti
majikan saja. Untuk seketika, suasana menyepi. Masing-masing hanyut dibuai
perasaan. Bersatu dengan alam dengan caranya tersendiri.
“Kalian berdua! Amboi. Bermadu asmara pula siang-siangan begini. Kita di
sini sudah lencun memetik buah. Kalian pula bersenang-senang.” Khairi menegur
yang berjalan ke arah pondok itu dari sebelah kanan. Kelihatan dia sedang
menolak sebuah kereta sorong yang sarat dengan buah manggis. Di belakangnya pula,
terdapat Harris, Syafiq dan Alam melakukan hal yang sama seperti Khairi.
Kecuali Syafiq yang berlenggang. Mulutnya sarat dengan isi buah manggis. Makan
sambil berjalan. Sungguh tidak elok!
“Lencun dengan peluh sampai begitu sekali? Engkau petik buah manggiskah?
Atau petik buah sawit?” tanya Ewan selamba. Raut wajah tampak polos walaupun
menanyakan soalan sebegitu rupa.
“Tidaklah. Kami baru selesai memetik buah anggur. Di atas bukit. Sejuk!
Seperti di Afrika yang panas terik!” Khairi menjawab sinis. Sengaja membuat
lawak ataupun mahu menyindir Alif dan Hadi? Syafiq di belakangnya ketawa geli
hati. Harris pula hanya tersenyum. Mendengar telahan Khairi yang dipanggil
abang itu kerana menghormati rakan-rakan abang kandungnya.
“Tadi kami kepenatan. Tidakk larat mahu memetik lagi. Aku pula seperti
sudah tidak rasa kaki aku ini kerana terlampau lenguh. Sebab itu kami curi
tulang. Eh. Silap! Berehat.” Hadi menutup mulutnya kerana tersasul. Ewan di
sebelah hanya menjeling tajam.
“Ah. Alasan. Macam aku tidak dengar engkau tersasul,” kata Khairi.
“Jadi? Ini yang terakhir, bukan?” Hadi sudahpun bangun dan menyarung
butnya. Sebelum mendekati mereka berempat yang meletakkan kereta sorong
betul-betul di hadapan pondok.
Alam mengelap peluh di dahi menggunakan belakang tangannya. Sebelum
menjawab. “Ini yang terakhir. Sudah habis bersih kami kerjakan pokok-pokok
manggis itu.”
“Abang Hadi. Buah mangis ini manis betullah. Sedap.” Syafiq menyampuk. Dia
sudahpun membuka selipar. Dan duduk bersila di sebelah Ewan yang hanya memerhati
sahaja dari tadi. Mulut Syafiq tidak henti-henti mengunyah isi buah berwarna
putih itu. Tetapi luaran kulitnya berwarna ungu gelap. Mungkin kepenatan
membantu mengutip buah dan tiba pula masa Syafiq merasa hasilnya.
“Abang Ewan. Rasalah. Nah,” Syafiq mempelawa. Sebiji manggis dihulur kepada
Ewan. Namun, Ewan hanya menggeleng memandang budak lelaki itu. Tangannya
perlahan menepuk perut menandakan sudah kekenyangan. Ini kerana, masing-masing
sudah puas merasa sebelum memulakan aktiviti memetik buah lagi. Tetapi Syafiq
ini seperti perutnya tidak akan penuh. Badan sahaja kecil. Desis Ewan di dalam
hati.
“Kalau begitu, aku mahu menelefon Taukey Chong. Mahu beritahu suruh ambil
buah ini. Tinggalkan sedikit untuk kamu semua bawa pulang ke Kuala Lumpur,”
kata Hadi kepada Alam, Hadi dan Ewan. Setelah itu, tangannya mula meraba poket.
Namun sudah puas meraba poket baju dan seluar. Tetapi barang yang dicari masih
tidak ditemui.
“Apa yang engkau teraba-raba itu?” tanya Khairi.
“Handphone akulah.
Tidak ada pula. Ada tercicir di mana-manakah?” Hadi menjawab pertanyaan Khairi
dengan soalan juga. Namun, Khairi yang sudahpun duduk di pondok bersama-sama
Ewan, Syafiq, Alam dan juga Harris hanya menggeleng. Kemudian, yang lain
turut menggeleng kepala memberi isyarat, kemungkinan telefon bimbit Hadi tidak
tercicir. Kecuali adiknya, Harris.
“Harris rasa abang tertinggal di atas meja di ruang tamu rumah,” kata
Harris selamba.
“Betulkah, Harris?” tertoleh Hadi mendengarnya. Harris hanya mengangguk.
Isyarat itu membuatkan Hadi menepuk dahinya. Lalu, bercekak pinggang memikirkan
nasib buah-buahan miliknya. Yang berkemungkinan akan bermalam semalaman di
pondok usang itu.
* * *
* *
“Itulah engkau. Telefon bimbit yang diperlukan. Engkau bawa gitar pula.
Mahu memetik buahkah? Atau mahu memetik gitar? Engkau fikir apa. Mahu buat
konsert live di tengah-tengah dusun ini?” Ewan
memprovok Hadi.
“Jangan mengata aku. Engkau juga yang menyuruh aku membawa gitar tadi,”
Hadi membalas. Yang masih bercekak pinggang.
“Betul. Tapi aku tidak menyuruh engkau tinggalkan telefon di atas meja di
ruang tamu,” Ewan menjawab selamba sambil tersengih-sengih.
“Tidak mengapalah. Kalau begini, biar Harris sahaja yang pulang dan
menelefon Uncle Chong. Dan suruh dia ambil buah ini di tempat biasa. Tidak
sanggup pula mahu biarkan buah-buah ini tinggal semalaman di sini,” Harris
mempelawa diri. Dia sudahpun bangun dari duduknya. Lantas menyarungkan selipar
dan bersiap untuk menuju ke rumah. Raut wajahnya masih kelihatan serius. Namun,
tampak manis dipandang.
“Syafiq mahu ikut! Mahu ikut! Mahu pulang sebab hendak membuang air.
Terlalu banyak makan buah manggis ini agaknya.” Wajah Syafiq jelas sesak. Dia
pantas turun dari pondok dan menyusuli Harris. Gaya berjalan sedikit
terkepit-kepit di bahagian kelengkang. Alam yang perasan itu, hanya ketawa
kecil. Entah sempat atau tidak mahu ke bilik air. Jangan-jangan sudah tercicir
di tengah jalan dahulu. Desis hati kecilnya melihat telatah budak lelaki itu.
“Okey. Biar kami tunggu di sini. Cepat sedikit. Beritahu Uncle Chong dengan
jelas, untuk ambil di tempat biasa. Telinga uncle itu bukan boleh dipercaya. Nanti
tunggu di tempat lain pula.” Hadi memperingatkan adiknya. Harris hanya
mengangguk perlahan sebelum dia dan Syafiq hilang dari pandangan mereka
berempat yang masih duduk di dalam pondok. Suasana senyap seketika. Kelihatan
mereka seperti tidak berbuat apa-apa. Namun, masing-masing sebenarnya mahu
menghilangkan lelah sambil menikmati kesegaran udara di situ.
“Sekarang ini kita mahu buat apa? Sementara menunggu Uncle Chong.” Alam
memecahkan hening di pondok itu. Yang dari tadi dia hanya termenung.
“Buat apa lagi. Let’s get
start our campfire! Campfire song, pleaseee! C.A.M.P F.I.R.E S.O.N.G song...!
C.A.M.P F.I.R.E S.O.N.G song...!” Teringat semula perkhemahan pengakap
sekolah dahulu, gaya Ewan seperti orang gila sahaja menyanyikan lagu campfire itu. Ditambah dengan gerak-geri tubuh
badan yang kelihatan menari. Tetapi dari pandangan Alam, jelas kelihatan
seperti ayam sedang mengibas-ngibas kepaknya sebelum berkokok.
“Hoi! Waras sedikit! Mana ada unggun api siang-siang begini,” Alam
menyergah keras. Siapa yang tahan? Kalau sudah terpekik terlolong sehingga
begitu sekali. Betul-betul di sebelah telinganya pula!
“Yalah. Lagipun tidak elok. Menyanyi begitu mengelilingi unggun api.
Seperti mahu menyembah api pula. Cukup sekadar mahu menyejukkan badan dan
mengelakkan binatang liar jika ketika sedang berkhemah,” tambah Khairi pula.
Ewan pula hanya mencebik sebelum termenung kembali. Suasana di situ sekali lagi
menyepi.
Masing-masing hanyut dibuai perasaan sendiri. Ada yang memikirkan hal
tentang tekanan di tempat kerja. Ada yang berfikir tentang masa hadapan. Dan
yang kelihatan seperti terdesak sekali, memikirkan hal tentang mahu berkahwin
pula. Tetapi masalahnya belum berpasangan. Usia pula semakin meningkat!
Siapalah gerangan itu.
“Hadi. Engkau sekeluarga tinggal di rumah itu bertiga sahajakah?” Alam
sekali lagi memecahkan hening. Tidak tahu kenapa dia bertanya soalan sebegitu.
Alang-alang sudah berada di sini, mungkin mahu menyingkap kehidupan Hadi yang
jarang benar bercerita perihal keluarga sendiri di antara mereka berempat ini.
Tidak terkecuali dirinya sendiri. Yang dia tahu, Hadi Khairi dan Ewan hanya
maklum tentang dirinya yang yatim piatu sejak kecil. Dibesarkan di rumah anak
yatim dan mula berdikari selepas tamat sekolah menengah. Itu sahajalah. Tentang
keluarga Khairi dia tahu benar, yang ibu bapanya sekarang ini tinggal di luar
negara menguruskan perniagaan sendiri. Manakala tentang keluarga Ewan usah
dikata. Ibunya kerap kali juga melawat ke pangsapuri mereka melihat-lihat
kehidupan rakan-rakan baik anaknya yang bongsu itu. Dan sudah dianggap seperti
ibu angkat sendiri oleh Alam, Hadi dan Khairi.
“Betul. Selepas bapa aku meninggal dunia sejak tiga belas tahun yang lalu.”
Hadi menjawab selamba soalan itu tanpa memandang Alam. “Ketika itu, aku berumur
tiga belas tahun. Baru sahaja masuk tingkatan satu.” Hadi menoleh ke arah Alam
sebelum bertanya kembali. “Mengapa engkau bertanya?”
“Tidak ada sebab tertentu. Sahaja mahu mengenali kehidupan sahabat baik
yang sudah aku anggap seperti keluarga sendiri. Kalian pun tahu status aku
bagaimana, bukan?” Alam memandang wajah rakan-rakannya yang masing-masing
terangguk-angguk perlahan. Hadi meleretkan senyuman apabila memahami apa yang
dimaksudkan Alam. Mungkin Alam mahu maksudkan yang dia hanya ada mereka bertiga
sahaja di dalam hidupnya. Ini kerana Alam anak yatim piatu serta tiada keluarga
terdekat lain yang dia ada.
Mungkin ada, tetapi barangkali dia yang tidak mengenali mereka.
Tempat duduknya ditenung manakala senyuman masih tidak lepas dari raut
wajah. Fikiran Hadi mula menerawang perlahan mengingati semula masa-masa lalu
kehidupannya yang tidak pernah akan kembali.
“Bapa aku meninggal disebabkan kemalangan jalan raya. Masa itu, hari
pertama aku menjejakkan kaki ke sekolah menengah,” Hadi mula bercerita. Namun,
belum sempat disambung, seseorang menyampuk percakapannya.
“Betulkah? Engkau tidak pernah bercerita pun?” Ewan berkata dengan raut
wajah penuh tanda tanya.
“Ish! Memanglah aku tidakk pernah cerita. Sekarang inilah aku mahu cerita,”
kata Hadi. Dia menjeling Ewan. Faham dengan jelingan itu, Ewan dengan gaya
selamba dan tidak bersalah memandang semula ke tempat asal sebelum dia bertanya
tadi. Buat-buat fokus mahu mendengar cerita Hadi selanjutnya.
“Sebelum itu, kehidupan kami sekeluarga sederhana sahaja. Arwah bapa aku
pula bekerja sebagai pemandu bas henti-henti, selain mengusahakan dusun ini
bersama ibu aku. Apabila arwah bapa aku terlibat dalam satu kemalangan yang
mengakibatkan dia terlantar beberapa hari di hospital sebelum meninggal dunia,
hidup kami berubah sama sekali.” Yang lain khusyuk mendengar cerita Hadi.
Dia mengambil nafas sejenak sebelum menyambung. “Kalian semua tahu?
Kemalangan itu mendapat liputan meluas akhbar-akhbar tempatan selama beberapa
hari. Kerana kesnya yang unik. Aku yakin pasti kamu semua ada juga terdengar
tentang berita ini tiga belas tahun yang lalu?” Hadi menyoal rakan-rakannya.
Mahu mendapatkan kepastian.
“Kes yang pelik? Kes bagaimana itu? Kalau aku tidak silap, tiga belas tahun
yang lalu, aku masih tinggal di luar negara bersama orang tua aku. Umur kita enam
belas tahun, baru aku berpindah semula ke Malaysia dan tinggal bersama datuk
dan nenek aku. Jadi, mungkin aku tidak tahu langsung akan hal ini,” Khairi
berkata penuh yakin cuba mengingat kembali saat-saat itu.
Hadi hanya mengangguk perlahan mendengar keterangan Khairi. “Engkau pula
Ewan, ada terdengarkah?”
“Aku pula... masa itu... baru sahaja layak ke sekolah berasrama penuh.
Tidak tahu-menahu pula tentang berita ini. Mungkin ada tetapi sudah lupa
barangkali,” giliran Ewan menambah sebelum Alam pula menyambung.
“Oh! Aku pula masih di Rumah Anak-Anak Yatim Qaseh di Selangor,” Alam
berkata sambil mengerutkan dahi. “Saat itu... kehidupan aku di rumah-rumah
anak-anak yatim biasa-biasa saja. Tiada yang menarik. Jadi banyak perkara yang
aku sudah lupa.” Mendengar sahaja nama rumah anak-anak yatim yang disebut Alam
membuatkan Khairi tersentap. Dia cuba mengingat-ingat semula di mana dia pernah
terdengar nama rumah anak yatim itu.
“Eh? Macam pernah dengar saja,” kata Khairi spontan.
“Apa yang engkau pernah dengar, Khairi?” tanya Ewan.
“Em... Tiada apa-apalah,” jawab Khairi sambil menggaru dagunya yang tidak
gatal. Namun, raut wajah jelas sedang memikirkan sesuatu.
“Jadi? Seterusnya? Apa yang menjadikan kes itu pelik,” tanya Alam kepada
Hadi. Mengharap lelaki itu menyambung ceritanya semula.
“Begini.” Hadi menghirup nafas panjang sebelum menyambung.
“Ketika kemalangan, terdapat tujuh penumpang turut terlibat. Yang mana
ketujuh-tujuh penumpang itu meninggal dunia di tempat kejadian. Kes ini menjadi
pelik kerana, selepas kejadian, tiada sesiapa pun yang menuntut jenazah-jenazah
tersebut. Kebetulan atau apa? Selepas seminggu dari tarikh kemalangan, polis
mengesahkan salah seorang dari penumpang itu adalah orang gila. Tidak tahu
bagaimana dia boleh ditumpangkan di dalam bas. Namun, memang tidak hairan tiada
sesiapa yang menuntut jenazah orang gila itu, bukan?”
“Polis juga mengesahkan, dua dari tujuh penumpang itu pula adalah
penjenayah yang sangat dikehendaki polis di kawasan ini. Yang ini sungguh
pelik. Penjenayah naik bas?”
“Penjenayah-penjenayah ini sebelum ini banyak melakukan rompakan di
sekitar sini. Dengan berlakunya pengecaman jenazah-jenazah penjenayah ini, kes
sejak tiga tahun lalu ini selesai serta-merta dengan tertangkapnya baki tiga
orang lagi rakan penjenayah. Kes ditutup!”
“Baki jenazah yang tinggal, umur dalam lingkungan 20 hingga 35 tahun itu
tetap tiada siapa yang tuntut. Kes ini belum tamat sehingga di sini saja!
Selepas dua minggu dari kejadian kemalangan itu, sebaik keluar dari hospital,
pemandu kereta Honda Civic berwarna putih yang berlanggar dengan bas itu pula
bunuh diri. Sebelum itu, pemandu remaja perempuan berbangsa Cina itu hanya
cedera ringan. Keluarganya memberitahu, sebelum membunuh diri mangsa mendakwa
kejadian kemalangan itu telah disumpah menyebabkan mangsa bertindak sedemikian
kerana ketakutan. Namun, pihak polis pula mengesahkan mangsa hanya tertekan dan
trauma dengan kemalangan tersebut menyebabkan dia cenderung untuk membunuh
diri. Kes-kes ditutup! Tamat.”
Selesai bercerita, Hadi menoleh ke arah Khairi, Alam dan Ewan yang
masing-masing kelihatan cuba menghadam apa yang dia cerita.
“Betulkah ada kes seperti itu?” tanya Ewan meminta kepastian.
“Ya. Apa? Engkau fikir aku sengaja mereka-reka cerita ini. Hal ini
melibatkan kematian. Takkan aku mahu mereka cerita ini pula,” balas Hadi.
“Selepas semua hal ini terjadi, aku mula berfikir-fikir. Sekarang aku cuma
ada ibu yang perlu aku jaga dan balas budinya dengan sepenuh hati tanpa
berbelah bagi, tanpa kehadiran seorang lagi individu penting dalam hidup aku
yang aku sempat balas budinya. Tanggungjawab aku pula lebih terasa apabila sedar
diri ini anak lelaki sulung. Ada adik yang perlu aku jaga dan mengasihinya.”
Mendengarkan itu, Alam pula yang terasa sebak di dada. Manakan tidak,
perasaan itu lebih terasa di dalam hatinya. Mengenangkan dia sudah tiada ibu
bapa yang perlu dibalas budi mereka seperti yang diperkatakan oleh Hadi.
“Kadang-kala aku terfikir juga. Bagaimana orang yang sudah tiada ibu bapa
ini hidup tanpa bermatlamatkan salah satu matlamatnya adalah untuk membalas
jasa ibu bapa? Pernahkah kalian berfikir seperti itu juga?” tanya Hadi kepada
mereka. Mendengarkan itu, sekali lagi Alam tersentak. Pandangannya yang tadi
tegak sahaja mula dihalakan ke tempat dia duduk. Sayu sahaja raut wajahnya. Ini
kerana dia pernah juga berfikir sedemikian. Apa tujuan hidup dia sebenarnya tanpa
ibu bapa? Jika orang lain, pasti sahaja akan mengatakan mahu membalas jasa
orang tua mereka apabila sudah berdikari. Tetapi jika berada di tempat dia
sekarang ini bagaimana pula?
Persoalan ini telah lama Alam tinggalkan tanpa sebarang jawapan.
Dan... mungkinkah ini sebabnya mengapa hidupnya terasa kosong dan seperti
tiada matlamat? Hanya menempuhi apa sahaja yang mendatang dalam hidupnya?
Adakah kerana salah satu matlamat penting dalam hidup setiap manusia tiada pada
dirinya?
Fikiran Alam rungsing. Kenapalah persoalan ini dibangkitkan Hadi di
hadapannya.
“Ish! Apa engkau ini?” Khairi menyiku tangan Hadi. “Jangan bangkitkan hal
itu sekarang,” Kata Khairi separuh berbisik kepada Hadi. Pada mulanya Hadi
tidak mengerti mengapa Khairi menyikunya. Tetapi setelah Khairi menjuihkan
bibir ke arah Alam, barulah dia mengerti. Ditambah dengan raut wajah Alam yang
sememangnya menggambarkan hati.
Hadi mengeluh perlahan.
Dia memerhatikan Alam yang masih tertunduk memandang lantai pondok yang
tingginya separas pinggang orang dewasa. Hadi faham benar perasaan Alam ketika
ini.
“Kalau begini, tanpa segan silu dan tiada belas kasihan serta rasa simpati,
aku mahu engkau jawab persoalan aku itu tadi. Aku mahu tahu apa yang ada dalam
hati engkau buat masa sekarang,” kata Hadi kepada Alam. Seraya itu, Alam
mengangkat kepalanya setentang dengan pandangan Hadi. Raut wajah Alam jelas
kosong.
“Eh! Hadi! Kenapa tanya soalan sebegitu pada Alam? Hormat sedikit perasaan
orang!” Khairi marah kerana faham benar dengan apa yang dimaksudkan Hadi. Ewan
pula hanya memerhati penuh tanda tanya.
“So... Soalan apa?” Alam bertanya walaupun sebenarnya dia juga mengerti apa
yang dimaksudkan rakan yang sedang dia tenung matanya. Buat-buat seperti tidak
tahu, Alam sebenarnya mahu mengelak dari menjawab soalan yang dia sendiri tiada
jawapan. Bukan tiada jawapan. Namun, dia sendiri telah puas menjadi ‘musafir’
bertahun-tahun lamanya untuk mencari jawapan itu. Mungkin susah bagi dirinya,
tetapi tidak pada orang lain yang tidak pernah berada di tempatnya.
“Jangan buat-buat seperti tidak tahu. Dari pandangan mata engkau, aku tahu
engkau faham benar maksud aku.” Tanpa menghiraukan marah hati Khairi, Hadi
tetap mahu tahu juga. Mendengar suara tegas itu, Alam cepat-cepat mengalihkan
pandangan jauh-jauh. Sambil membawa bersama persoalan itu.
“A.. Aku... Aku sendiri pun tak tahu. Aku tiada jawapan yang engkau minta,”
perlahan sahaja suara Alam menjawab.
Hadi mengeluh lagi.
“Aku bukan minta jawapan. Aku mahu tahu, dari persoalan yang membelenggu
aku, apa yang ada dalam hati engkau sekarang ini. Dalam kata lain, apa matlamat
hidup engkau sekarang ini.” Kata Hadi. “Kalau engkau tiada matlamat
sebenar-benarnya, sekarang inilah engkau perlu fikir-fikirkan. Sebelum semuanya
terlambat.”
“Betul! Aku tidak tahu walaupun ini adalah perasaan aku sendiri! Yang aku
tahu, aku tempuhi saja apa yang mendatang dalam hidup aku!” Pantas Alam
menjawab dengan nada sayu tetapi tegas. Namun, gayanya seperti sudah lemas
dengan soalan-soalan itu. Ketika ini, dia berasa kesal dan marah. Bukan kerana
marahkan Hadi yang berkata tanpa mempedulikan perasaannya. Bukan juga sakit
hati kerana Hadi membangkitkan isu sensitifnya sekarang ini. Tetapi yang
sebenar-sebenarnya, dia marahkan dirinya sendiri ketika ini kerana membiarkan
persoalan itu bersarang dan tergantung tanpa jawapan dalam benaknya. Bukan
setahun dua, tetapi hampir lima belas tahun dirinya terkapai-kapai, lemas dalam
persoalan itu. Lantas meninggalkannya kerana takut. Takut terhadap masa
hadapannya yang tidak pasti, yang menjadi salah satu rahsia Allah terhadap
hamba-Nya. Sekali lagi, suasana di pondok itu menyepi. Unggas-unggas sahaja
yang tidak pernah penat menghasilkan bunyi-bunyian tanpa mempedulikan empat
sahabat itu.
Tiba-tiba, Alam pantas turun dari pondok. Seliparnya disarung sempurna
kedua-dua belah kaki. Tanpa berlengah, dia terus berlari meninggalkan Khairi,
Hadi dan Ewan yang terpinga-pinga dengan tingkah lakunya itu.
Sepantas kilat Alam hilang di balik kawasan tanah yang sedikit berbukit.
“Semua ini engkau punya fasallah! Lihat apa sudah jadi pada kawan kita.
Mesti hatinya sedang rungsing dan sedih,” Ewan memarahi Hadi yang masih
memandang ke tempat Alam menghilang sebentar tadi. Kemudiannya, dia tertunduk.
Tidak sampai beberapa detik, kepalanya didongakkan semula diiringi jeritan!
“Arghhh! Aku rasa seperti sudah keterlaluan pula bertanya pada Alam
sebegitu!”
“Itulah! Sudah jatuh baru terngadah. Bukan aku sudah beri amaran tadi.”
Khairi memukul perlahan bahu Hadi sebelum menyambung. “Bercakap ikut sedap
mulut saja. Perasaan manusia bukan barang permainan! Lihat sekarang Alam sudah
merajuk.”
“Eh? Soal konsep tentang perasaan yang engkau sebut-sebut tadi bukan untuk
orang sedang bercinta sajakah?” Tanya Ewan kepada Khairi. Selalunya frasa ‘perasaan
manusia bukan barang permainan itu’ sering didengari dalam kisah-kisah cinta
sahaja. Di mana seorang lelaki atau perempuan permainkan perasaan kekasihnya
sehingga terluka. Tetapi hari ini Khairi menggunakannya terhadap sesama lelaki.
Apakah semua ini?
“Sedang bercintakah? Tak sedang bercintakah? Sama saja! Lelaki dan
perempuan masing-masing tetap ada perasaan juga,” balas Khairi. Seraya itu,
masing-masing kesal dengan apa yang baru sahaja berlaku. Tentu Alam bersedih.
Sudah tentulah! Kerana menyentuh sensitivitinya! Siapalah yang tidak bersedih
jika berada di tempat Alam.
Sedang mereka memikirkan cara bagaimana untuk memujuk rajuk Alam,
terutamanya Hadi yang terang-terangan bersalah. Tiba-tiba, bunyi seperti benda
besi berlaga mengejutkan mereka!
Ktang!!! Ktang!! Ktang!
Ewan terlompat mendengar itu. Mereka sudah pun turun dari pondok itu kerana
menyangka pondok usang itu mahu runtuh barangkali. Kemudian, sebiji batu sungai
sebesar satu pertiga penumbuk jatuh dari atap pondok yang separuhnya
beratapkan zink, dan separuh lagi beratapkan nipah. Ketiga-tiga mereka serentak
merenung batu yang sudah di atas tanah itu.
“Kalian semua!” Mendengar jeritan itu. Masing-masing terpusing-pusing
kepala tercari-cari punca suara itu.
“Kalian semua! Tak mahu mandi air bukit inikah! Sejuk!” Rupa-rupanya Alam
yang terjerit-jerit dari sebuah air terjun kecil yang punca airnya dari atas
bukit tanah dusun itu. Kelihatan dia sudah tidak berbaju dan sedang
melampiaskan air jernih itu ke udara. Kemudian hilang membenamkam tubuhnya ke
dalam air sungai sederhana dalam. Khairi, Hadi dan Ewan tertoleh sesama
sendiri. Masing-masing kehairanan, disangkanya Alam sedang berduka. Sehingga
lari menyembunyikan rajuk dan sedih dari rakan-rakan baiknya ini. Rupa-rupanya
sedang berseronok di dalam sungai itu!
Mereka merenung sesama sendiri lagi.
Namun bezanya kali ini ada sengih terpancar dari wajah mereka. Tanpa
berlengah, pantas mereka berlari menuju ke arah Alam. Diiringi gelak tawa dan
jeritan. Sempat mereka membuka baju dan berseluar pendek sahaja sebelum bunyi
air mencebur kuat bergema meneggelamkan bunyi-bunyian unggas di situ!
Ruginya Syafiq tidak ikut serta.
* * *
* *
Akan Bersambung
Bab 03 akan dipost seminggu lagi.