Isnin, 31 Oktober 2016

SEMANIS LOLIPOP STRAWBERI BAB 02

Hi guys. Ni Semanis Lolipop Strawberi bab 2. Selamat membaca!

Semanis Lolipop Strawberi
Bab 02

Tuhan mengurniakan satu  lagi hari yang indah. Awan-awan di langit memutih gebu terapung-apung di langit biru bersinar. Burung-burung menyanyi gembira sambil keluar dari tempat teduhan gelap malam. Malam tadi yang hujan lebat lagi menambah kesejukan gelap malam, ternyata disebaliknya memberi keindahan pagi ini. Matahari pula memancar sederhana terang dari ufuk langit.
Dari kedudukan Alam yang sedang memandang tinggi langit, matahari muncul dari sudut-sudut bangunan sekolah yang ternyata agak tinggi. Hah! Sekolah? Nanti sekejap. Apa sahaja yang dilakukan Alam di sekolah pagi-pagi ini?
Alam mengeluh sambil pandangannya tidak lepas memandang langit biru. Dia berdiri tegak manakala kedua-dua belah tangannya disilang ke belakang. Jari-jemarinya dimainkan perlahan. Ternyata sedang kebosanan.
“Err... Cikgu. Saya sudah lambat ini. Mahu pergi kerja,” kata Alam kepada cikgu bermisai tebal di hadapannya. Sambil tangan kanan mengetuk-ngetuk jam tangan dan dihalakan kepada cikgu.
“Kerja? Jangan tipu saya. Mana mungkin mahu pergi kerja tetapi pakai baju seperti mahu pergi memancing,” balas cikgu itu yang bersuara agak garau. Dia memandang Alam dari bawah hingga ke atas. “Lagi pula, jangan-jangan kamu hari ini bercuti. Ambil MC. Paling tidak pun ambil cuti tahunan.”
Alam tersentap sambil segera meraba badannya. Alamak! Mahu berbohong tetapi tersilap cara. Dia juga hairan. Bagaimana pula guru disiplin ini tahu yang dia hari ini ambil cuti tahunan? Nujumkah? Merepek!
“Tetapi, mengapa saya juga turut diberi ceramah?” tanya Alam lagi dengan nada suara agak tinggi tetapi masih berlagu hormat.
“Mestilah. Kamu yang terlewat sebenarnya. Kamu penjaga Syafiq. Syafiq sudah bangun awal mahu ke sekolah, tetapi kamu yang terlewat untuk bangun. Jadi, saya ceramah juga kamu. Kalau saya ceramah Syafiq seorang tiada guna. Dia sudah bangun awal,” bebel guru disiplin itu. Dia seterusnya menyambung ceramah.  Kadangkala bercerita zaman semasa dia bersekolah dahulu, kadang-kala pula, bercerita mengenai cerita sedih pula. Sekejap-sekejap menangis, sekejap-sekejap gembira.
Emm. Betul juga. Haish. Keluh Alam. Mahu berceramah tentang lewat datang ke sekolah, tetapi mengapa jauh menyimpang tentang dirinya pula? Dia menoleh ke kiri. Terlihat Syafiq hanya tunduk memandang tanah. Manakala dua orang lagi murid yang mungkin dalam darjah enam itu turut menoleh ke arah Alam sambil menyengih lebar. 
Alam mencebik lagi sambil mengerutkan dahi. Kalau tidak silap, mereka ini juga yang datang lewat tempoh hari. Mesti kaki lewat datang ke sekolah juga.
Alam kembali memandang langit biru dengan mendongakkan kepalanya sedikit. Ini bermakna dia perlu melakukan itu untuk dua puluh minit lagi sebelum sesi ceramah ini berakhir sepenuhnya seperti kebiasaan.
Alam mengeluh lagi.

* * * * *

Selepas tiga puluh minit kemudian, Alam menghidupkan motosikalnya. Dia menoleh ke arah guru disiplin, Syafiq dan dua orang murid yang sedang menuju ke kelas. Selepas itu, dia memecut laju ke arah jalan besar yang agak sibuk.
Setibanya dia di persimpangan jalan, dia memberhentikan motosikalnya dan menoleh ke kanan jalan. Tiada kenderaan. Dia menoleh pula ke kiri jalan, juga tiada kenderaan lain.
Namun, matanya tertancap pada sekumpulan pelajar sekolah menengah yang sedang duduk melepak di pondok bas. Kesemuanya dalam lima orang, tetapi dia tidak peduli pada keempat-empat pelajar yang dia tidak kenal itu. Cuma matanya tidak kelip memandang pelajar yang kelima. Seseorang yang dia kenal. 
Alam segera memacu motorsikalnya itu menuju ke arah pelajar-pelajar itu. Namun, tidak sampai pun tiga meter motorsikal bergerak, pelajar yang kelima itu tersedar lalu panik. Rakan-rakannya itu segera diajak beredar, dengan menggunakan tiga buah motorsikal. Sekelip mata sahaja mereka hilang dari pandangan Alam.
Alam terpaku sebentar sebelum bersuara.
“Azid? Apa dia buat di situ sama kawan-kawannya? Tidak pergi ke sekolahkah?”
Dia memandang ke arah pondok menunggu bas itu untuk beberapa saat. Lantas tersedar dan segera menuju ke rumahnya. Dia menganggap seperti tidak melihat apa-apa. Tetapi, merancang untuk bertanya kepada Azid, anak Mak Cik Zainab, juga abang kepada Syafiq yang berumur tiga belas tahun itu.
  “Apa khabar mak cik? Sihat? Banyakkah jualan yang laku hari ini?” tanya Alam kepada Mak Cik Zainab. Alam singgah untuk membeli sarapan pagi. Gerai Mak Cik Zainab itu betul-betul terletak di hadapan pangsapurinya.
“Mak cik sihat. Kebelakangan ini jualan mak cik biasa-biasa sahaja. Cukup-cukup untuk pusingan modal dan juga keperluan seharian,” jawab Mak Cik Zainab sebelum bertanya kembali. “Syafiq terlewat lagikah ke sekolah?”
Alam yang sedang melihat-lihat kuih-muih Mak Cik Zainab terkejut dengan soalan itu. Sebelum membalas gelabah. “Eh. Tidaklah mak cik. Sempat sahaja ke sekolah. Cuma guru disiplin Syafiq kirim salam kepada mak cik.”
“Oh? Waalaikummussalam.”
Alam menepuk dahinya. Tersasul pula. Nasib sahaja mak cik ini tidak syak apa-apa. Namun, bila masa pula guru itu kirim salam. Dia menggeleng kepala sambil di dalam hati berazam untuk tidak lewat lagi.
“Fahim. Apa khabar? Sihat?” tanya Alam kepada anak Mak Cik Zainab yang paling bongsu dan berumur lima tahun. Dia duduk di sebelah ibunya sambil memakan karipap.
Fahim cuma mengangguk comel memandang Alam. Ibunya hanya tersenyum memandang anaknya. Belum sempat dia mahu memesan apa-apa dari Mak Cik Zainab, bunyi kokokan ayam mengganggu telinga mereka.
Kok! Kok! Kok! Kok!
“Alam! Tolong tangkap ayam itu!” Jerit seorang pak cik dari arah kedai menjual ayam. Keadaannya tercungap-cungap berlari untuk menangkap ayam yang sudahpun berada di tengah jalan yang lengang.
“Pak Rahman? Ada apa Pak Rahman?” tanya Alam separuh menjerit dari gerai itu. Mak Cik Zainab dan Fahim juga memandang ke arah Pak Rahman.
“Itu. Tolong pak cik tangkap ayam betina itu!” balas Pak Rahman sambil menuding ke arah sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan. Yang kedengaran hanyalah bunyi kokokan ayam yang riuh sekampung. Eh, bukan. Riuh setaman.
“Di mana ayamnya? Tidak nampak pun?” tanya Alam lagi. Dia sudahpun berkejar-kejar ke arah kereta itu. Membongkok sedikit sambil matanya dijegilkan.
“Itu. Di belakang kereta itu!” jerit Pak Rahman.
“Ha. Itu dia. Ayam, jangan lari!”
Adegan kejar-mengejar ayam betina turut disertai Fahim yang terkedek-kedek berlari sama di samping Alam. Pak Rahman juga turut sama berlari, namun kadangkala berhenti tercungap-cungap memegang dadanya. Kemudian, sambung berlari semula.
Keheningan pagi di taman itu diganggu oleh riuh ayam berkokok. Kadangkala disusuli jeritan Alam dan Pak Rahman. Fahim pula hanya membisu. Namun kakinya lincah mengejar ayam betina itu. Sekejap-sekejap ayam itu berada di bawah kereta, sekejap-sekejap ayam itu di dalam longkang yang kering.
Ada pula masanya, ayam itu pula yang mengejar dan mahu mematuk Alam.
“Pak Rahman. Tolong saya Pak Rahman. Ayam itu mahu patuk saya!”
Kok! Kok! Kok!
“Alam, apa yang engkau buat itu? Tangkaplah ayam itu,” jerit Pak Rahman kepada Alam.
“Ayam itu garang sangat. Mahu patuk saya!”
Orang yang berada di sekeliling, dari pelanggan Mak Cik Zainab, pelanggan Pak Rahman hinggalah penduduk yang sedang berjoging, ketawa geli hati melihat kejadian itu. Mak Cik Zainab juga turut ketawa sambil menggeleng kepalanya beberapa kali melihat tiga orang lelaki itu. Dari yang kecil, muda dewasa hinggalah tua bangka itu berkejar-kejaran.
 Adegan itu tamat hanya selepas dua puluh minit kemudian. Itupun Fahim yang berjaya menangkap ayam betina itu.
“Arghh. Penatnya!” keluh Alam yang sudah pun terduduk di atas rumput bersebelahan dengan gerai Mak Cik Zainab. Dia menyeka peluh di dahinya yang mengalir laju.
“Hari cuti begini kena kejar ayam. Pagi-pagi jumaat begini pula. Ah, serik saya.”
“Yalah itu penat. Baru lari sekejap sudah penat. Kamu itu muda lagi. Sepatutnya banyak tenaga. Lagi pula, mak cik lihat kamu yang kena kejar ayam itu adalah,” ketawa Mak Cik Zainab sambil sibuk melayan pelanggannya. Dua orang wanita muda jelita yang menjadi pelanggan Mak Cik Zainab turut ketawa geli hati. Namun, segera disembunyikan.
Alam mencebik. Menoleh pula ke arah Pak Rahman yang sedang memegang ayam betina itu.
“Macam mana ini Pak Rahman. Mahu berniaga, tetapi ayam asyik terlepas sahaja. Paling tidak pun, ayam terlepas dan hilang begitu sahaja, dari mati katak dilanggar kereta di tengah jalan itu. Rugi sahaja.”
“Itulah masalahnya Alam. Kalau pak cik tahu bagaimana ayam-ayam ini boleh terlepas, tidaklah dibiarkan sahaja. Sekarang ini pak cik tidak tahu. Entah-entah ayam ini semua ayam jadian. Boleh keluar dari kurungan begitu sahaja.”
“Merepeklah Pak Rahman.  Masakan ayam jadian muncul dari telur. Bukan Pak Rahman ternak ayam-ayam itu semua?” balas Alam. Bungkusan air tebu yang dihulur Fahim, pemberian Mak Cik Zainab segera diambil. 
“Manalah tahu betul. Siapa yang sangka,” balas Pak Rahman selamba. Dia menoleh ke kompleks pasar basah, tempat di mana kedainya berada. Kedai itu diuruskan oleh dua orang pekerjanya. Dan ketika ini pasar basah itu mula di penuhi orang ramai.
Alam meneguk air tebu itu perlahan. Sambil-sambil itu, dia menyeka lagi baki peluh di dahinya.
“Khairi pernah beritahu saya, dulu Pak Rahman seorang askar, tetapi pencen awal. Kenapa Pak Rahman?”
“Ya. Betul itu. Dulu memang pak cik seorang askar.”
“Habis itu? Kenapa pencen awal? Pak Rahman pernah kena tembakkah? Ataupun pernah terkena serpihan bom? Sebab itu serik dan terus pencen. Pasti ada parut, berilah saya lihat,” Alam bertanya seloroh.
“Ish. Kamu ini. Mana ada semua itu. Pak cik belum habis cakap lagi. Lagi pula, zaman itu, Malaysia ini aman sahaja, tiada komunis ataupun pengganas lagi.”
“Oh? Maaf. Maaf. Maaf Pak Rahman. Hahaha,” ketawa Alam sambil menggaru kepala. Pak Rahman menyambung semula.
“Dulu-dulu, pak cik memang seorang askar. Tiada pangkat, cuma askar bawahan sahaja. Tapi pak cik ambil keputusan mahu pencen awal sebab keluarga pak cik.”
“Ha? Kenapa dengan keluarga Pak Rahman?”
“Sebab, situasi pak cik ketika itu sama seperti Mak Cik Zainab. Cuba kamu fikir. Kenapa Mak Cik Zainab berniaga seperti ini? Sedangkan dia boleh mencari kerja di kilang mungkin. Gaji tetap dan tinggi berbanding dengan berjualan kecil-kecilan begini.”
Alam memandang ke arah Mak Cik Zainab sambil mengerutkan dahi. Mak cik Zainab, janda anak tiga itu hanya tersenyum sambil mengusap kepala Fahim yang duduk disebelahnya. Selepas beberapa saat, Alam menggaru kepala sebelum menjawab.
“Mungkin sebab... Mak Cik Zainab mahu menjaga anak-anaknya yang masih kecil. Mungkin dengan berniaga begini, dia dapat melihat anak-anaknya membesar sambil menampung keperluan kehidupan seharian?” balas Alam acuh tak acuh.
“Hah. Itulah maksud pak cik sebenarnya!” Pak Rahman sedikit menyergah. Alam terkejut sedikit sambil mengurut dadanya memandang Pak Rahman.
 “Ketika itu, pak cik ada enam orang anak yang masih kecil. Dan menjadi seorang askar pula memang cita-cita pak cik dari kecil lagi. Tetapi, pak cik takut tiada masa meluangkan masa bersama keluarga. Pak cik pun mula berfikir panjang, kalau pak cik berhenti menjadi askar, pak cik mahu kerja apa untuk tampung kehidupan keluarga pak cik? Pakcik cuma ada SRP sahaja? Ketika itulah pak cik terfikir mahu berniaga. Tanpa berfikir panjang, pak cik terus sahaja pencen dan mula menternak ayam untuk dijual,” jelas Pak Rahman panjang lebar sebelum menamatkannya dengan senyuman lebar.
“Ha? Begitu sahaja?” tanya Alam sambil mengerutkan dahi. Tangannya didepa.
“Yalah. Habis tu, apa yang kamu sangka dari cerita pak cik?”
“Lagi satu, Alam. Nabi Muhammad SAW juga menggalakkan kita untuk berniaga. Sembilan puluh peratus punca pendapatan adalah dari berniaga.”
Alam memandang ke langit sambil mengangguk-angguk perlahan. Cuba menelan apa yang dikatakan oleh orang tua itu.
“Kamu perlu ingat satu perkara lagi. Kadangkala kita minat kepada sesuatu perkara, tetapi tidak semestinya kita perlu ke arah itu. Kadangkala pula, kita tidak minat kepada sesuatu perkara itu, tidak semestinya kita tak perlu ke arah itu,” Pak Rahman bersuara tegas.
Alam yang  tadinya bermuka tenang mula mengerutkan dahi. “Seperti sama sahaja maksudnya. Baik tak perlu ubah apa-apa kalau begitu,” Alam memandang kepada Pak Rahman.
“Memanglah sama maksudnya, tapi ada beza. Iaitu situasi. Situasi seseorang itu,” Pak Rahman tersenyum lebar.
“Situasi seseorang? Saya masih tak faham?”
“Tak apa. Kamu akan faham nanti. Pak cik percaya pasti kamu akan tempuhi juga perkara itu. Begitu juga dengan orang lain.”
Alam hanya mengangguk sahaja walaupun masih tidak faham. Sambil matanya memandang semula ke arah langit biru selama beberapa saat.
Kok! Kok! Kok!
Alam dan Pak Rahman segera memandang ke arah bunyi ayam berkokok itu.
“Pak Rahman. Pak Rahman!” Jerit seseorang dari arah pasar basah itu. Mungkin pekerja Pak Rahman.
“Kenapa, Sudin!” tanya Pak Rahman yang sudahpun mula berdiri dari duduknya tadi.
“Ayam. Ayam kita terlepas lagi!” jerit Sudin sambil mula mengejar ayam yang sudahpun terkedek-kedek berlari di tepi jalan.
Belum pun sempat Alam dan Pak Rahman membuka langkah, ayam itu sudah berada di bawah kereta yang sedang bergerak laju.

 * * * * * 

Di tengah lebuhraya itu sesak dengan kenderaan pelbagai jenama. Ada yang bergerak perlahan menggunakan lorong paling kiri, ada yang bergerak laju saling memotong di lorong paling kanan. Sekali-sekala ada pula ambulan yang laju memecut mencelah-celah kereta yang ada di kedua-dua lorong.
Namun, antara kenderaan itu semua, hanya sebuah kereta sahaja yang riuh dengan suara budak keriangan disulami dengan keluhan geram orang dewasa pula.
“Wah! Syafiq suka. Syafiq suka. Dah lama Syafiq tidak berjalan-jalan begini! Terima kasih Abang Hadi sebab bawa Syafiq jalan-jalan. Hehehe,” ketawa Syafiq kegembiraan sambil memandang sekeliling. Kedua-dua belah tangan dan mukanya ditekup ke cermin kereta. Dia sudahpun teruja sejak kereta ini mula bergerak lagi.
Hadi yang sedang fokus memegang stereng kereta tersenyum sahaja sambil menjeling Syafiq melalui cermin pandang belakang. Namun, biji matanya tidak kelihatan kerana memakai kaca mata hitam sederhana gelap.
“Arghh! Senyap boleh, tidak? Dari tadi asyik bising sahaja. Hadi tolong, aku tidak boleh tahan lagi duduk dekat belakang sama budak ini. Bila kita hendak sampai?” marah Ewan sambil menjeling Syafiq. Kemudiannya mencekik sederhana kuat leher Khairi yang duduk hadapannya.
“Ah! Lepas. Lepas. Lemas ini!” marah Khairi kepada Ewan  yang kelihatan sudah jemu mendengar suara Syafiq terpekik terlolong di sebelahnya.
“Hadi, mengapa engkau ajak sekali budak ini. Kalau senyap tidak mengapalah, ini tidak, asyik terpekik terlolong dari tadi. Bingit telinga aku,” Ewan membuat gaya menutup kedua belah telinganya. Matanya pula dijelingkan kepada Syafiq.
Syafiq pula hanya menjelirkan lidahnya sambil tersenyum nakal kepada Ewan. Tangannya lincah mengambil botol air mineral yang sudah kosong dan dibaling ke perut Ewan.
“Sakitlah. Hadi, tengok budak ini. Dia buli aku.”
“Sabarlah. Kita sudah hampir sampai. Sekejap sahaja lagi kita sampailah di kampung aku. Lagi pula salah engkau juga. Siapa suruh kau terpecahkan pasu bunga Mak Cik Timah jiran sebelah rumah aku? Mak Cik Timah itu sudahlah garang sedikit dari singa. Tahu?” Hadi mula membuka mulut yang dari tadi senyap seribu bahasa.
Ewan tersentap selama beberapa saat sebelum mula mengelamun.

* * * * *

Imbas kembali... Ewan tiba di pangsapuri Alam, Hadi dan Khairi untuk melepak bersama menonton perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia di antara Johor Darul Takzim dan Kelantan. Dia yang menaiki kereta miliknya, diparkir di petak paling hujung.
“Hello. Selamat malam!” Seorang pengawal keselamatan menegurnya dari belakang sebaik sahaja Ewan keluar dari keretanya.
“Err...Selamat malam, pak cik,” tegur Ewan yang terkejut dengaan sapaan itu.
“Siapa pak cik kamu? Walaupun saya sudah tua, tetapi saya belum kahwin lagi.”
“Oh. Maaf. Maaf. Emm... Habis itu... saya perlu panggil apa?”
“Panggil saja saya Uncle Sam.”
“Bukan samakah itu?” Ewan mengerutkan dahi sambil menggaru kepalanya.
“Mana ada sama. Lain. Emm... Kamu bukan penghuni pangsapuri ini?”
“Err...”
“Tidak payah cakap. Saya sudah tahu. Pasti bukan. Sekarang, beritahu saya kamu mahu pergi tingkat berapa? Rumah siapa?”
“Tingkat...”
“Tidak payah beritahu. Saya sudah tahu. Pasti tingkat tujuh, bukan?”
“Ya!” kali ini Ewan menjawab dengan pantas dan tegas. Takut sekiranya Uncle Sam itu memintas lagi percakapannya.
“Bagus. Anda adalah insan yang terpilih. Manusia yang terpilih adalah mereka yang perlu menempuhi cabaran sebelum mendapat kejayaan. Namun, bukan kejayaan yang penting sebenarnya, tetapi perjalanan itu sendiri. Jadi... kamu perlu hati-hati dengan tingkat tujuh.”
Ewan mengerutkan dahi lagi mendengar kata-kata pengawal keselamatan yang berputar belit itu. “Tetapi...?”
“Tidak perlu tanya. Sebabnya kerana...” Uncle Sam mula bercerita mengenai penunggu yang mengganggu penghuni tingkat tujuh dengan mengetuk pintu mereka sebanyak empat kali. Dia bercerita penuh penghayatan seperti DJ radio bertugas lewat malam yang bercerita tentang sebuah kisah hantu. Seram bunyinya. Alif pula terpaksa mendengar jelas suaranya walaupun suasana di situ sunyi. Selesai bercerita, Ewan mengerutkan dahinya sebelum membuka suara.
“Kenapa...?”
“Tidak perlu tanya. Mesti mahu tanya kenapa ketuk empat kali sahaja, bukan? Kenapa bukan sekali, dua kali atau tiga kali dan seterusnya? Haha. Saya sudah tahu. Semua orang yang saya beritahu tentang cerita ini pasti bertanya hal yang sama. Itu sebabnya... saya pun tidak tahu! Sekarang, saya mahu pulang. Shift saya sudah habis.” Uncle Sam menamatkan perbualan itu dan segera berlari-lari anak ke pondok pengawal tanpa berkata apa-apa kepada Ewan. Namun, sempat melambai kepada Alif.
Ewan sungguh terpinga-pinga dengan tingkah laku pak cik yang baru pertama kali dilihatnya walaupun sudah seringkali berkunjung ke sini. Dia menggaru kepalanya. “Bukan, saya mahu tanya, kenapa tingkat tujuh sahaja? Kenapa bukan tingkat satu, tingkat dua ataupun tingkat selain tingkat tujuh?” Ewan membebel sendirian dengan gaya seperti pak cik itu masih di hadapannya.
“Tapi, tak mengapalah kalau macam itu.”
Ewan memandang sekeliling kawasan parkir itu. Sungguh sunyi. Tempat ini yang dirasa biasa-biasa sahaja pada awal tadi kini seperti menyeramkan. Angin sejuk malam meniup perlahan lalu di lehernya. Segera lehernya itu digosok dengan tangan untuk disuamkan. Tanpa menunggu beberapa saat lagi, langkahnya dibuka laju menuju ke lif. Walaupun masih geli hati dengan tingkah laku pak cik pengawal keselamatan itu, namun ceritanya betul-betul masuk ke telinganya.
Setibanya dia di tingkat tujuh, dia tergesa-gesa menuju ke rumah Alam, Hadi dan Khairi. Ditambah dengan lorong di tingkat tujuh yang agak sunyi dan gelap itulah menyebabkan dia terlanggar pasu bunga di hadapan rumah Mak Cik Timah, jiran Alam sehingga pecah. Dan pada malam itu juga dia diugut oleh seorang budak kecil disebabkan hal itu.
“Tidak kira. Syafiq mahu ikut juga. Nak ikut abang-abang semua pergi rumah Abang Hadi di Johor,” pujuk Syafiq. Mereka semua berada di restoran mamak berdekatan dengan pangsapuri rumah dan baru sahaja selesai menyaksikan perlawanan bola sepak antara pasukan Johor Darul Takzim dan Kelantan. Kebiasaannya mereka menonton bersama di rumah sahaja, tetapi disebabkan pangsapuri mereka blackout, mereka terpaksa menonton di sini dibiasi langit gelap bertatahkan bintang-bintang. Angin malam pula sepoi-sepoi bertiup sejuk.
“Alah, bolehlah. Bosanlah duduk di rumah sahaja pada hujung minggu,” tambah Syafiq lagi.
“Tidak boleh. Kami pergi sebentar sahaja. Lagipun, siapa mahu tolong emak Syafiq berniaga nanti,” tanya Khairi pula.
“Tidak apa. Abang Azid ada. Dia boleh tolong emak berniaga. Lagipun emak Syafiq sudah beri kebenaran.”
“Amboi. Abang belum setuju lagi sudah beritahu emak. Tetapi bagaimana Syafiq tahu kami semua mahu pergi Johor hujung minggu ini?” tanya Alam pula.
“Syafiq terdengar perbualan abang-abang semua tempoh hari.”
“Ah. Tidak boleh! Tidak tetap tidak. Budak kecil tidak boleh ikut,” sampuk pula Ewan selamba, yang dari tadi mendengar sahaja perbualan itu. Matanya dijeling sinis Syafiq duduk bersetentangan dengannya di meja. Mungkin masih lagi marah kerana dibilang penakut oleh Syafiq di rumah tadi.
“Mahu ikut juga. Kalau tidak, Syafiq beritahu Mak Cik Timah, Abang Ewan pecahkan pasu bunga dia. Abang ingat saya tidak nampakkah hal itu?” ugut Syafiq pula. Mendengar saja itu, Ewan sepertinya terkejut. Bagaimana Syafiq boleh tahu yang dia terpecahkan pasu bunga jiran Alam? Dia menggigit jarinya sendiri sambil menoleh ke arah Alam, Hadi dan Khairi. Mereka hanya menjeling tajam Ewan. Ewan pula membalas dengan senyuman tersengih-sengih tidak bersalah.
Easy guys! Small matter. It’s not a big deal,” ucap Ewan yakin membuatkan Syafiq berkerut tidak memahami sepatah pun apa yang dikatakan Ewan. “I guess. Hehe.”
“Arghhh! Tidak...! Hal kecil engkau kata? Engkau tahu? Mak Cik Timah sudahlah garang. Kalau dia sedar pasu dia pecah, mahu perang besar ketiga jadinya dengan kami bertiga! Matilah kita!” Hadi meracau-racau di malam hari sehinggakan jiran meja sebelah-menyebelah menjeling-jeling sekiranya ada yang kerasukan. Boleh jadi juga ada yang mahu memulakan rusuhan akibat dari pasukan kegemaran bola sepak mereka kalah dengan teruk!
“Shhh! Perlahan sedikit! Benda boleh dibawa berbincang. Berdamai sahaja dengan Mak Cik Timah. Kalian jumpa dia. Minta gencatan senjata. Habis cerita? Lagipun boleh ganti pasu itu dengan yang baru punya. Katakan pada dia pasu kita beli dari luar negara. Harga mahal punya. Pasti dia percaya.” Ewan memberi cadangan bernas tanpa meminta sebarang balasan. Sebab itu semua memang salah dia.
“Kata macam senang. Memanglah boleh. Tetapi sekali dia membebel berjam-jam lama. Boleh bernanah telinga kami dibuatnya,” Alam menyampuk membalas kata Ewan. Teringat-ingat semula kejadian Hadi terpijak ekor kucing peliharaan Mak Cik Timah tanpa sengaja semasa mereka mahu keluar ke tempat kerja. Bila terdengar kucingnya mengiau keras, segera dia keluar memberi ceramah percuma pagi-pagi lagi. “Membebel lama. Sama macam Cikgu Harun guru disiplin di sekolah Syafiq. Satu kepalalah mereka berdua itu. Kalau dikahwinkan mereka berdua itu tidak tahulah apa jadi pada kita bertiga nanti.”
Malam itu mereka berterusan berbincang mencari jalan keluar kepada permasalahan yang dihadapi mereka. Tetapi satu pun tiada yang menjadi ataupun logik walau sedikit pun mahu diterima akal. Sehingga tidak sedar pelanggan lain restoran itu menyusut mahu pulang. Akhirnya mereka dihalau oleh pemilik restoran kerana mahu menutup kedai makan mereka.

* * * * *

Tepat jam 11.30 pagi, mereka tiba diperkarangan rumah emak Hadi tanpa Alam yang bertolak lewat sedikit selepas subuh dengan motorsikalnya sendiri. Mereka disambut oleh Mak Cik Nab, emak Hadi dan juga adik lelakinya, Harris yang masih bersekolah menengah.
“Apa khabar mak cik? Sihatkah?” Khairi yang bermulut manis menyapa dahulu Mak Cik Nab selepas turun dari kereta.
“Alhamdulillah. Mak cik baik-baik sahaja. Kalau sudah tua begini, jika batuk-batuk itu biasalah Ewan,” jawab Mak Cik Nab lemah-lembut.
“Eh... Mak cik. Saya Khairi. Ewan yang itu. Yang rendah-rendah itu.” Khairi menuding jari telunjuknya ke Ewan. 
“Oh. Maaf. Maafkan mak cik, ya? Sudah lama kamu tidak ke sini, mak cik pun tidak berapa cam. Maklumlah sudah tua begini. Patutlah mak cik pelik sangat lihat Ewan sudah tinggi begitu cepat.”
Mendengarkan itu, yang lain ketawa kecil kecuali Ewan yang mencebikkan bibirnya. Tidak habis-habis mahu mengenakan aku sahaja. Mentang-mentanglah mereka semua ini tinggi-tinggi seperti model ataupun pemandu juruterbang. Fikir Ewan.
“Tidak mengapa mak cik,” balas Khairi sambil berlalu ke bonet kereta Hadi untuk memunggah keluar barang-barang mereka.
“Lalu? Yang kecil ini siapa? Anak kamukah, Khairi? Bila masa pula kamu berkahwin? Sampai hati kamu tidak khabarkan kepada mak cik yang kamu sudah berkahwin. Sudah besar panjang pula anaknya.” Mendengar itu, Khairi mengerutkan dahi sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Bila masa pula aku berkahwin? Tanya Khairi kepada hatinya sendiri.
“Hahaha. Bukan, makcik. Itu Syafiq, adik angkat Hadi. Macam mana pula Khairi itu mahu berkahwin, sedangkan kekasih pun tiada. Harapkan muka sahaja kacak, tetapi tiada seorang gadis pun yang mahu.” Kali ini giliran Ewan gelak sakan menyakat Khairi. Khairi pula hanya mengepal erat buku limanya lalu ditujukan kepada Ewan.
“Ya. Nama saya Syafiq, mak cik. Jiran Abang Hadi di Kuala Lumpur. Sebelum ini saya tidak pernah ke Johor. Sebab itu Abang Hadi bawa saya ke sini,” jelas Syafiq. Tangan Mak Cik Nab disambut mesra lalu dicium. Menghormati orang tua. Beg galas yang dibawa sendiri oleh Syafiq dari rumah kelihatan besar seperti terlebih beban sehingga terbongkok-bongkok dia menggalasnya. Bajunya pula terherot sedikit di bahu menampakkan kulit bahu. Entah apa sahaja yang ada di dalam beg itu.
“Diajakkah, atau dipaksa?” sindir Ewan dari belakang. Sudah seperti anjing dengan kucing sahaja mereka berdua ini. Walaupun baru sahaja kenal, tetapi apabila bersua pasti ada sahaja bahan diajak bertikam lidah. Ewan pula seperti tidak sedar diri. Sudah besar panjang, tetapi kadangkala perangai masih sahaja seperti kebudak-budakkan. Tidak salah bersikap sedemikian, namun ada masanya.
Syafiq hanya menjeling ke arah Ewan lantas menjelirkan lidahnya tanda menyakat. Kelihatan dia masih berusaha namun terpisat-pisat dia menggalas begnya sendiri. Akibat tidak larat, diheret sahaja begnya itu dibawa masuk ke dalam rumah.


* * * * *

Selesai mengemas barang, yang kebanyakkannya hanyalah pakaian untuk dua hari ini, mereka sama-sama menikmati makan tengah hari hasil masakan Mak Cik Nab. Ibu Hadi kelihatan begitu gembira melayan tetamunya yang hadir. Sudah lama anak sulungnya itu tidak membawa rakan-rakan baiknya itu ke kampung.
Lewat pukul tiga petang, mereka sama-sama berjalan keliling kampung melihat-lihat suasana  di situ. Aksi sakat-menyakat dan kejar-mengejar juga berlaku di kalangan mereka memperlihat emosi mereka sedang dalam keadaan tenang dan gembira. Terutama Khairi, Ewan dan Syafiq yang sudah lama tidak merasai nikmat ini. Nikmat merasai suasana kampung yang tidak mereka lalui.
Khairi beranggapan, Hadi beruntung melalui detik-detik kehidupan dikelilingi suasana tenang ini. Tidak seperti dia yang sebenarnya, dia berasal dari keluarga kaya-raya. Keluarganya mempunyai perniagaan sendiri di luar negara manakala atas alasan menguruskan hal tersebut, ibu bapanya memilih menetap di luar negara. Lantas meninggalkan dia menjalani kehidupann sendiri bersama datuk dan neneknya dikelilingi saudara-maranya di Kuala Lumpur. Pada usia sepuluh tahun, dia didesak tinggal bersama orang tua di negara orang. Hanya setelah bertahun-tahun lamanya? Kenapa tidak dari dahulu sahaja? Namun dia tidak membantah, hanya menuruti sahaja kehendak mereka. Setiap yang berlaku ada hikmah disebaliknya. Dia bersyukur tinggal bersama datuk dan neneknya mendidik dia untuk lebih berdikari dan mengajari dia ilmu agama. Lebih dari hak seorang bapa yang perlu memberi anaknya ilmu agama. Datuknya seorang yang tegas dan berjiwa kental. Atas alasan inikah bapanya juga seorang yang berdisiplin dan bercita-cita tinggi sehingga mampu memimpin tampuk perniagaan sehingga berjaya seperti sekarang ini?
Khairi tersenyum sendirian. Tidak sedar dia sudah berada di sebuah padang sekolah rendah.
“Khairi! Khairi!! Di sini!” Kelihatan Ewan sedang melambai-lambai memanggilnya. Dia sudahpun berada di atas padang bersama beberapa remaja lain yang sedang bermain bola sepak.
“Kalian mahu buat apa di atas padang itu?” Khairi sudahpun berjalan memasuki padang itu. Namun, dia mula merasakan sesuatu yang buruk bakal berlaku terhadapnya.
“Buat apa lagi. Main bola sepaklah,” terang Ewan.
“Aku... Aku tidak mahulah,” Khairi pantas menjawab. Dia sempat memandang ke arah kaki kirinya. Saat itu jugalah baru dia teringat sesuatu. Dia tidak pernah bercerita kepada rakan-rakannya, mengapa dia tidak suka akan sukan bola sepak. Apa lagi mahu bermain permainan yang agak lasak itu. Sebenarnya ada rahsia di sebalik kaki kirinya itu. 
“Marilah. Kalau tidak, tidak cukup orang pula mahu bermain,” kata Hadi pula yang mendekati.
“Tidak cukup orang? Mahu bermain menentang merekakah?” tanya Khairi bernada resah sambil menudingkan jarinya ke arah sekumpulan remaja kampung berbadan agak tegap. Mereka sudahpun berhenti bermain dan sedang berdiri sekelompok, bercekak pinggang memerhatikan mereka dari jauh. Mungkin sedang menunggu kata putus Hadi sama ada mahu bermain ataupun tidak. Hadi dan Ewan mengangguk hampir serentak. “Tetapi, kalau aku main juga, kita masih tidak cukup orang. Mereka itu berlima. Takkanlah mahu menentang kita yang berempat saja ini.” Demi mengelak dari dia turut serta, Khairi memberi alasan. Namun, memang benar apa yang dia kata, melihatkan kelompok remaja itu menerima seorang lagi pemain. Iaitu... Harris? Jadi, kesemuanya lima orang sekarang ini.
“Eh? Betul juga. Masih tidak cukup orang lagi,” kata Hadi sambil mengira-ngira ‘pasukan kecilnya’. Ada dirinya, Ewan, Khairi dan... Syafiq pun boleh jugalah. Jadi, tinggal seorang sahaja lagi. Kata dia dalam benaknya. “Kita ambil sesiapa sahajalah dari mereka itu.” Kata Ewan pula sambil menuding ke arah sekelompok lagi remaja yang sedang duduk di tepi padang.
Mendengarkan itu, Khairi mengetapkan giginya. Tidak perasan pula ada sekelompok lagi remaja di bawah pokok itu. Tetapi, dia betul- betul tidak mahu bermain.
“Hadi!”
Mereka tertoleh-toleh mencari punca suara itu walaupun nama Hadi yang dipanggil. Kerana mereka kenal benar milik siapa suara itu.
“Kalian! Di sinilah!”
Kali ini mereka menoleh serentak ke arah tepi padang. Kelihatan Alam sedang menongkat motorsikal FZ putih miliknya yang di belakangnya terdapat sebuah beg pakaian. Kemudian, dia membuka helmet dan diletakkan di atas motorsikal. Lantas itu, berlari ke arah Khairi, Hadi, Ewan dan Syafiq. Dia sebenarnya baru sahaja tiba dari Kuala Lumpur dan masih belum sempat tiba di rumah Hadi.
“Eh! Eh! Alamlah. Alam sudah sampai!” Ewan terlompat-lompat bersama Syafiq seperti kanak-kanak kecil saja. Harris bersama rakan-rakannya kehairanan melihat gelagat abangnya serta rakan-rakannya itu. Mahu bermain atau tidak ini?
Khairi mengetapkan giginya lagi memandang Alam sedang berjalan ke arah mereka. Kali ini, apa-apa pun alasan dia untuk mengelak untuk tidak turut serta, semuanya sudah tidak boleh dipakai lagi. Pastinya Alam yang sememangnya kaki bola itu mahu bermain bersama. Tidak kiralah letihnya yang baru tiba dari Kuala Lumpurkah? Bola sepak tetap di dalam hatinya.

* * * * *


Masing-masing sudah berada di posisi.
Ewan sebagai penjaga gawang gol. Syafiq dan Khairi bertindak sebagai pertahanan di posisi kiri dan kanan. Manakala Alam dan Hadi yang sememangnya kaki bola berjaga sebagai penyerang.
Alam melihat-lihat raut wajah rakan-rakannya satu persatu. Jelas mereka sedang bersedia walaupun baru sahaja sebentar melakukan pemanasan badan. Ditambah lagi mereka ini sudah lama tidak turun padang bermain bola sepak seperti ini. Pasti kekok! Harapkan muka sahaja kelihatan bersemangat. Namun, tidak mengapalah. Semangat itulah yang lebih penting.
Pandangannya juga turut melirik ke arah Khairi yang kelihatan sedang resah dan sekali-sekala memandang ke arah kaki kirinya sendiri. Alam perasan itu. Apalah rahsia yang ada disebalik kaki kiri Khairi? Bukan baru sekarang ini dia perasan. Padahal sudah lama, sejak mereka melibatkan diri dalam larian amal dua tahun lepas. Acara itu diadakan untuk mendapatkan kutipan derma sebelum diserahkan kepada rakyat Palestin. Ketika itu, mereka berempat mengambil bahagian.
Selepas dilepaskan dari garisan permulaan, Khairi kelihatan bersemangat sahaja. Namun, setelah separuh jalan, dia berputus asa mahu meneruskan larian dan kerap kali memegang kaki kirinya itu. Sepertinya sedang memeriksa sesuatu. Dari situlah Alam perasan sesuatu. Mahu diperiksa oleh rakan-rakannya ini, dia berdolak-dalih. Mahu dibawa ke hospital, ada sahaja alasan yang diberi. Akhirnya dia pergi bersendirian ke hospital.
“Baiklah! Serang!!”
Jerit Hadi disebelahnya, yang menandakan permainan baru sahaja bermula. Semua yang ada di atas padang itu terkejut dan jelas kehairanan dengan jeritan Hadi itu. Mahu bermain bola sepakkah? Atau mahu bermain polis sentri seperti zaman waktu kecil dahulu? Kata Harris di dalam hati.
Namun, dalam keadaan terpinga-pinga mereka. Hadi sudahpun membawa bola menuju ke gawang lawan. Melihatkan itu, Alam mula bergerak seiringan dengan Hadi, tetapi dari arah sebelah kanan padang. Syafiq turut bergerak ke atas, tetapi Khairi sepertinya teragak-agak mahu mengikut gerak langkah Syafiq. Ewan mula berjaga-jaga di posisinya.
 Hadi tanpa sebarang masalah menggelecek bola melepasi satu persatu pihak lawannya. Tiba di satu bahagian sepertinya dia tidak mampu lagi melepasi, bola ditendang melintang separuh kuat ke arah Alam. Alam menyambut dengan kemas. Dilihatnya tiada satu pun pihak lawan berada di laluannya sehinggalah ke gawang, dan cuma ada penjaga gol sahaja yang agak sasa tubuh badan. Alam menendang dengan kuat menuju ke arah sebelah kanan gol menggunakan kaki kirinya. Dia bukanlah seorang kidal, tetapi dia sendiri tidak mengerti mengapa dia mampu menggunakan kaki kirinya dengan baik apabila bermain bola.
Bola terbang kencang! Melihatkan itu, penjaga gol pihak lawan turut terbang sederhana tinggi dari atas tanah mahu menepis bola dari masuk ke gawang. Namun, tanpa dapat berbuat demikian, bola hanya merempuhi tiang gol dan melantun kembali ke tengah padang. Wajah Alam jelas kecewa.
Syafiq yang sememangnya sudah berada di tengah padang, mula bergerak perlahan ke arah bola yang melantun-lantun perlahan ke arahnya. Hanya tinggal beberapa langkah sahaja lagi, Syafiq menyusun kemas langkahnya yang dilajukan. Seraya itu menendang dengan kuat membuatkan bola itu melayang tegak ke arah gol. Tanpa sebarang halangan dari pihak lawan yang kelihatan posisi mereka sepertinya sedang kucar-kacir. Penjaga gol pihak lawan pula hanya memandang sahaja bola itu merempuh jaring golnya tanpa sempat berdiri dari jatuh terbang tadi.
“Gol!Gol!!”
Jerit Syafiq dahulu diiringi dengan jeritan rakan sepasukannya serta dari sekelompok remaja yang berada di tepi padang. Syafiq kelihatan gembira. Mungkin kerana bangga dapat mengalahkan pihak lawannya yang lebih besar tubuh badannya dari dia.
“Bagus!” Puji Alam. Kembang hidung Syafiq mendengarnya. Kemudian saling menepuk tangan sesama sendiri tanda puas hati dengan prestasi permainan.
Namun, Alam perasan sesuatu. Pihak lawannya ketawa kecil melihat mereka di sini. Alam tidak tahu kenapa mereka begitu. Tetapi dia dapat merasakan sesuatu, sepertinya pusingan kedua ini adalah sesuatu perkara yang susah mereka perlu tempuhi.
Pusingan seterusnya bermula. Alam pula yang mengorak langkah dahulu membawa bola itu sehinggalah tiba di garisan penyerang lawan. Tanpa resah, dia menggelecek selamba bola itu. Tetapi tiba-tiba dia dirempuh dengan kuat sehingga terjatuh. Dia bangun seraya menoleh kearah remaja yang merempuhnya. Tersengih remaja itu.
Pusingan kedua ini, mereka dikerjakan teruk! Sepuluh berbalas satu! Permainan yang sunguh kejam. Langsung tidak beri peluang membalas! Masing-masing terduduk keletihan menentang remaja-remaja itu.
“Aku rasa mereka ini main tipu. Main tidak adil! Kalau tidak, takkanlah kita ini yang lebih besar tubuh badan dari mereka boleh mudah dikalahkan.” Kelihatan Ewan sedang tercungap-cungap mengambil nafas segar. Manakala, suaranya tersekat-sekat meluahkan ketidakpuasan hati.
“Ish. Apa pula. Kita ini yang tidak pandai bermain, mahu mengata orang lain bermain helah pula.” Khairi menyindir Alif. Dia juga kelihatan keletihan yang amat.
“Tubuh badan bukan ukuran. Lagi pula, engkau juga yang salah tadi. Semasa terjatuh. Engkau yang tergelincir terpijak bola, salahkan kawan Harris pula yang jatuhkan engkau.” Kali ini giliran Alam pula yang menyindir Ewan.
Ewan hanya mencebik. Sebenarnya dia tahu dan sengaja menyalahkan kawan Harris itu. Kerana mahu menutup malunya terjatuh akibat dari kesilapannya sendiri. “Yalah. Yalah. Okey! Kalau begitu, cuba engkau terangkan pada aku, macam mana mereka itu boleh begitu hebat bermain seperti seorang profesional. Ada alasan?”
“Kalau mahu tahu, Harris dan rakan-rakannya itu pemain kebangsaan mewakili sekolah mereka. Sudah tentulah mereka pro bermain.” Tanpa menunggu lama, Hadi menjawab persoalan Ewan itu tanpa memandang rakan-rakannya. Namun selepas beberapa detik, tidak kedengaran sebarang reaksi diterima berhubung kenyataannya sebentar tadi. Dia pun mengangkat kepalanya sedikit.
Hadi melihat Alam, Khairi dan Ewan hanya menjeling tajam dia. Pada mulanya dia tidak mengerti mengapa mereka berbuat demikian. Tanpa sempat membuka mulut mahu bertanya, Alam bersuara dahulu.
“Engkau biarkan kami berlawan dengan pemain kebangsaan, Hadi! Tidak guna! Kalian! Mari kita kerjakan dia cukup-cukup!” Alam bersuara keras tetapi bernada menyakat. Dan mendengarkan itu, Khairi dan Ewan serentak bangun dan berlari mengejar Hadi yang sudahpun meninggalkan mereka.
Walaupun keletihan, namun mereka sempat bergurau sesama sendiri. Harris dan rakan-rakannya hanya memandang kehairanan melihat gelagat lima orang lelaki itu. Yang berkejar-kejaran di tengah-tengah padang diselang-seli dengan jeritan dan ketawa. Persis seperti budak-budak kecil sahaja!
Selepas beberapa minit, mereka memutuskan mahu pulang ke rumah Hadi untuk membersihkan badan sebelum bersama-sama berjemaah di masjid berdekatan untuk menunaikan Solat Asar. Selepas itu mereka sama-sama ke dusun milik ibu Hadi untuk memetik buah.

* * * * *

Udara segar berhembus di dusun itu sungguh menyegarkan tubuh badan. Jiwa juga terkesan diberikan ketenangan  oleh Allah dengan nikmat mata melihat keindahan alam. Air sungai mengalir tenang sehingga tidak menampakkan  kocakkan air. Di dusun yang luas itu terdirinya sebuah pondok lama. Memberi tempat beristirehat di bawah teduhan pokok-pokok buah-buahan. Dari situ terdengar alunan petikan gitar seiring bunyi-bunyian alam bersatu memecah hening.
 “Eh. Hadi cuba engkau tukar lagu lain. Asyik lagu P. Ramlee sahaja yang engkau nyanyi. Tahulah engkau ini minat lagu-lagu dia. Tetapi telinga aku ini mahu juga mendengar engkau menyanyi lagu-lagu jiwang  zaman sekarang. Lagu nasyid ataupun... apa-apa sahajalah,” Ewan menghentikan petikan gitar oleh Hadi. Dia yang tadinya khusyuk dibuai irama gitar berkumandang, tersedar sesuatu selepas beberapa minit Hadi menyanyi. Sejak mengenali Hadi, Ewan tidak pernah mendengar walau sekali Hadi mendendangkan lagu-lagu selain lagu P. Ramlee. Mahu juga dia mendengar suara merdu Hadi itu menyanyikan lagu-lagu seperti lagu jiwang. Yang boleh membuatkan hati sesiapa sahaja cair mendengarnya. Dengan keadaan yang amat tenang ini. Ditambah lagi suara Hadi yang sungguh merdu.
“Lagu? Lagu yang bagaimana aku mahu main?” Hadi berhenti memetik gitar. Dia yang duduk bersila betul-betul ditengah-tengah pondok itu menongkat dagunya. Matanya pula dibiarkan meliar memandang ke hadapan membelasak pohon-pohon buah-buahan yang rendang. Namun, fikirannya melayang memikirkan hal lain selain dari permintaan Ewan yang duduk di sebelahnya.
“Lagu apa-apa sahajalah. Aku tidak kisah,” jawab Ewan selamba. Tetapi mengharap sangat permintaannya dikabulkan. Dia yang mula terasa lenguh-lenguh di kaki akibat terlalu lama bersila, melunjurkan kaki ke hadapan manakala badannya condong sedikit ke belakang. Ditongkat kedua-dua belah tangan. Manakala pandangannya masih dihalakan ke hadapan tanpa destinasi.
Hadi merenung lagi pepohon di hadapannya selama beberapa detik. Selepas itu mengerutkan dahi lantas menegakkan tubuhnya sembilan puluh darjah dari kakinya bersila. “Okey. Dengar baik-baik.” Dia menoleh sedikit ke arah Ewan. Jari-jemarinya mula tersusun kemas di tali gitar sebelum menambah. “Pasti engkau layan punyalah.”
“Eh? Nanti sebentar. Bila masanya aku jadi OKU? Orang kurang upaya?” tanya Ewan serius. Dahinya pula dikerutkan menandakan sedang berfikir tentang apa yang baru ditanyakan kepada Hadi.
“Yakah? Di mana yang kurang. Aku lihat cukup sahaja anggota tubuh badan engkau.” Hadi berhenti memetik gitar kerana hairan mendengar soalan Ewan yang bersifat tiba-tiba itu.
“Di sini kurangnya,” Ewan menjawab sambil menuding ke arah telinga kirinya. “Bila masa pula aku ini pekak? Engkau fikir aku tidak pernah dengar lagu-lagu P. Ramleekah? Lagu yang engkau nyanyi itu tadi lagu P. Ramlee. Aku tahulah. Tidak payah hendakk bohong aku.”
Hadi hanya mencebik. Namun, di dalam hati ketawa kecil. Dia memang sengaja mahu menduga Ewan. Kalau-kalau Ewan ini memang tidak pernah mendengar lagu-lagu seniman lagenda itu.
“Okeylah! Tukar pelan. Apa kata engkau cipta lagu sendiri. Aku rasa engkau tiada masalah mencipta lagu. Engkau sudah lengkap. Suara sedap. Pandai bermain gitar. Sekarang... buatlah lirik sendiri. Aku mahu dengar juga.” Gaya Alif berkata tidak ubah seperti sedang memberitahu deejay radio untuk menujukan lagu kepada seseorang. Hadi yang kembang hidung kerana dipuji, melayan sahaja permintaan Ewan. Dia berfikir sejenak. Kemudian, memetik jarinya sendiri spontan mengasilkan bunyi. Mengisyaratkan sudah mendapat idea.
“Ada! Sudah ada. Dengar ini.” Hadi mula memetik gitar.
Krenggg...
Aku suka dia...” Suara hadi lembut sahaja menuturkan lirik itu. Namun, berubah garau seperti sedang menyanyikan lagu rock.
Dia suka aku!”
“Kita sama-sama suka!”
“Kita kahwin saja!”
“Hoi!” Ewan mencelah pantas. “Lagu apa itu?”
“Lagu cinta. Lagu cinta khas aku cipta untuk engkau. Hahaha,” jawab Hadi selamba diiringi ketawa. “Bagaimana? Okeykah?”
Ewan menjeling tajam. “Lagu itu sesuai untuk kucing yang gatal mahu mengawan saja. Tidak sesuai untuk manusia. Kalau mahu cipta lagu, perlu berkias sedikit. Berbunga-bunga. Bukan tegak sahaja seperti lagu engkau tadi.” Hadi mencebik lagi mendengar komen Ewan.
“Ceh! Bercakap seperti tahu sahaja. Cubalah buat sendiri! Aku manalah reti,” kata Hadi sambil membuat memek muka menjengkelkan. Gitar dipangkuan diangkat lalu diletakkan bersebelahan dengannya. Jari jemari lenguh kerana terlalu lama memetik gitar.
“Hahaha. Janganlah marah. Aku cuma beri komen sahaja. Kalau mahu buat lagu, aku lagilah tidak reti. Aku bukan orang seni.”
“Yalah. Engkau itu. Beri komen seperti mahu dihempuk dengan gitar ini. Kata lagu aku sesuai untuk kucing kurap gatal mahu bercinta dengan kucing betina yang comel. Aku tidak akan segan-segan mahu menghempuk. Gitar aku boleh beli baru saja. Gitar ini pun sudah terlalu lama berkhidmat kepada aku. Jadi, aku akan melupuskan dengan cara paling terhormat.”
“Eh? Aku tidakk kata sampai begitu sekali. Engkau jangan cuba-cuba membuat fitnah, Hadi. Dosa besar, tahu?”
“Ah. Sama sahaja dengan engkau kata tadi. Menghina juga, tahu?” Hadi mencebik. Pandangan matanya masih lagi membelasak ke kawasan dusun itu.
“Okeylah... Maafkan saya. Cik Abang Hadiku intan sekaki payung busuk-busuk. Muahhh. Ewan di sini meminta maaf. Adakah Abang Hadi yang berada di sana sudi memaafkan Ewan di sini?” Ewan membuat raut wajah manja. Namun, dari pandangan Hadi sepertinya Ewan sedang meminta penyepak. Kerana membuatkan  dirinya terasa geli-geleman.
“Eiii. Geli aku mendengarnya. Sudahlah! Engkau pergi tolong mereka petik buah manggis itu. Lagi elok. Mengganggu saja orang mahu melayan perasaan dan emosi yang gundah-gelana serta galau ini.” Sebenarnya Hadi dan Ewan sedang curi tulang. Sedangkan Alam, Khairi, Syafiq dan Harris sibuk memetik buah manggis di kawasan paling hujung dusun itu. Itupun, mereka pergi berehat tanpa pengetahuan mereka bertiga.
Ewan hanya mencebik. Hatinya berdesis berkata. Dia tuan empunya tanah ini, menyuruh orang lain pula membuat kerjanya. Sedangkan, dia berehat-rehat seperti majikan saja. Untuk seketika, suasana menyepi. Masing-masing hanyut dibuai perasaan. Bersatu dengan alam dengan caranya tersendiri.
“Kalian berdua! Amboi. Bermadu asmara pula siang-siangan begini. Kita di sini sudah lencun memetik buah. Kalian pula bersenang-senang.” Khairi menegur yang berjalan ke arah pondok itu dari sebelah kanan. Kelihatan dia sedang menolak sebuah kereta sorong yang sarat dengan buah manggis. Di belakangnya pula, terdapat Harris, Syafiq dan Alam melakukan hal yang sama seperti Khairi. Kecuali Syafiq yang berlenggang. Mulutnya sarat dengan isi buah manggis. Makan sambil berjalan. Sungguh tidak elok!
“Lencun dengan peluh sampai begitu sekali? Engkau petik buah manggiskah? Atau petik buah sawit?” tanya Ewan selamba. Raut wajah tampak polos walaupun menanyakan soalan sebegitu rupa.
“Tidaklah. Kami baru selesai memetik buah anggur. Di atas bukit. Sejuk! Seperti di Afrika yang panas terik!” Khairi menjawab sinis. Sengaja membuat lawak ataupun mahu menyindir Alif dan Hadi? Syafiq di belakangnya ketawa geli hati. Harris pula hanya tersenyum. Mendengar telahan Khairi yang dipanggil abang itu kerana menghormati rakan-rakan abang kandungnya.
“Tadi kami kepenatan. Tidakk larat mahu memetik lagi. Aku pula seperti sudah tidak rasa kaki aku ini kerana terlampau lenguh. Sebab itu kami curi tulang. Eh. Silap! Berehat.” Hadi menutup mulutnya kerana tersasul. Ewan di sebelah hanya menjeling tajam.
“Ah. Alasan. Macam aku tidak dengar engkau tersasul,” kata Khairi.
“Jadi? Ini yang terakhir, bukan?” Hadi sudahpun bangun dan menyarung butnya. Sebelum mendekati mereka berempat yang meletakkan kereta sorong betul-betul di hadapan pondok.
Alam mengelap peluh di dahi menggunakan belakang tangannya. Sebelum menjawab. “Ini yang terakhir. Sudah habis bersih kami kerjakan pokok-pokok manggis itu.”
“Abang Hadi. Buah mangis ini manis betullah. Sedap.” Syafiq menyampuk. Dia sudahpun membuka selipar. Dan duduk bersila di sebelah Ewan yang hanya memerhati sahaja dari tadi. Mulut Syafiq tidak henti-henti mengunyah isi buah berwarna putih itu. Tetapi luaran kulitnya berwarna ungu gelap. Mungkin kepenatan membantu mengutip buah dan tiba pula masa Syafiq merasa hasilnya.
“Abang Ewan. Rasalah. Nah,” Syafiq mempelawa. Sebiji manggis dihulur kepada Ewan. Namun, Ewan hanya menggeleng memandang budak lelaki itu. Tangannya perlahan menepuk perut menandakan sudah kekenyangan. Ini kerana, masing-masing sudah puas merasa sebelum memulakan aktiviti memetik buah lagi. Tetapi Syafiq ini seperti perutnya tidak akan penuh. Badan sahaja kecil. Desis Ewan di dalam hati.
“Kalau begitu, aku mahu menelefon Taukey Chong. Mahu beritahu suruh ambil buah ini. Tinggalkan sedikit untuk kamu semua bawa pulang ke Kuala Lumpur,” kata Hadi kepada Alam, Hadi dan Ewan. Setelah itu, tangannya mula meraba poket. Namun sudah puas meraba poket baju dan seluar. Tetapi barang yang dicari masih tidak ditemui.
“Apa yang engkau teraba-raba itu?” tanya Khairi.
Handphone akulah. Tidak ada pula. Ada tercicir di mana-manakah?” Hadi menjawab pertanyaan Khairi dengan soalan juga. Namun, Khairi yang sudahpun duduk di pondok bersama-sama Ewan, Syafiq, Alam dan juga Harris hanya menggeleng.  Kemudian, yang lain turut menggeleng kepala memberi isyarat, kemungkinan telefon bimbit Hadi tidak tercicir. Kecuali adiknya, Harris.
“Harris rasa abang tertinggal di atas meja di ruang tamu rumah,” kata Harris selamba.
“Betulkah, Harris?” tertoleh Hadi mendengarnya. Harris hanya mengangguk. Isyarat itu membuatkan Hadi menepuk dahinya. Lalu, bercekak pinggang memikirkan nasib buah-buahan miliknya. Yang berkemungkinan akan bermalam semalaman di pondok usang itu.

* * * * *

“Itulah engkau. Telefon bimbit yang diperlukan. Engkau bawa gitar pula. Mahu memetik buahkah? Atau mahu memetik gitar? Engkau fikir apa. Mahu buat konsert live di tengah-tengah dusun ini?” Ewan memprovok Hadi.
“Jangan mengata aku. Engkau juga yang menyuruh aku membawa gitar tadi,” Hadi membalas. Yang masih bercekak pinggang. 
“Betul. Tapi aku tidak menyuruh engkau tinggalkan telefon di atas meja di ruang tamu,” Ewan menjawab selamba sambil tersengih-sengih.
“Tidak mengapalah. Kalau begini, biar Harris sahaja yang pulang dan menelefon Uncle Chong. Dan suruh dia ambil buah ini di tempat biasa. Tidak sanggup pula mahu biarkan buah-buah ini tinggal semalaman di sini,” Harris mempelawa diri. Dia sudahpun bangun dari duduknya. Lantas menyarungkan selipar dan bersiap untuk menuju ke rumah. Raut wajahnya masih kelihatan serius. Namun, tampak manis dipandang.
“Syafiq mahu ikut! Mahu ikut! Mahu pulang sebab hendak membuang air. Terlalu banyak makan buah manggis ini agaknya.” Wajah Syafiq jelas sesak. Dia pantas turun dari pondok dan menyusuli Harris. Gaya berjalan sedikit terkepit-kepit di bahagian kelengkang. Alam yang perasan itu, hanya ketawa kecil. Entah sempat atau tidak mahu ke bilik air. Jangan-jangan sudah tercicir di tengah jalan dahulu. Desis hati kecilnya melihat telatah budak lelaki itu.
“Okey. Biar kami tunggu di sini. Cepat sedikit. Beritahu Uncle Chong dengan jelas, untuk ambil di tempat biasa. Telinga uncle itu bukan boleh dipercaya. Nanti tunggu di tempat lain pula.” Hadi memperingatkan adiknya. Harris hanya mengangguk perlahan sebelum dia dan Syafiq hilang dari pandangan mereka berempat yang masih duduk di dalam pondok. Suasana senyap seketika. Kelihatan mereka seperti tidak berbuat apa-apa. Namun, masing-masing sebenarnya mahu menghilangkan lelah sambil menikmati kesegaran udara di situ.
“Sekarang ini kita mahu buat apa? Sementara menunggu Uncle Chong.” Alam memecahkan hening di pondok itu. Yang dari tadi dia hanya termenung.
“Buat apa lagi. Let’s get start our campfire! Campfire song, pleaseee! C.A.M.P F.I.R.E S.O.N.G song...! C.A.M.P F.I.R.E S.O.N.G song...!” Teringat semula perkhemahan pengakap sekolah dahulu, gaya Ewan seperti orang gila sahaja menyanyikan lagu campfire itu. Ditambah dengan gerak-geri tubuh badan yang kelihatan menari. Tetapi dari pandangan Alam, jelas kelihatan seperti ayam sedang mengibas-ngibas kepaknya sebelum berkokok.
“Hoi! Waras sedikit! Mana ada unggun api siang-siang begini,” Alam menyergah keras. Siapa yang tahan? Kalau sudah terpekik terlolong sehingga begitu sekali. Betul-betul di sebelah telinganya pula!
“Yalah. Lagipun tidak elok. Menyanyi begitu mengelilingi unggun api. Seperti mahu menyembah api pula. Cukup sekadar mahu menyejukkan badan dan mengelakkan binatang liar jika ketika sedang berkhemah,” tambah Khairi pula. Ewan pula hanya mencebik sebelum termenung kembali. Suasana di situ sekali lagi menyepi.
Masing-masing hanyut dibuai perasaan sendiri. Ada yang memikirkan hal tentang tekanan di tempat kerja. Ada yang berfikir tentang masa hadapan. Dan yang kelihatan seperti terdesak sekali, memikirkan hal tentang mahu berkahwin pula. Tetapi masalahnya belum berpasangan. Usia pula semakin meningkat! Siapalah gerangan itu.
“Hadi. Engkau sekeluarga tinggal di rumah itu bertiga sahajakah?” Alam sekali lagi memecahkan hening. Tidak tahu kenapa dia bertanya soalan sebegitu. Alang-alang sudah berada di sini, mungkin mahu menyingkap kehidupan Hadi yang jarang benar bercerita perihal keluarga sendiri di antara mereka berempat ini.
Tidak terkecuali dirinya sendiri. Yang dia tahu, Hadi Khairi dan Ewan hanya maklum tentang dirinya yang yatim piatu sejak kecil. Dibesarkan di rumah anak yatim dan mula berdikari selepas tamat sekolah menengah. Itu sahajalah. Tentang keluarga Khairi dia tahu benar, yang ibu bapanya sekarang ini tinggal di luar negara menguruskan perniagaan sendiri. Manakala tentang keluarga Ewan usah dikata. Ibunya kerap kali juga melawat ke pangsapuri mereka melihat-lihat kehidupan rakan-rakan baik anaknya yang bongsu itu. Dan sudah dianggap seperti ibu angkat sendiri oleh Alam, Hadi dan Khairi.
“Betul. Selepas bapa aku meninggal dunia sejak tiga belas tahun yang lalu.” Hadi menjawab selamba soalan itu tanpa memandang Alam. “Ketika itu, aku berumur tiga belas tahun. Baru sahaja masuk tingkatan satu.” Hadi menoleh ke arah Alam sebelum bertanya kembali. “Mengapa engkau bertanya?”
“Tidak ada sebab tertentu. Sahaja mahu mengenali kehidupan sahabat baik yang sudah aku anggap seperti keluarga sendiri. Kalian pun tahu status aku bagaimana, bukan?” Alam memandang wajah rakan-rakannya yang masing-masing terangguk-angguk perlahan. Hadi meleretkan senyuman apabila memahami apa yang dimaksudkan Alam. Mungkin Alam mahu maksudkan yang dia hanya ada mereka bertiga sahaja di dalam hidupnya. Ini kerana Alam anak yatim piatu serta tiada keluarga terdekat lain yang dia ada.
Mungkin ada, tetapi barangkali dia yang tidak mengenali mereka.
Tempat duduknya ditenung manakala senyuman masih tidak lepas dari raut wajah. Fikiran Hadi mula menerawang perlahan mengingati semula masa-masa lalu kehidupannya yang tidak pernah akan kembali.
“Bapa aku meninggal disebabkan kemalangan jalan raya. Masa itu, hari pertama aku menjejakkan kaki ke sekolah menengah,” Hadi mula bercerita. Namun, belum sempat disambung, seseorang menyampuk percakapannya.
“Betulkah? Engkau tidak pernah bercerita pun?” Ewan berkata dengan raut wajah penuh tanda tanya.
“Ish! Memanglah aku tidakk pernah cerita. Sekarang inilah aku mahu cerita,” kata Hadi. Dia menjeling Ewan. Faham dengan jelingan itu, Ewan dengan gaya selamba dan tidak bersalah memandang semula ke tempat asal sebelum dia bertanya tadi. Buat-buat fokus mahu mendengar cerita Hadi selanjutnya.
“Sebelum itu, kehidupan kami sekeluarga sederhana sahaja. Arwah bapa aku pula bekerja sebagai pemandu bas henti-henti, selain mengusahakan dusun ini bersama ibu aku. Apabila arwah bapa aku terlibat dalam satu kemalangan yang mengakibatkan dia terlantar beberapa hari di hospital sebelum meninggal dunia, hidup kami berubah sama sekali.” Yang lain khusyuk mendengar cerita Hadi.
Dia mengambil nafas sejenak sebelum menyambung. “Kalian semua tahu? Kemalangan itu mendapat liputan meluas akhbar-akhbar tempatan selama beberapa hari. Kerana kesnya yang unik. Aku yakin pasti kamu semua ada juga terdengar tentang berita ini tiga belas tahun yang lalu?” Hadi menyoal rakan-rakannya. Mahu mendapatkan kepastian.
“Kes yang pelik? Kes bagaimana itu? Kalau aku tidak silap, tiga belas tahun yang lalu, aku masih tinggal di luar negara bersama orang tua aku. Umur kita enam belas tahun, baru aku berpindah semula ke Malaysia dan tinggal bersama datuk dan nenek aku. Jadi, mungkin aku tidak tahu langsung akan hal ini,” Khairi berkata penuh yakin cuba mengingat kembali saat-saat itu.
Hadi hanya mengangguk perlahan mendengar keterangan Khairi. “Engkau pula Ewan, ada terdengarkah?”
“Aku pula... masa itu... baru sahaja layak ke sekolah berasrama penuh. Tidak tahu-menahu pula tentang berita ini. Mungkin ada tetapi sudah lupa barangkali,” giliran Ewan menambah sebelum Alam pula menyambung.
“Oh! Aku pula masih di Rumah Anak-Anak Yatim Qaseh di Selangor,” Alam berkata sambil mengerutkan dahi. “Saat itu... kehidupan aku di rumah-rumah anak-anak yatim biasa-biasa saja. Tiada yang menarik. Jadi banyak perkara yang aku sudah lupa.” Mendengar sahaja nama rumah anak-anak yatim yang disebut Alam membuatkan Khairi tersentap. Dia cuba mengingat-ingat semula di mana dia pernah terdengar nama rumah anak yatim itu.
“Eh? Macam pernah dengar saja,” kata Khairi spontan.
“Apa yang engkau pernah dengar, Khairi?” tanya Ewan.
“Em... Tiada apa-apalah,” jawab Khairi sambil menggaru dagunya yang tidak gatal. Namun, raut wajah jelas sedang memikirkan sesuatu.
“Jadi? Seterusnya? Apa yang menjadikan kes itu pelik,” tanya Alam kepada Hadi. Mengharap lelaki itu menyambung ceritanya semula.
“Begini.” Hadi menghirup nafas panjang sebelum menyambung.
“Ketika kemalangan, terdapat tujuh penumpang turut terlibat. Yang mana ketujuh-tujuh penumpang itu meninggal dunia di tempat kejadian. Kes ini menjadi pelik kerana, selepas kejadian, tiada sesiapa pun yang menuntut jenazah-jenazah tersebut. Kebetulan atau apa? Selepas seminggu dari tarikh kemalangan, polis mengesahkan salah seorang dari penumpang itu adalah orang gila. Tidak tahu bagaimana dia boleh ditumpangkan di dalam bas. Namun, memang tidak hairan tiada sesiapa yang menuntut jenazah orang gila itu, bukan?”
“Polis juga mengesahkan, dua dari tujuh penumpang itu pula adalah penjenayah yang sangat dikehendaki polis di kawasan ini. Yang ini sungguh pelik. Penjenayah naik bas?”
 “Penjenayah-penjenayah ini sebelum ini banyak melakukan rompakan di sekitar sini. Dengan berlakunya pengecaman jenazah-jenazah penjenayah ini, kes sejak tiga tahun lalu ini selesai serta-merta dengan tertangkapnya baki tiga orang lagi rakan penjenayah. Kes ditutup!”
“Baki jenazah yang tinggal, umur dalam lingkungan 20 hingga 35 tahun itu tetap tiada siapa yang tuntut. Kes ini belum tamat sehingga di sini saja! Selepas dua minggu dari kejadian kemalangan itu, sebaik keluar dari hospital, pemandu kereta Honda Civic berwarna putih yang berlanggar dengan bas itu pula bunuh diri. Sebelum itu, pemandu remaja perempuan berbangsa Cina itu hanya cedera ringan. Keluarganya memberitahu, sebelum membunuh diri mangsa mendakwa kejadian kemalangan itu telah disumpah menyebabkan mangsa bertindak sedemikian kerana ketakutan. Namun, pihak polis pula mengesahkan mangsa hanya tertekan dan trauma dengan kemalangan tersebut menyebabkan dia cenderung untuk membunuh diri. Kes-kes ditutup! Tamat.”
Selesai bercerita, Hadi menoleh ke arah Khairi, Alam dan Ewan yang masing-masing kelihatan cuba menghadam apa yang dia cerita.
“Betulkah ada kes seperti itu?” tanya Ewan meminta kepastian.
“Ya. Apa? Engkau fikir aku sengaja mereka-reka cerita ini. Hal ini melibatkan kematian. Takkan aku mahu mereka cerita ini pula,” balas Hadi.
“Selepas semua hal ini terjadi, aku mula berfikir-fikir. Sekarang aku cuma ada ibu yang perlu aku jaga dan balas budinya dengan sepenuh hati tanpa berbelah bagi, tanpa kehadiran seorang lagi individu penting dalam hidup aku yang aku sempat balas budinya. Tanggungjawab aku pula lebih terasa apabila sedar diri ini anak lelaki sulung. Ada adik yang perlu aku jaga dan mengasihinya.”
Mendengarkan itu, Alam pula yang terasa sebak di dada. Manakan tidak, perasaan itu lebih terasa di dalam hatinya. Mengenangkan dia sudah tiada ibu bapa yang perlu dibalas budi mereka seperti yang diperkatakan oleh Hadi.
“Kadang-kala aku terfikir juga. Bagaimana orang yang sudah tiada ibu bapa ini hidup tanpa bermatlamatkan salah satu matlamatnya adalah untuk membalas jasa ibu bapa? Pernahkah kalian berfikir seperti itu juga?” tanya Hadi kepada mereka. Mendengarkan itu, sekali lagi Alam tersentak. Pandangannya yang tadi tegak sahaja mula dihalakan ke tempat dia duduk. Sayu sahaja raut wajahnya. Ini kerana dia pernah juga berfikir sedemikian. Apa tujuan hidup dia sebenarnya tanpa ibu bapa? Jika orang lain, pasti sahaja akan mengatakan mahu membalas jasa orang tua mereka apabila sudah berdikari. Tetapi jika berada di tempat dia sekarang ini bagaimana pula?
Persoalan ini telah lama Alam tinggalkan tanpa sebarang jawapan.
Dan... mungkinkah ini sebabnya mengapa hidupnya terasa kosong dan seperti tiada matlamat? Hanya menempuhi apa sahaja yang mendatang dalam hidupnya? Adakah kerana salah satu matlamat penting dalam hidup setiap manusia tiada pada dirinya?
Fikiran Alam rungsing. Kenapalah persoalan ini dibangkitkan Hadi di hadapannya.
“Ish! Apa engkau ini?” Khairi menyiku tangan Hadi. “Jangan bangkitkan hal itu sekarang,” Kata Khairi separuh berbisik kepada Hadi. Pada mulanya Hadi tidak mengerti mengapa Khairi menyikunya. Tetapi setelah Khairi menjuihkan bibir ke arah Alam, barulah dia mengerti. Ditambah dengan raut wajah Alam yang sememangnya menggambarkan hati.
Hadi mengeluh perlahan.
Dia memerhatikan Alam yang masih tertunduk memandang lantai pondok yang tingginya separas pinggang orang dewasa. Hadi faham benar perasaan Alam ketika ini.
“Kalau begini, tanpa segan silu dan tiada belas kasihan serta rasa simpati, aku mahu engkau jawab persoalan aku itu tadi. Aku mahu tahu apa yang ada dalam hati engkau buat masa sekarang,” kata Hadi kepada Alam. Seraya itu, Alam mengangkat kepalanya setentang dengan pandangan Hadi. Raut wajah Alam jelas kosong.
“Eh! Hadi! Kenapa tanya soalan sebegitu pada Alam? Hormat sedikit perasaan orang!” Khairi marah kerana faham benar dengan apa yang dimaksudkan Hadi. Ewan pula hanya memerhati penuh tanda tanya.
“So... Soalan apa?” Alam bertanya walaupun sebenarnya dia juga mengerti apa yang dimaksudkan rakan yang sedang dia tenung matanya. Buat-buat seperti tidak tahu, Alam sebenarnya mahu mengelak dari menjawab soalan yang dia sendiri tiada jawapan. Bukan tiada jawapan. Namun, dia sendiri telah puas menjadi ‘musafir’ bertahun-tahun lamanya untuk mencari jawapan itu. Mungkin susah bagi dirinya, tetapi tidak pada orang lain yang tidak pernah berada di tempatnya.
“Jangan buat-buat seperti tidak tahu. Dari pandangan mata engkau, aku tahu engkau faham benar maksud aku.” Tanpa menghiraukan marah hati Khairi, Hadi tetap mahu tahu juga. Mendengar suara tegas itu, Alam cepat-cepat mengalihkan pandangan jauh-jauh. Sambil membawa bersama persoalan itu.
“A.. Aku... Aku sendiri pun tak tahu. Aku tiada jawapan yang engkau minta,” perlahan sahaja suara Alam menjawab.
Hadi mengeluh lagi.
“Aku bukan minta jawapan. Aku mahu tahu, dari persoalan yang membelenggu aku, apa yang ada dalam hati engkau sekarang ini. Dalam kata lain, apa matlamat hidup engkau sekarang ini.” Kata Hadi. “Kalau engkau tiada matlamat sebenar-benarnya, sekarang inilah engkau perlu fikir-fikirkan. Sebelum semuanya terlambat.”
“Betul! Aku tidak tahu walaupun ini adalah perasaan aku sendiri! Yang aku tahu, aku tempuhi saja apa yang mendatang dalam hidup aku!” Pantas Alam menjawab dengan nada sayu tetapi tegas. Namun, gayanya seperti sudah lemas dengan soalan-soalan itu. Ketika ini, dia berasa kesal dan marah. Bukan kerana marahkan Hadi yang berkata tanpa mempedulikan perasaannya. Bukan juga sakit hati kerana Hadi membangkitkan isu sensitifnya sekarang ini. Tetapi yang sebenar-sebenarnya, dia marahkan dirinya sendiri ketika ini kerana membiarkan persoalan itu bersarang dan tergantung tanpa jawapan dalam benaknya. Bukan setahun dua, tetapi hampir lima belas tahun dirinya terkapai-kapai, lemas dalam persoalan itu. Lantas meninggalkannya kerana takut. Takut terhadap masa hadapannya yang tidak pasti, yang menjadi salah satu rahsia Allah terhadap hamba-Nya. Sekali lagi, suasana di pondok itu menyepi. Unggas-unggas sahaja yang tidak pernah penat menghasilkan bunyi-bunyian tanpa mempedulikan empat sahabat itu.
Tiba-tiba, Alam pantas turun dari pondok. Seliparnya disarung sempurna kedua-dua belah kaki. Tanpa berlengah, dia terus berlari meninggalkan Khairi, Hadi dan Ewan yang terpinga-pinga dengan tingkah lakunya itu.
Sepantas kilat Alam hilang di balik kawasan tanah yang sedikit berbukit.
“Semua ini engkau punya fasallah! Lihat apa sudah jadi pada kawan kita. Mesti hatinya sedang rungsing dan sedih,” Ewan memarahi Hadi yang masih memandang ke tempat Alam menghilang sebentar tadi. Kemudiannya, dia tertunduk. Tidak sampai beberapa detik, kepalanya didongakkan semula diiringi jeritan!
“Arghhh! Aku rasa seperti sudah keterlaluan pula bertanya pada Alam sebegitu!”
“Itulah! Sudah jatuh baru terngadah. Bukan aku sudah beri amaran tadi.” Khairi memukul perlahan bahu Hadi sebelum menyambung. “Bercakap ikut sedap mulut saja. Perasaan manusia bukan barang permainan! Lihat sekarang Alam sudah merajuk.”
“Eh? Soal konsep tentang perasaan yang engkau sebut-sebut tadi bukan untuk orang sedang bercinta sajakah?” Tanya Ewan kepada Khairi. Selalunya frasa ‘perasaan manusia bukan barang permainan itu’ sering didengari dalam kisah-kisah cinta sahaja. Di mana seorang lelaki atau perempuan permainkan perasaan kekasihnya sehingga terluka. Tetapi hari ini Khairi menggunakannya terhadap sesama lelaki. Apakah semua ini?
“Sedang bercintakah? Tak sedang bercintakah? Sama saja! Lelaki dan perempuan masing-masing tetap ada perasaan juga,” balas Khairi. Seraya itu, masing-masing kesal dengan apa yang baru sahaja berlaku. Tentu Alam bersedih. Sudah tentulah! Kerana menyentuh sensitivitinya! Siapalah yang tidak bersedih jika berada di tempat Alam.
Sedang mereka memikirkan cara bagaimana untuk memujuk rajuk Alam, terutamanya Hadi yang terang-terangan bersalah. Tiba-tiba, bunyi seperti benda besi berlaga mengejutkan mereka!
Ktang!!! Ktang!! Ktang!
Ewan terlompat mendengar itu. Mereka sudah pun turun dari pondok itu kerana menyangka pondok usang itu mahu runtuh barangkali. Kemudian, sebiji batu sungai sebesar satu pertiga penumbuk jatuh dari atap pondok yang separuhnya  beratapkan zink, dan separuh lagi beratapkan nipah. Ketiga-tiga mereka serentak merenung batu yang sudah di atas tanah itu.
“Kalian semua!” Mendengar jeritan itu. Masing-masing terpusing-pusing kepala tercari-cari punca suara itu.
“Kalian semua! Tak mahu mandi air bukit inikah! Sejuk!” Rupa-rupanya Alam yang terjerit-jerit dari sebuah air terjun kecil yang punca airnya dari atas bukit tanah dusun itu. Kelihatan dia sudah tidak berbaju dan sedang melampiaskan air jernih itu ke udara. Kemudian hilang membenamkam tubuhnya ke dalam air sungai sederhana dalam. Khairi, Hadi dan Ewan tertoleh sesama sendiri. Masing-masing kehairanan, disangkanya Alam sedang berduka. Sehingga lari menyembunyikan rajuk dan sedih dari rakan-rakan baiknya ini. Rupa-rupanya sedang berseronok di dalam sungai itu!
Mereka merenung sesama sendiri lagi.
Namun bezanya kali ini ada sengih terpancar dari wajah mereka. Tanpa berlengah, pantas mereka berlari menuju ke arah Alam. Diiringi gelak tawa dan jeritan. Sempat mereka membuka baju dan berseluar pendek sahaja sebelum bunyi air mencebur kuat bergema meneggelamkan bunyi-bunyian unggas di situ!
Ruginya Syafiq tidak ikut serta.

* * * * * 
Akan Bersambung

Bab 03 akan dipost seminggu lagi.